Wednesday, 17 August 2011

Tadarus

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Entah kenapa teman rasakan surau ini kian sepi. Ramadhan yang berlangsung sehingga hari yang ke 17 tidak langsung memberi kesan imarah terhadap surau ini. Tadarus yang dijalankan setiap waktu sebelum Zuhur hanyalah disertai ahli tetap, tiada ahli baru walaupun ramai yang mengetahui kewujudan aktiviti ini. Bolehkah diandaikan jumlah yang ada di surau ini sebagai perbandingan peratusan dan nisbah tentang jumlah masyarakat yang sedar tentang peranan diri sebagai hamba? Jika peratus ahli tadarus yang hadir cuma 10% dari Muslimah yang ada di syarikat ini, adakah hakikat masyarakat keseluruhannya juga begitu? Maka benarlah apa yang termaktub di dalam al-Quran bahawa umat akhir zaman ini, hanya sedikit di antaranya yang akan memasuki syurga. Semoga kami tergolong dalam golongan itu.

Bacaan demi bacaan dialunkan. Selain 'kakak' yang solehah itu, rata-ratanya masih lemah dalam ilmu tajwid. Dengung tak dengung hukum bacaan, diredah begitu sahaja. Hukum yang asas seperti Mad Asli juga ramai yang masih belum laksanakan dengan baik. 5-6 orang mengalunkan dengan lancar tanpa mengira hukum tajwid benar atau tidak. Ada 2-3 orang masih merangkak. Yang mengaplikasikan tajwid cuma 2 orang. Rata-rata yang ada berumur 32-45tahun, kecuali teman dan 2 lagi rakan. Walau bagaimanapun bacaan mereka, sikap mereka yang ingin membaca al-Quran itu amatlah dipuji. Ketika orang lain sibuk berbual, membaca akhbar dan tidur di meja masing-masing, mereka ini menggagahkan diri untuk menyertai tadarus sebegini. Yang 'merangkak' itu lebih dipuji, kerana mereka membuang rasa malu dan berjiwa kental untuk mencuba untuk mengalunkan ayat-ayat Quran yang suci itu. Kepada yang datang dan hanya mendengar sahaja, pun masih layak dipuji kerana mengenepikan rasa malu dan bersungguh-sungguh mencari pahala walaupun hanya mendengar. Tetapi realiti yang tidak boleh diambil mudah, masih ramai yang belum boleh membaca al-Quran dengan baik sedangkan huruf-huruf al-Quran ini bakal menjadi saksi si pembacanya di akhirat nanti. 'Tidak tahu' alasan yang boleh dikatakan tak mungkin diterima kerana Al -Quran menganjurkan 'bertanyalah kepada yang tahu'.  Kehidupan ini adalah proses pembelajaran, maka pencarian ilmu tidak akan ada noktahnya. Teman doakan mereka yang menghadiri tadarus ini agar dibukakan hati untuk mempelajari ilmu al-Quran sehingga mereka boleh membaca al-Quran dengan lancar. Semoga usaha mereka menghadirkan diri ke majlis tadarus ini menjadi pembuka hidayah dan petunjuk agar mereka menjadi orang yang 'tahu'. Allah berfirman, "Adakah sama orang yang tahu dan orang yang tidak tahu itu?"

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment