Kucing
Semalam, pukul 4.30 petang, kucing kesayangan teman dan adik angkat teman akhirnya menemui ajal. Puncanya kurang jelas, yang pasti 2 ekor daripada 3 kucing kami diserang demam teruk sejak Jumaat yang lalu. Seekor berusia setahun dan seekor lagi berusia 6 bulan tetapi kelihatan kurus dan kecil. Yang kecil nampaknya sudah mula ada selera sejak Ahad pukul 5 pagi. Teman sebenarnya dikejutkan si kecil itu lalu teman berinya makan sementara si kecil mula berselera. Yang "kakak" masih sakit malah semakin teruk. Dalam doa teman selepas solat, sempat teman titipkan pada Allah agar disembuhkan kucing-kucing teman itu. Yang kecil itu alhamdulillah ada perkembangan yang baik, tetapi yang "kakak", nampaknya sehingga itu sahaja umurnya bersama kami. Menitis juga airmata teman dan adik teman mengenangkan seksanya si "kakak" mengadap ajal. Ada lendir bercampur darah, ada tanda-tanda termakan racun, wallahualam. Ya Allah, ampunkan doa kami andai ada kesalahan kami terhadap kucing kesayangan kami ini.
Dosa
Teman rasa serba tak kena dan rasa tak keruan. Teman rasakan teman banyak melakukan dosa-dosa sejak ahkhir-akhir ini. Pertama, teman banyak sangat menonton TV. Teman tertarik dengan rancangan realiti tv mengenai pertandingan pakar-pakar masakan. Hampir seharian teman menontonnya. Teman cuma berhenti untuk solat dan mengaji, kemudian teman sambung menonton. Selalunya, aktiviti membaca lebih diutamakan, kali ini ia jatuh nombor 2.
Kedua, hari ini teman tidak bekerja dengan baik. Kerja teman di pejabat memang tak banyak. Banyak yang telah teman selesaikan minggu lepas, namun masih ada kerja yang boleh dilakukan. Namun teman menangguhkan kerja-kerja tersebut dan membuat perkara yang tak ada kaitan dengan kerja. Pada pukul 3.30pm, barulah teman memulakan kerja-kerja teman, 30 minit kemudian, semua kerja selesai, tiada lagi kerja untuk dilakukan. lalu teman menulis entri ini selesai solat Asar sebentar tadi.
Ketiga, tengah hari tadi, kantin di tempat kerja teman mengadakan Rumah Terbuka yang menghidangkan pelbagai juadah yang lazat. Nasi beriyaninya memang terkenal sedap dan berkualiti tinggi. Teman makan dengan banyaknya dan beberapa ketul kambing teman makan tanpa rasa bersalah. Rasa bersalah hanya timbul apabila teman merasa terlalu kenyang. Teman teringat bahawa Rasulullah tidak begitu. Imam Syafie juga tidak pernah kenyang atau mebiarkan dirinya kekenyangan. Teman benar-benar telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sunnah.
Keempat, entah mengapa, salah seorang rakan sekerja teman bersikap dingin dengan teman, ini bukan kali pertama, ia sudah entah yang ke berapa kali. Teman tak tahu apa saah teman tetapi 'mood'nya mudah tersentuh. Kadangkala berhatri-hari beliau tak menegur teman dan memasamkan muka. Kadangkala beliau terlalu ceria dan bercerita tak henti-henti. Sejak hari Jumaat yang lalu beliau kembali dingin sehingga ke hari ini. Puncanya tidak dikenal pasti. Teman pula sudah letih mengalah, jadi teman biarkan sahaja beliau berkelakuan dingin. Teman kira, pasti ada sikap teman yang membuatnya marah, teman tak pula berani bertanya sebab dulu teman pernah memujuknya tetapi hanya dibalas dengan diam seribu bahasa. Teman rasakan, pasti hati teman masih kotor, kerana itulah orang di sebelah teman ini rasa tak selesa dengan teman.
Oleh itu, teman perlu bertaubat dan berdoa agar teman tak melakukan dosa-dosa tersebut lagi dan membersihkan hati.
Tipu
Hari Jumaat yang lepas, ketua jabatan teman mengambil cuti kecemasan, alasan, keretanya rosak. Hari ini, teman duduk semeja dengan kawan sekerja teman yang bercuti ke Hanoi minggu lepas. Katanya, beliau terserempak dengan ketua jabatan teman di lapangan terbang di balai berlepas bagi penerbangan antarabangsa. Menurut kawan teman, destinasi ketua jabatan teman adalah Perth, Australia. Ini bukan kisah penipuan yang pertama pernah kami alami, ketua jabatan teman memang kerap menipu, kadangkala beliau tak segan untuk melakukannya di hadapan kami. Walaupun beliau bukan beragama Islam, tetapi berkata benar adalah standard moral di peringkat global. Apa sahaja agama yang dianutinya, penipuan adalah satu dosa. Apa yang lebih menyedihkan, kadangkala kami turut diheret sama dalam penipuan tersebut, contohnya ketika mengadakan perbincangan bersama pihak di luar jabatan kami. Kami hanya tertunduk malu mendengar penipuannya dan dia melakukannya tanpa mengedipkan matanya. Ia dilakukan penuh yakin. Teman kira, ia telah menjadi tabiat kerana ketua teman terkenal dengan sikap suka menipu. Bercerita kisah-kisah yang kecil pun, pasti ada dipusing faktanya. Ya Allah, lindulah aku dari sifat 'kazib' (menipu).
No comments:
Post a Comment