Tuesday, 16 August 2011

Bidaah Sesat dan Isu Tarawih

Assalamualaikum wbt dan selapat pagi semua,

Ada dua perkara yang mengganggu benak teman pagi ini. Satu daripadanya terbawa-bawa daripada peristiwa yang berlaku semalam. Perkara pertama adalah tentang satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang bekerja di syarikat yang sama dengan teman. Panggilan tersebut adalah panggilan rambang dan akhirnya berlanjutan selama lebih setengah jam. Pada mulanya beliau seolah-olah mengorek tahap kefahaman agama teman. Seboleh-bolehnya teman cuba mengurangkan kata-kata dengan lelaki bukan mahram yang teman tak pasti identitinya walaupun bekerja di syarikat yang sama. Hasil daripada 'korek-mengorek' itu, beliau akhirnya berpendapat bahawa teman sudah ada asas agama yang baik lalu diperkenalkan dengan ilmu yang lebih 'dalam' lagi. Beliau menyarankan teman membaca buku 'Hakikat Insan' dan berazam ingin mengirimkan buku tersebut kepada teman. Beliau juga bertanya dengan siapa teman berguru dan kitab apa yang teman baca. Akhirnya perbualan itu semakin pelik dan dan menurutnya itu adalah ilmu yang dalam dan bahaya. Selesai perbualan, teman bertanya rakan sekerja yang mengenali lelaki tersebut dan akhirnya teman diberitahu bahawa lelaki tersebut adalah 'lelaki gatal' yang pernah cuba mengambil kesempatan ke atas kawan serumah kepada kawan teman itu. Teman juga cuba mencari maklumat tentang ajaran 'Hakikat Insan' tersebut di internet dan terbaca fatwa dari Majlis Fatwa Kelantan dan Kedah bahawa buku dan ajaran tersebut diharamkan dan dikategorikan sebagai bidaah yang menyesatkan. Teman juga mengorek laman e-Fatwa JAKIM dan akhirnya jelas menunjukkan bahawa ajaran itu diwartakan sebagai bidaah sesat, kalau tak silap teman ia diwartakan pada tahun 2001. Teman akhirnya berdoa agar Allah menyelamatkan teman daripada ilmu yang menyesatkan. Mohon dijauhkan Ya Allah dari kesesatan yang nyata. Apa yang teman risaukan adalah jika benar ia fahaman yang menyesatkan, teman takut lelaki itu menyebarkannya dan mengakibatkan orang yang tak memahami agama menjadi lebih tersasar dari landasan yang sebenar.

Perkara kedua adalah teman menerima panggilan telefon dari kakak angkat yang mengajar di kota pagi tadi. Beliau dalam perjalanan ke tempat kerja. Dek kerana mengantuk, beliau menelefon teman untuk menghilangkan rasa mengantuk itu. Pada mulanya perbualan tersebut berlangsung seperti biasa namun kemudian menjadi panas apabila beliau mempersoalkan mengapa teman tidak melakukan terawih di masjid sahaja. Apabila teman katakan masalah kos minyak untuk berulang alik ke masjid, beliau mengatakan teman terlalu berkira untuk ke masjid. Sedangkan teman ini seorang wanita. Tinggal berdua dengan rakan serumah yang merupakan adik angkat teman. Kami bukanlah orang yang bayak duit. Setiap 3-4 hari, tong minyak kereta perlu diisi penuh kerana tempat kerja agak jauh dari tempat tinggal. Dan kami hanya melakukan dirumah secara berjamaah atas faktor-faktor jimat minyak dan keselamatan. Sejak akhir-akhir ini, kecoh di kawasan tempat tinggal kami tentang kes rompakan. Untuk mengelakkan daripada diketahui orang-orang yang tak sepatutnya bahawa kami hanya tinggal berdua dan tiada lelaki yang melindungi di rumah, teman rasakan waar kami tidak keluar malam. Memang disunnahkan begitu bahawa wanita tidak wajib malah tidak digalakkan ke masjid atau keluar di malam hari untuk mengelakkan fitnah, teman kira, untuk keselamatan juga merupakan faktor yang kukuh untuk menidakkan kami berpergian di waktu malam. Tetapi kakak angkat teman menyanggah 'keadaan' kami seolah-olah solat terawih yang kami lakukan secara berjemaah di rumah tidak afdhal. Teman hampir hilang sabar ketika mengatakan "salahkah saya mengimamkan solat terawih di rumah?" Akhirnya perbualan itu tamat dengan sedikit rasa negatif yang bersarang di hati. Kawan serumah teman memberi nasihat yang ringkas tetapi berkesan, "Sabar..."

Di dalam kereta, untuk memadamkan gejala negatif yang bersarang di hati kerana dua perkara itu, teman banyak-banyak berisitghfar dan berzikir supaya ia dapat menyucikan hati teman yang tercemar ini. Seorang bijak pandai pernah berkata, jika kita marah-marah, ada yang tak kena dengan iman kita, kerana marah bukan sifat orang yang beriman. Jadi kemungkinan besar rasa panas yang bersarang di hati teman adalah hasil daripada hati teman yang kotor dan keimanan yang lemah. Teman panjatkan istighfar, tasbih, takbir dan tahmid kepada Allah, mohon hidayah dan petunjuk. Doa demi doa teman iringkan sepanjang pemanduan ke tempat kerja. Teman buka radio, ada tazkirah Ramadhan di radio IKIM. Selesai tazkirah tersebut, teman buka siaran dari Batam, 'Spirit of Sunnah, Hang FM'. Di kesempatan yang lain, teman akan ceritakan tentang 'Spirit of Sunnah', radio dakwah dan agama yang sangat baik dari Batam. Penduduk Pasir Gudang - Kulai boleh menikmati siaran ini di frekuensi 106.0. Dalam ceramah tersebut, ada dua persoalan yang ditimbulkan oleh pendengar dari Batam Centre. Yang pertama tentang bidaah, dan kedua tentang perbalahan isu agama yang agak menyimpang. Ia seolah-olah menjawab dua persoalan yang bermain di hati teman. Allah itu Maha Hebat, mintalah padaNya petunjuk, pasti diberiNya jawapan. Jawapan kepada isu bidaah, ustaz tersebut mengatakan bahawa bidaah adalah haram. Ada beberapa penerangan yang teman belum sempat terangkan di sini. tetapi kesimpulan kepada bidaah atau perkara-perkara diluar ajaran Allah dan Rasul adalah haram. Persoalan kedua dijawab ustaz dengan kata-kata pujukan bahawa sesungguhnya mereka yang mencetus 'argument' itu adalah orang yang tidak tahu. Ia adalah ujian kepada manusia yang mana ujian boleh datang dalam bentuk apa sahaja, hatta dalam hal ilmu. maka kita perlu bersabar dan memahami bahawa orang yang tidak tahu itu sememangnya akan mengatakan sesuatu yang bertentangan.  Apa yang pasti, jawapan yang kukuh adalah sabar!

Teman nampak tergesa-gesa menerangkan semua isu ini kerana teman perlu bekerja dan memanfaatkan masa bekerja. Tetapi teman perlu juga memberi sedikit penerangan agar apa yang teman alami tidak hilang begitu sahaja. Teman harap, kepada sesiapa yang membaca entri ini, Allah memberi aqal maka gunakanlah sebaiknya. Janganlah kita mudah menerima sesuatu tanpa usul periksa. Carilah ilmu yang sebaiknya agar ia dapat membantu kita menilai antara hak dan batil. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment