Assalamualaikum wbt dan selamat pagi semua,
Ini adalah entri kedua sepanjang Ramadhan yang telah berlalu selama 2 minggu ini. Sejak akhir-akhir ini, teman banyak membaca entri orang lain berbanding membuat entri sendiri. Di Ramadhan yang mulia ini, terasa diri bagaikan terlalu dahaga dengan ilmu dan semakin lama ilmu yang ada terasa sangat cetek sehinggakan teman tak tahu apa lagi apa yang nak teman kongsikan. Tetapi teman akan tetap mempertahankan blog ini, walaupun pengunjungnya tak ramai, tetapi ini sahajalah medan dakwah teman yang teman mampu kongsikan ilmu yang sedikit ini dengan bebasnya. Teman harap, entri yang biasa-biasa ini mampu menggerak hati segelintir manusia supaya mencintai Allah dan Rasul SAW.
Hari ini, mata teman terpacak di blog Prof Kamil dan isterinya. Ketika membaca entri mereka, bergenang air mata teman. Ada sedikit cemburu kerana mereka dimuliakan Allah dan dipilih untuk tinggal di Kota Rasulullah SAW. Prof Kamil akan mengajar di universiti di Madinah dan tak berjauhan dengan Masjid Nabawi. Puan Roza dan 2 anak mereka akan turut serta menetap di sana sementara 2 lagi anak mereka akan teruskan pengajian di malaysia hingga tamat. Akhir-akhir ini, teman selalu berdoa dan bermohon kepada Allah agar Allah menarik teman untuk rapat serapat-rapatnya dengan Allah. Teman cintakan Allah dan Rasulullah SAW. Dulu teman tak kenal cinta Allah dan Rasul. Lalu teman berdoa pada Allah agar hati teman diisi dengan cinta agung terhadap Sang Pencipta dan KekasihNya. Alhamdulillah, semakin hari perasaan cinta dan rindu bertandang. Atas dasar cinta itu, apabila ada yang terpilih untuk dekat denganNya di tempat mulia Nabi SAW, hati ini sedikit cemburu dan mengimpikan dimuliakan Allah sebegitu. Tetapi apabila mengenangkan amal yang tak seberapa, teman akur dan berazam akan berusaha mendekati Allah dan Rasul agar Allah memilih teman untuk menjadi hambaNya yang terbaik di sisiNya.
Allah itu tak bertempat, Allah ada dengan kita. Sebagaimana kita melihat apa yang ada di hadapan kita, itu adalah hasil dari Nur yang Allah limpahkan kepada kita sehingga kita nampak tanda kekuasaanNya. Allah adalah Pemberi cahaya (Nur). Dunia ini pada hakikatnya gelap, tetapi dengan cahaya, isi dunia terzahir di mata hamba-hambaNya. Dengan cahaya, tumbuh-tumbuhan hidup melata di muka bumi ini. Hari siangnya, matahari menyinari dunia dan ketika malam, pantulan cahaya bulan membuatkan isi dunia tetap kelihatan di dalam kesamaran. Segalanya kerana cahaya(Nur) dan pemberi cahaya itu adalah Allah. Kerana itulah Al-Quran sering menyatakan bahawa Allah pemberi cahaya (Nur). Dengan keyakinan seperti ini, apabila kita terlihat apa sahaja di hadapan mata kita, di situlah kita rasakan kehadiran Allah kerana Allahlah yang melimpahkan kita dengan Nur (cahaya) sehingga apa-apa yang ada di hadapan kita terzahir di mata kita. Maka bersyukurlah, walaupun tidak ada di bumi mulia Madinah, hamba seperti kita tetap ada Allah walau di mana kita berdiri.
Bukanlah menidakkan nikmat yang dikecapi Prof Kamil sekeluarga, entri ini adalah untuk memujuk hati yang cemburu dan mengingatkan diri sendiri agar terus berusaha menjadi insan yang lebih baik. Sebagai contoh, Allah memuliakan hamba-hambaNya yang Dia pilih untuk dimuliakan. Ada orang-orang yang bukan Islam dan tak beriman dimuliakan Allah dengan harta, pangkat dan kemewahan di dunia. Tetapi semua ini telah termaktub di dalam Al-Quran bahawa setakat di dunia ini sahajalah kemuliaan dan nimat itu diberi kepada mereka yang kafir, kufur, munafiq dan sesiapa sahaja yang engkar dengan Allah. Kepada yang beriman, kemulian itu ada yang diberi ketika di dunia tetapi apa yang pasti tetap diberi balasan nikmat yang hebat di akhirat nanti. Apa yang penting adalah kemuliaan di sisi Allah, bukanlah kemuliaan di sisi manusia. Namun atas kuasa Allah, manusia yang dimuliakan Allah selalunya dimuliakan manusia. Teman pula berpendapat, lebih banyak kita beribadah dan memuliakan Allah, lebih banyak jugalah nikmat yang Allah beri. Malah ketika di dunia ini pun sudah diberikan balasan. Andai ada yang kata tidak atas kenyataan teman ini, hari ini lihatlah anggota anda yang masih berfungsi dengan baik, nikmat itu sahaja belum terbayar oleh kita sebagai hamba yang kesyukurannya terlalu sedikit berbanding nikmat yang terlalu banyak yang telah Allah berikan.
Ada seorang senior teman di pejabat hari ini memberikan teman kurma, kismis, air zam zam sebotol dan 'kacang pandai' yang dibeli dari kota Makkah. Ketika menghulurnya, beliau berkata, "ini pemberian sebagai tanda terima kasih kerana mengimamkan solat", masya-Allah. Ia adalah hadiah dari Allah. Ketika teman memikirkan tentang Prof Kamil sekeluarga yang bakal berangkat ke Kota Madinah awal September nanti, ada hadiah khas dari kota Makkah al-Mukarramah. Teman tak pernah menjejaki kota Makkah dan Madinah, tetapi hadiah Allah yang dihantar melalui hambaNya yang baik hati itu benar-benar menyentuh hati, betapa Allah memuliakan hambaNya dengan cara yang tak disangka-sangka. Padahal, teman cuma mengimamkan zuhur di surau di syarikat teman sejak awal Ramadhan tempoh hari hingga Jumaat tempoh hari. Teman sendiri tak sangka akan mengimamkan solat Zuhur setiap hari di bulan Ramadhan ini, ia adalah kuasa Allah yang mahukan suasana itu begitu. Ia adalah satu bentuk kemuliaan yang Allah beri di bulan yang penuh mulia ini. Dan sebagai habuan, Allah kirimkan makanan-makanan kegemaran Nabi ini kepada teman. Ia amalan teman yang sedikit atas nikmat yang tak terhingga. Dan ia membuktikan bahawa, Alah memuliakan sesiapa yang dikehendakiNya dan kita sebagai hamba Allah harus yakin dan berlumba-lumba mengejar cinta Allah dan Rasul. Selebihnya, janganlah diharapkan sesuatu yang lebih kerana apa yang kita lakukan ini belum dapat membayar segala nikmat yang Allah beri. Biarlah Allah membalas dengan caraNya, samada di dunia atau di akhirat, Dia Maha Berkuasa. Apa yang penting, lakukanlah apa sahaja dengan azam ingin mendapat keredhaan Allah, bukan untuk mendapatan penghargaan manusia. Beristighfarlah sebanyak mungkin agar dosa-dosa kita diampunkan, agar kebaikan yang kita lakukan tak terhapus dek riak yang bersarang di hati.
Jika ada yang sukar untuk berubah, cuba berubah namun masih sukar meninggalkan cinta terhadap dunia, marilah kita sama-sama berdoa agar diberikan taufik dan hidayahnya. Tak mengapa kalau sukar untuk berubah, tetapi jangan sampai kita terleka hingga dosa itu satu perkara yang biasa, sehingga tiada rasa bersalah oleh pelakunya. Sentiasalah berdoa dan bercita-cita inginkan kebaikan dan perubahan. Doalah agar diri mencintai Allah melebihi segala yang ada di dunia. Melebihi rasa cinta terhadap pasangan, keluarga dan sesiapa sahaja. Alah dan Rasul lebih utama. Dengan menggapai cinta agung terhadap Allah dan RasulNya, pasti kita akan dapat mencintai makhluq Allah seadanya dan menjadi yang terbaik dalam setiap hubungan yang kita bina. Inilah indahnya cinta Ilahi.
Alhamdulillah juga kerana teman dapat menulis entri ini dengan mudah. Semoga apa yang teman kongsikan memberi manfaat kepada seiapa yang membacanya. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment