Assalamualaikum wbt...
Beberapa hari sahaja lagi, Syawal bakal menjelma dan Ramadhan yang penuh barakah bakal meninggalkan kita. Rasanya, belum puas dan belum cukup melaksanakan sebanyak-banyak amalan di bulan Ramadhan ini. Terasa Ramadhan kali ini amat singkat. Ijazah Taqwa yang diimpikan amatlah diharapkan agar diri ini dapat mencapainya. Semoga Allah menerima amalan-amalan kita dan akhirnya menganugerahkan kita dengan taqwa dan keutuhan iman.
Teman pada hakikatnya berdebar-debar menati saat kepulangan ke kampung, setelah hampir 4 tahun dalam buangan ayah. Masa itu, teman jahil dan angkuh. Kufur dengan nikmat Allah, malah derhaka dengan ayah. Kali ini, teman akan melutut di kakinya mohon redha dan ampun seorang ayah. Ini bukan kali pertama teman mencuba, tetapi cubaan kali ini berbeza, ia datang dari hati yang menginginkan redha Allah. Mana mungkin redha Allah mampu teman capai selagi ayah tak redha dengan teman. Kalau dulu, walaupun cuba mencium tangannya, tetapi mungkin dalam hati masih ada marah dan dendam. Tetapi kali ini, teman betul-betul ingin mendapatkan redha ayah semata-mata kerana Allah. Semoga Allah melembutkan hati ayah untuk menerima teman kali ini. Akan teman pijak keegoan teman, biar lumat di hadapan seorang ayah. Akan teman tolak rasa malu, akan teman luahkan segala kata-kata mohon ampun, akan teman akui segala kelemahan dan kesilapan teman kerana teman ini hanyalah hamba Allah yang hina. Lebih hina lagi apabila ayah tak redha dengan diri teman, sangat-sangatlah hina.
Ayah, ketahuilah, diri ini sangat mencintaimu. Siapapun dirimu, dirimu itu tetap ayah kandungku. Ayah, ku titip doa untukmu di setiap kali ku sujud kepadaNya. Ku sedekahkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan setiap infaq ku, agar Allah memerikan pahala itu kepadamu. Semoga dengan doa demi doa yang kutitipkan, menjadi air sejuk yang dapat menyirami hatimu, agar kasih sayang membasahi hatimu. Ayah, aku akui segalanya kerana aku anak yang hina. Ampunkan aku ayah....ampun diri ini.
No comments:
Post a Comment