Telefon bimbit berbunyi mengejutkan tidur yang lena. Tangan menggapai telefon tersebut, 'oh, sudah jam 3.15 pagi,' lalu teman menggerakkan adik angkat teman untuk bangun bersolat tahajud dan berqiyamullail. Teman hanya mengejutkan kerana teman masih uzur, tak dapat turut serta dengan aktiviti yang dirindui itu. Mata terlelap kembali dan mimpi yang buruk menerpa. Teman bermimpi melakukan maksiat. Dalam mimpi tersebut, kelihatan teman berusaha untuk menghindari maksiat tersebut tetapi akhirnya kalah. Namun ketika sedang melakukan maksiat, teman tiba-tiba menyesal dan terungkaplah kata-kata,'sia-sia amalan aku selama ini, pasti aku akan ditimpa bencana', di dalam mimpi itu juga, teman cepat-cepat beristighfar sehingga tersedar dari tidur lalu teman terus memanjangkan isitghfar sebanyak yang mungkin kerana khuatir mimpi itu menjejaskan iman teman. Teman lihat adik angkat teman sudah pun kembali ke katil, alhamdulillah, terlaksana qiyamullailnya malam Ramadhan yang mulia ini. Teman harap, esok malam teman sudah dapat menyertai ibadah-ibadah mulia itu. Teman beristighfar sebanyak mungkin sehingga mata kembali terlelap, tubuh juga dikalihkan kerana itu adalah adab jika bermimpi buruk. Mungkin Allah mahu teman berqiyamullail juga walaupun dalam keuzuran. Mungkin Allah rindu kata-kata istighfar dari hambaNya....mungkin.
Jam 4.40 pagi, penggera berbunyi lagi dan mengejutkan tidur yang umpama baru sebentar sahaja lelap. Teman menggerak adik angkat teman untuk turut sama turun ke bawah bagi menemani teman menyediakan sahur. Walaupun tidak berpuasa, teman kira ini adalah Ramadhan terakhir teman berbakti menyediakan sahur untuk adik angkat kesayangan teman ini. Semoga adinda teman ini berbahagia di alam perkahwinan yang bakal didirikannya pada tahun hadapan.
Selesai bersahur, kami bertazkirah dalam bentuk yang santai sambil mengaitkan dengan masalah kehidupan sehari-hari. Adinda teman menceritakan tentang jiwanya yang merasa kelainan, beliau tidak lagi mudah marah dalam urusan kerja di pejabat, dan beliau mudah bertenang kali ini. Beliau mengambil pemikiran positif atas dua peristiwa yang berlaku padanya kelmarin. Ia adalah peristiwa mengenai dirinya tidak dihormati dan sikap tak beradab orang di pejabatnya terhadap dirinya, tetapi beliau memikirkan bahawa ini adalah gambaran Allah bahawa mungkin beliau secara tak sengaja melayan orang dengan tidak sopan sebelum ini. Beliau menganggapnya sebagai petunjuk, alhamdulillah, itulah yang teman pernah anjurkan padanya. Sifat kehambaan perlu ada supaya diri tak terasa 'macam bagus' atau 'lebih baik' dari orang lain. Melayan orang sebaik-baiknya dan merendah diri adalah sifat yang perlu ada agar diri sentiasa sedar bahawa kita semua adalah hamba Allah. Sombong itu pakaian Allah, jika hamba hina seperti kita cuba memakai pakaian Allah, pasti binasa! Alhamdulillah, syukur atas kesedaran kami berdua. Baru malam semalam teman katakan padanya, "Akak cintakan adik kerana Allah, bagaimana yang dikatakan cinta kerana Allah? Cinta yang berlandaskan iman". Dan hari ini teman bersyukur kerana kami saling lengkap melengkami dan saling mentarbiyah antara satu sama lain. Terima kasih buat Hilal Asyraf yang memperkenalkan "aku cinta kamu kerana Allah" di dalam karyanya "Sinergi". Maha Suci Allah yang mengurniakan ilham kepada hambaNya untuk menyampaikan tarbiyah Allah dengan pelbagai cara, termasuk melalui karya-karya Islami.
Pagi ini berlalu dengan sempurna, penuh keindahan nikmat Allah yang tak terhingga, ada tarbiyah, ada keinsafan dan ruh Islam dan iman yang memenuhi ruang hati. Jam menunjukkan pukul 7 pagi, harus bergerak segera ke tempat kerja dengan harapan mencari redha Allah. Ya Ilahi, Kau ku tuju, redhaMu ku cari, berilah daku rahmat dan kasih sayangMu, dan kurniakanlah aku petunjuk. Amin
No comments:
Post a Comment