Assalamualaikum wbt dan selamat tengah hari semua,
Tentu ada yang berasa hairan dengan lampiran yang teman sertakan di entri kali ini. Maaflah, sejak Prof Kamil dan keluarganya berhijrah ke Madinah, hati teman juga turut berada di sana. Dalam diam, teman juga menyimpan hasrat untuk ke sana, tidak pasti bagai,mana, mungkin melanjutkan pelajaran di sana, atau mengerjakan umrah atau kalau boleh menunaikan haji...apa sahaja caranya agar teman dapat menjejakkan kaki ke Tanah Haram. Tika ini, Prof Kamil dan Puan Roza mungkin mengalami cuaca yang sama seperti di Malaysia, mungkin mereka sedang bersolat Dhuha barangkali, atau mendaftarkan anak-anak mereka di sekolah, atau mungkin sahaja Prof Kamil sedang memulakan sesi bekerja di tempat dan suasana yang serba baru. Teman ternanti-nanti berita dari Madinah. Entah mengapa, hati teruja untuk mengetahui setiap aktiviti mereka di sana. Terserlah sikap 'busy body' teman. jika mereka berhijrah ke United Kingdom, mungkin teman tidak seteruja ini. Rasa cemburu apabila mengenangkan mereka berada dekat dengan makam Rasulullah dan menetap di bumi suci. Rezeki masing-masing, biarlah Allah sahaja yang menentukannya.
Sejak dari Selasa minggu lepas, teman berada dalam keadaan yang tidak selesa seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak. Alhamdulillah, wajib teman mensyukuri semua ini kerana Allah menghapuskan dosa dengan cara ini, malah dalam keadaan yang tak selesa, teman masih mampu beribadat dengan baik, ia adalah nikmat yang wajib disyukuri! Syukur itu perlu selalu. Bukankah kesusahan itu datang bersama kesenangan. Contohnya, walaupun sakit, tetapi masih boleh solat dan beribadah dengan baik. Walaupun sakit, tetapi masih boleh melakukan aktiviti harian dengan lancar. Ia hanya ujian yang kecil berbanding dengan nikmat Allah yang tak terhitung. Maka bersyukurlah!
Teringat pula tazkirah di radio IKIM pagi tadi, tentang kalimah toibah iaitu "Laa Ilaaha Illallah", hari ini kita dapat menyebut kalimah ini dengan mudah dan selamat. Tetapi Rasulullah dan para sahabat bermati-matian mempertahankan dan menyebarkan kalimah ini sehingga ramai yang syahid. Syukurlah atas kalimah yang pernah menjadi perjuangan berdarah ini dapat kita lafaz dalam keadaan yang mudah dan aman. Maka syukurilah kalimah ini dan lantunkan kalimah ini bila sahaja kita teringat.
Semoga hari-hari yang mendatang kita lalui dengan penuh rasa syukur.
No comments:
Post a Comment