I am the servant of Allah, someone who has nothing, no wealth, no power, no excitement, a little knowledge, I am nothing.
Friday, 26 August 2011
Catatan di Pagi Ramadhan-26
Selamat pagi buat semua sahabat-sahabat semua...pagi ini, teman masih bekerja. Begitulah takdirnya. Pagi tadi...dikala sahur, ia adalah qiyam yang indah....sesungguhnya Allah Maha Penyayang dan cinta agungku hanya untukMu ya Allah.
Pagi ini bumi dibasahi hujan, hujan rahmat dari Allah. Mujurlah jalan raya tidak terlalu sesak, mungkin sudah ramai yang mula bercuti. Teman sampai di tempat kerja jam 8.20pagi. Sedikit lewat dari kebiasaan kerana hujan yang agak lebat pagi ini, maka perjalanan menjadi sedikit perlahan, namun ia bukanlah sejenis masalah. Nikmat Allah terlalu banyak sehinggakan perkara sekecil ini bukanlah satu masalah. Lihatlah mereka yang bermotosikal, mereka dibasahi hujan, maka yang berkereta sepatutnya bersyukur. Syukur itu kunci yang menutup segala rungutan. Rungutan adalah lambang 'tidak kenang budi' kita kepada Allah. Oleh itu, belajarlah untuk sentiasa bersyukur. Kepada yang bermotosikal, mujurlah anda naik kenderaan seumpama itu, tidak perlu tersekat dek kesesakan. Kepada yang berjalan kaki juga wajib bersyukur, kerana masih ada kaki! Ya Allah, hebatnya nikmat yang Kau berikan, lantas amat sedikit antara kami ini yang bersyukur.
Suasana pejabat agak suram. Ada yang sudah mula bercuti seperti kawan teman yang mejanya cuma bersebelahan ini. Bagi teman, seawal hari Isnin, teman sudah 'pulun' menyiapkan segala kerja-kerja untuk mengelakkan masalah di Hari Raya. Hasilnya, hari ini teman tiada kerja! Bersyukurlah, dari orang yang kerjanya tetap berjalan walaupun di Hari Raya. Kuih Kek Lapis yang diimport khas dari Sarawak juga telah sampai hari ini. Syukur alhamdulillah, rezeki buat keluarga di kampung.
Rata-rata jiwa pekerja sudah tiada di pejabat. Teman pun hampir mati kuman dibuatnya. Tetapi teman ada beberapa perancangan hari ini, antaranya adalah menghantar kereta untuk dicuci, 'top up' kad 'Touch N Go, mengeluarkan sejumlah wang tunai di mesin ATM dan membeli jubah yang dipesan ibu. Teman tak pasti samada sempat melakukan semua itu hari ini. Apa pun, teman akan lakukan apa yang sempat.
Buat semua, Selamat Hari Raya dan maafkan segala silap salah teman andai ada yang mengguris hati. Doakan teman dapat pulang ke kampung dan beraya bersama ayah bonda. Kerana redha ibu bapa itu adalah tangga untuk mencapai redha Allah.
Thursday, 25 August 2011
Ayah
Beberapa hari sahaja lagi, Syawal bakal menjelma dan Ramadhan yang penuh barakah bakal meninggalkan kita. Rasanya, belum puas dan belum cukup melaksanakan sebanyak-banyak amalan di bulan Ramadhan ini. Terasa Ramadhan kali ini amat singkat. Ijazah Taqwa yang diimpikan amatlah diharapkan agar diri ini dapat mencapainya. Semoga Allah menerima amalan-amalan kita dan akhirnya menganugerahkan kita dengan taqwa dan keutuhan iman.
Teman pada hakikatnya berdebar-debar menati saat kepulangan ke kampung, setelah hampir 4 tahun dalam buangan ayah. Masa itu, teman jahil dan angkuh. Kufur dengan nikmat Allah, malah derhaka dengan ayah. Kali ini, teman akan melutut di kakinya mohon redha dan ampun seorang ayah. Ini bukan kali pertama teman mencuba, tetapi cubaan kali ini berbeza, ia datang dari hati yang menginginkan redha Allah. Mana mungkin redha Allah mampu teman capai selagi ayah tak redha dengan teman. Kalau dulu, walaupun cuba mencium tangannya, tetapi mungkin dalam hati masih ada marah dan dendam. Tetapi kali ini, teman betul-betul ingin mendapatkan redha ayah semata-mata kerana Allah. Semoga Allah melembutkan hati ayah untuk menerima teman kali ini. Akan teman pijak keegoan teman, biar lumat di hadapan seorang ayah. Akan teman tolak rasa malu, akan teman luahkan segala kata-kata mohon ampun, akan teman akui segala kelemahan dan kesilapan teman kerana teman ini hanyalah hamba Allah yang hina. Lebih hina lagi apabila ayah tak redha dengan diri teman, sangat-sangatlah hina.
Ayah, ketahuilah, diri ini sangat mencintaimu. Siapapun dirimu, dirimu itu tetap ayah kandungku. Ayah, ku titip doa untukmu di setiap kali ku sujud kepadaNya. Ku sedekahkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan setiap infaq ku, agar Allah memerikan pahala itu kepadamu. Semoga dengan doa demi doa yang kutitipkan, menjadi air sejuk yang dapat menyirami hatimu, agar kasih sayang membasahi hatimu. Ayah, aku akui segalanya kerana aku anak yang hina. Ampunkan aku ayah....ampun diri ini.
Friday, 19 August 2011
Ukhwah Fillah
Ukhwah fillah bermaksud hubungan persaudaraan sesama saudara Islam yang dibina atas nama Allah dan iman. Ia nampak seolah-olah tidak membawa apa-apa erti tetapi ia adalah sesuatu yang penting dan membawa kesan yang besar kepada orang-orang yang beriman.
Ukhwah fillah dibina hanya kerana mencari keredhaan Allah SWT. Ia bukan dibina kerana rupa, pangkat dan harta, tetapi ia adalah semata-mata ibadah yang dilakukan demi mencapai redha-Nya. Jika iman dijadikan landasan hubungan tersebut, maka makmurlah orang-orang yang meletakkan redha Allah sebagai paksi utama dalam hubungan mereka.
Mengikut pengalaman teman, teman pernah mengenali seorang sahabat yang teman kira beliau didatangkan Allah sebagai murabbi dan da’ie. Teman yang sememangnya hidup di luar batasan agama dipertemukan Allah dengan seorang gadis yang beriman dan sederhana. Hanya Allah ada di hatinya. Dan teman memperkenalkannya dengan makna persahabatan. Di situlah teman mempelajari tentang ‘ukhwah fillah’. Aura keimanan sahabat teman itu akhirnya membawa teman mengenal erti kehambaan, memperkenalkan Allah yang kian teman lupakan pada ketika itu. Kami bersahabat dengan bahagia, teman seolah-olah melalui proses tarbiyah sewaktu bersamanya. Segala-galanya indah sehingga setahun berlalu, teman akhirnya terpisah. Kerana iman kami bertemu dan kerana iman juga kami berpisah. Teman akhirnya hanyut sekali lagi dan sahabat teman itu kecewa.
Hari ini, teman berdiri dari kejatuhan yang lalu, bukan atas huluran tangan sesiapa, tetapi atas lonjakan dari dalam diri teman sendiri. Sudah sampai masanya Allah menarik teman ke sisiNya. Dan perlulah teman pelihara perhatian dan kasih sayang Allah ini agar teman sentiasa berada di landasanNya. Bersama memori ‘ukhwah fillah’, teman bangun semula dan mula mengukirkan azam di hati bahawa setiap manusia yang teman jumpa adalah kerana Allah. Ukhwah fillah akan teman genggam sebagai resepi berukhwah. Iman akan dijadikan teras dan teman akan berusaha agar teman dapat membina hubungan yang sebegitu dengan semua orang. Biarlah setiap hubungan yang dibina menjadi ibadah mulia untuk teman sembahkan di hadapan Allah. Walaupun masih kabur tentang bagaimana melaksanakan ukhwah fillah, semoga Allah memberi kekuatan dan petunjuk agar teman dapat mencapai matlamat itu.
Esok, rakan-rakan sosial teman yang teman kenali sejak tahun 2006 akan mengadakan perjumpaan sempena berbuka puasa. Solat terawih tiada dalam agenda, tetapi waktu solat terawih itu mereka meletakkan aktiviti menonton perlawanan bola. Teman berazam akan memimpin akhawat (sahabat-sahabat wanita) untuk berterawih bersama, biarlah lelaki-lelaki itu sibuk menonton bola dan anak-anak kecil mereka sibuk berlari ke
Untuk pekerja-pekerja di syarikat teman ini, teman sudah memulakan usul untuk mengadakan usrah setiap hari Jumaat bermula selepas Hari Raya Puasa kali ini. Alhamdulillah, ada yang menyokong. Teman akan
Thursday, 18 August 2011
Pagi Yang Indah
Jam 4.40 pagi, penggera berbunyi lagi dan mengejutkan tidur yang umpama baru sebentar sahaja lelap. Teman menggerak adik angkat teman untuk turut sama turun ke bawah bagi menemani teman menyediakan sahur. Walaupun tidak berpuasa, teman kira ini adalah Ramadhan terakhir teman berbakti menyediakan sahur untuk adik angkat kesayangan teman ini. Semoga adinda teman ini berbahagia di alam perkahwinan yang bakal didirikannya pada tahun hadapan.
Selesai bersahur, kami bertazkirah dalam bentuk yang santai sambil mengaitkan dengan masalah kehidupan sehari-hari. Adinda teman menceritakan tentang jiwanya yang merasa kelainan, beliau tidak lagi mudah marah dalam urusan kerja di pejabat, dan beliau mudah bertenang kali ini. Beliau mengambil pemikiran positif atas dua peristiwa yang berlaku padanya kelmarin. Ia adalah peristiwa mengenai dirinya tidak dihormati dan sikap tak beradab orang di pejabatnya terhadap dirinya, tetapi beliau memikirkan bahawa ini adalah gambaran Allah bahawa mungkin beliau secara tak sengaja melayan orang dengan tidak sopan sebelum ini. Beliau menganggapnya sebagai petunjuk, alhamdulillah, itulah yang teman pernah anjurkan padanya. Sifat kehambaan perlu ada supaya diri tak terasa 'macam bagus' atau 'lebih baik' dari orang lain. Melayan orang sebaik-baiknya dan merendah diri adalah sifat yang perlu ada agar diri sentiasa sedar bahawa kita semua adalah hamba Allah. Sombong itu pakaian Allah, jika hamba hina seperti kita cuba memakai pakaian Allah, pasti binasa! Alhamdulillah, syukur atas kesedaran kami berdua. Baru malam semalam teman katakan padanya, "Akak cintakan adik kerana Allah, bagaimana yang dikatakan cinta kerana Allah? Cinta yang berlandaskan iman". Dan hari ini teman bersyukur kerana kami saling lengkap melengkami dan saling mentarbiyah antara satu sama lain. Terima kasih buat Hilal Asyraf yang memperkenalkan "aku cinta kamu kerana Allah" di dalam karyanya "Sinergi". Maha Suci Allah yang mengurniakan ilham kepada hambaNya untuk menyampaikan tarbiyah Allah dengan pelbagai cara, termasuk melalui karya-karya Islami.
Pagi ini berlalu dengan sempurna, penuh keindahan nikmat Allah yang tak terhingga, ada tarbiyah, ada keinsafan dan ruh Islam dan iman yang memenuhi ruang hati. Jam menunjukkan pukul 7 pagi, harus bergerak segera ke tempat kerja dengan harapan mencari redha Allah. Ya Ilahi, Kau ku tuju, redhaMu ku cari, berilah daku rahmat dan kasih sayangMu, dan kurniakanlah aku petunjuk. Amin
Wednesday, 17 August 2011
Tadarus
Entah kenapa teman rasakan surau ini kian sepi. Ramadhan yang berlangsung sehingga hari yang ke 17 tidak langsung memberi kesan imarah terhadap surau ini. Tadarus yang dijalankan setiap waktu sebelum Zuhur hanyalah disertai ahli tetap, tiada ahli baru walaupun ramai yang mengetahui kewujudan aktiviti ini. Bolehkah diandaikan jumlah yang ada di surau ini sebagai perbandingan peratusan dan nisbah tentang jumlah masyarakat yang sedar tentang peranan diri sebagai hamba? Jika peratus ahli tadarus yang hadir cuma 10% dari Muslimah yang ada di syarikat ini, adakah hakikat masyarakat keseluruhannya juga begitu? Maka benarlah apa yang termaktub di dalam al-Quran bahawa umat akhir zaman ini, hanya sedikit di antaranya yang akan memasuki syurga. Semoga kami tergolong dalam golongan itu.
Bacaan demi bacaan dialunkan. Selain 'kakak' yang solehah itu, rata-ratanya masih lemah dalam ilmu tajwid. Dengung tak dengung hukum bacaan, diredah begitu sahaja. Hukum yang asas seperti Mad Asli juga ramai yang masih belum laksanakan dengan baik. 5-6 orang mengalunkan dengan lancar tanpa mengira hukum tajwid benar atau tidak. Ada 2-3 orang masih merangkak. Yang mengaplikasikan tajwid cuma 2 orang. Rata-rata yang ada berumur 32-45tahun, kecuali teman dan 2 lagi rakan. Walau bagaimanapun bacaan mereka, sikap mereka yang ingin membaca al-Quran itu amatlah dipuji. Ketika orang lain sibuk berbual, membaca akhbar dan tidur di meja masing-masing, mereka ini menggagahkan diri untuk menyertai tadarus sebegini. Yang 'merangkak' itu lebih dipuji, kerana mereka membuang rasa malu dan berjiwa kental untuk mencuba untuk mengalunkan ayat-ayat Quran yang suci itu. Kepada yang datang dan hanya mendengar sahaja, pun masih layak dipuji kerana mengenepikan rasa malu dan bersungguh-sungguh mencari pahala walaupun hanya mendengar. Tetapi realiti yang tidak boleh diambil mudah, masih ramai yang belum boleh membaca al-Quran dengan baik sedangkan huruf-huruf al-Quran ini bakal menjadi saksi si pembacanya di akhirat nanti. 'Tidak tahu' alasan yang boleh dikatakan tak mungkin diterima kerana Al -Quran menganjurkan 'bertanyalah kepada yang tahu'. Kehidupan ini adalah proses pembelajaran, maka pencarian ilmu tidak akan ada noktahnya. Teman doakan mereka yang menghadiri tadarus ini agar dibukakan hati untuk mempelajari ilmu al-Quran sehingga mereka boleh membaca al-Quran dengan lancar. Semoga usaha mereka menghadirkan diri ke majlis tadarus ini menjadi pembuka hidayah dan petunjuk agar mereka menjadi orang yang 'tahu'. Allah berfirman, "Adakah sama orang yang tahu dan orang yang tidak tahu itu?"
Wallahualam.
Tuesday, 16 August 2011
Bidaah Sesat dan Isu Tarawih
Ada dua perkara yang mengganggu benak teman pagi ini. Satu daripadanya terbawa-bawa daripada peristiwa yang berlaku semalam. Perkara pertama adalah tentang satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang bekerja di syarikat yang sama dengan teman. Panggilan tersebut adalah panggilan rambang dan akhirnya berlanjutan selama lebih setengah jam. Pada mulanya beliau seolah-olah mengorek tahap kefahaman agama teman. Seboleh-bolehnya teman cuba mengurangkan kata-kata dengan lelaki bukan mahram yang teman tak pasti identitinya walaupun bekerja di syarikat yang sama. Hasil daripada 'korek-mengorek' itu, beliau akhirnya berpendapat bahawa teman sudah ada asas agama yang baik lalu diperkenalkan dengan ilmu yang lebih 'dalam' lagi. Beliau menyarankan teman membaca buku 'Hakikat Insan' dan berazam ingin mengirimkan buku tersebut kepada teman. Beliau juga bertanya dengan siapa teman berguru dan kitab apa yang teman baca. Akhirnya perbualan itu semakin pelik dan dan menurutnya itu adalah ilmu yang dalam dan bahaya. Selesai perbualan, teman bertanya rakan sekerja yang mengenali lelaki tersebut dan akhirnya teman diberitahu bahawa lelaki tersebut adalah 'lelaki gatal' yang pernah cuba mengambil kesempatan ke atas kawan serumah kepada kawan teman itu. Teman juga cuba mencari maklumat tentang ajaran 'Hakikat Insan' tersebut di internet dan terbaca fatwa dari Majlis Fatwa Kelantan dan Kedah bahawa buku dan ajaran tersebut diharamkan dan dikategorikan sebagai bidaah yang menyesatkan. Teman juga mengorek laman e-Fatwa JAKIM dan akhirnya jelas menunjukkan bahawa ajaran itu diwartakan sebagai bidaah sesat, kalau tak silap teman ia diwartakan pada tahun 2001. Teman akhirnya berdoa agar Allah menyelamatkan teman daripada ilmu yang menyesatkan. Mohon dijauhkan Ya Allah dari kesesatan yang nyata. Apa yang teman risaukan adalah jika benar ia fahaman yang menyesatkan, teman takut lelaki itu menyebarkannya dan mengakibatkan orang yang tak memahami agama menjadi lebih tersasar dari landasan yang sebenar.
Perkara kedua adalah teman menerima panggilan telefon dari kakak angkat yang mengajar di kota pagi tadi. Beliau dalam perjalanan ke tempat kerja. Dek kerana mengantuk, beliau menelefon teman untuk menghilangkan rasa mengantuk itu. Pada mulanya perbualan tersebut berlangsung seperti biasa namun kemudian menjadi panas apabila beliau mempersoalkan mengapa teman tidak melakukan terawih di masjid sahaja. Apabila teman katakan masalah kos minyak untuk berulang alik ke masjid, beliau mengatakan teman terlalu berkira untuk ke masjid. Sedangkan teman ini seorang wanita. Tinggal berdua dengan rakan serumah yang merupakan adik angkat teman. Kami bukanlah orang yang bayak duit. Setiap 3-4 hari, tong minyak kereta perlu diisi penuh kerana tempat kerja agak jauh dari tempat tinggal. Dan kami hanya melakukan dirumah secara berjamaah atas faktor-faktor jimat minyak dan keselamatan. Sejak akhir-akhir ini, kecoh di kawasan tempat tinggal kami tentang kes rompakan. Untuk mengelakkan daripada diketahui orang-orang yang tak sepatutnya bahawa kami hanya tinggal berdua dan tiada lelaki yang melindungi di rumah, teman rasakan waar kami tidak keluar malam. Memang disunnahkan begitu bahawa wanita tidak wajib malah tidak digalakkan ke masjid atau keluar di malam hari untuk mengelakkan fitnah, teman kira, untuk keselamatan juga merupakan faktor yang kukuh untuk menidakkan kami berpergian di waktu malam. Tetapi kakak angkat teman menyanggah 'keadaan' kami seolah-olah solat terawih yang kami lakukan secara berjemaah di rumah tidak afdhal. Teman hampir hilang sabar ketika mengatakan "salahkah saya mengimamkan solat terawih di rumah?" Akhirnya perbualan itu tamat dengan sedikit rasa negatif yang bersarang di hati. Kawan serumah teman memberi nasihat yang ringkas tetapi berkesan, "Sabar..."
Di dalam kereta, untuk memadamkan gejala negatif yang bersarang di hati kerana dua perkara itu, teman banyak-banyak berisitghfar dan berzikir supaya ia dapat menyucikan hati teman yang tercemar ini. Seorang bijak pandai pernah berkata, jika kita marah-marah, ada yang tak kena dengan iman kita, kerana marah bukan sifat orang yang beriman. Jadi kemungkinan besar rasa panas yang bersarang di hati teman adalah hasil daripada hati teman yang kotor dan keimanan yang lemah. Teman panjatkan istighfar, tasbih, takbir dan tahmid kepada Allah, mohon hidayah dan petunjuk. Doa demi doa teman iringkan sepanjang pemanduan ke tempat kerja. Teman buka radio, ada tazkirah Ramadhan di radio IKIM. Selesai tazkirah tersebut, teman buka siaran dari Batam, 'Spirit of Sunnah, Hang FM'. Di kesempatan yang lain, teman akan ceritakan tentang 'Spirit of Sunnah', radio dakwah dan agama yang sangat baik dari Batam. Penduduk Pasir Gudang - Kulai boleh menikmati siaran ini di frekuensi 106.0. Dalam ceramah tersebut, ada dua persoalan yang ditimbulkan oleh pendengar dari Batam Centre. Yang pertama tentang bidaah, dan kedua tentang perbalahan isu agama yang agak menyimpang. Ia seolah-olah menjawab dua persoalan yang bermain di hati teman. Allah itu Maha Hebat, mintalah padaNya petunjuk, pasti diberiNya jawapan. Jawapan kepada isu bidaah, ustaz tersebut mengatakan bahawa bidaah adalah haram. Ada beberapa penerangan yang teman belum sempat terangkan di sini. tetapi kesimpulan kepada bidaah atau perkara-perkara diluar ajaran Allah dan Rasul adalah haram. Persoalan kedua dijawab ustaz dengan kata-kata pujukan bahawa sesungguhnya mereka yang mencetus 'argument' itu adalah orang yang tidak tahu. Ia adalah ujian kepada manusia yang mana ujian boleh datang dalam bentuk apa sahaja, hatta dalam hal ilmu. maka kita perlu bersabar dan memahami bahawa orang yang tidak tahu itu sememangnya akan mengatakan sesuatu yang bertentangan. Apa yang pasti, jawapan yang kukuh adalah sabar!
Teman nampak tergesa-gesa menerangkan semua isu ini kerana teman perlu bekerja dan memanfaatkan masa bekerja. Tetapi teman perlu juga memberi sedikit penerangan agar apa yang teman alami tidak hilang begitu sahaja. Teman harap, kepada sesiapa yang membaca entri ini, Allah memberi aqal maka gunakanlah sebaiknya. Janganlah kita mudah menerima sesuatu tanpa usul periksa. Carilah ilmu yang sebaiknya agar ia dapat membantu kita menilai antara hak dan batil. Wallahualam.
Monday, 15 August 2011
Catatan Ramadhan
Ini adalah entri kedua sepanjang Ramadhan yang telah berlalu selama 2 minggu ini. Sejak akhir-akhir ini, teman banyak membaca entri orang lain berbanding membuat entri sendiri. Di Ramadhan yang mulia ini, terasa diri bagaikan terlalu dahaga dengan ilmu dan semakin lama ilmu yang ada terasa sangat cetek sehinggakan teman tak tahu apa lagi apa yang nak teman kongsikan. Tetapi teman akan tetap mempertahankan blog ini, walaupun pengunjungnya tak ramai, tetapi ini sahajalah medan dakwah teman yang teman mampu kongsikan ilmu yang sedikit ini dengan bebasnya. Teman harap, entri yang biasa-biasa ini mampu menggerak hati segelintir manusia supaya mencintai Allah dan Rasul SAW.
Hari ini, mata teman terpacak di blog Prof Kamil dan isterinya. Ketika membaca entri mereka, bergenang air mata teman. Ada sedikit cemburu kerana mereka dimuliakan Allah dan dipilih untuk tinggal di Kota Rasulullah SAW. Prof Kamil akan mengajar di universiti di Madinah dan tak berjauhan dengan Masjid Nabawi. Puan Roza dan 2 anak mereka akan turut serta menetap di sana sementara 2 lagi anak mereka akan teruskan pengajian di malaysia hingga tamat. Akhir-akhir ini, teman selalu berdoa dan bermohon kepada Allah agar Allah menarik teman untuk rapat serapat-rapatnya dengan Allah. Teman cintakan Allah dan Rasulullah SAW. Dulu teman tak kenal cinta Allah dan Rasul. Lalu teman berdoa pada Allah agar hati teman diisi dengan cinta agung terhadap Sang Pencipta dan KekasihNya. Alhamdulillah, semakin hari perasaan cinta dan rindu bertandang. Atas dasar cinta itu, apabila ada yang terpilih untuk dekat denganNya di tempat mulia Nabi SAW, hati ini sedikit cemburu dan mengimpikan dimuliakan Allah sebegitu. Tetapi apabila mengenangkan amal yang tak seberapa, teman akur dan berazam akan berusaha mendekati Allah dan Rasul agar Allah memilih teman untuk menjadi hambaNya yang terbaik di sisiNya.
Allah itu tak bertempat, Allah ada dengan kita. Sebagaimana kita melihat apa yang ada di hadapan kita, itu adalah hasil dari Nur yang Allah limpahkan kepada kita sehingga kita nampak tanda kekuasaanNya. Allah adalah Pemberi cahaya (Nur). Dunia ini pada hakikatnya gelap, tetapi dengan cahaya, isi dunia terzahir di mata hamba-hambaNya. Dengan cahaya, tumbuh-tumbuhan hidup melata di muka bumi ini. Hari siangnya, matahari menyinari dunia dan ketika malam, pantulan cahaya bulan membuatkan isi dunia tetap kelihatan di dalam kesamaran. Segalanya kerana cahaya(Nur) dan pemberi cahaya itu adalah Allah. Kerana itulah Al-Quran sering menyatakan bahawa Allah pemberi cahaya (Nur). Dengan keyakinan seperti ini, apabila kita terlihat apa sahaja di hadapan mata kita, di situlah kita rasakan kehadiran Allah kerana Allahlah yang melimpahkan kita dengan Nur (cahaya) sehingga apa-apa yang ada di hadapan kita terzahir di mata kita. Maka bersyukurlah, walaupun tidak ada di bumi mulia Madinah, hamba seperti kita tetap ada Allah walau di mana kita berdiri.
Bukanlah menidakkan nikmat yang dikecapi Prof Kamil sekeluarga, entri ini adalah untuk memujuk hati yang cemburu dan mengingatkan diri sendiri agar terus berusaha menjadi insan yang lebih baik. Sebagai contoh, Allah memuliakan hamba-hambaNya yang Dia pilih untuk dimuliakan. Ada orang-orang yang bukan Islam dan tak beriman dimuliakan Allah dengan harta, pangkat dan kemewahan di dunia. Tetapi semua ini telah termaktub di dalam Al-Quran bahawa setakat di dunia ini sahajalah kemuliaan dan nimat itu diberi kepada mereka yang kafir, kufur, munafiq dan sesiapa sahaja yang engkar dengan Allah. Kepada yang beriman, kemulian itu ada yang diberi ketika di dunia tetapi apa yang pasti tetap diberi balasan nikmat yang hebat di akhirat nanti. Apa yang penting adalah kemuliaan di sisi Allah, bukanlah kemuliaan di sisi manusia. Namun atas kuasa Allah, manusia yang dimuliakan Allah selalunya dimuliakan manusia. Teman pula berpendapat, lebih banyak kita beribadah dan memuliakan Allah, lebih banyak jugalah nikmat yang Allah beri. Malah ketika di dunia ini pun sudah diberikan balasan. Andai ada yang kata tidak atas kenyataan teman ini, hari ini lihatlah anggota anda yang masih berfungsi dengan baik, nikmat itu sahaja belum terbayar oleh kita sebagai hamba yang kesyukurannya terlalu sedikit berbanding nikmat yang terlalu banyak yang telah Allah berikan.
Ada seorang senior teman di pejabat hari ini memberikan teman kurma, kismis, air zam zam sebotol dan 'kacang pandai' yang dibeli dari kota Makkah. Ketika menghulurnya, beliau berkata, "ini pemberian sebagai tanda terima kasih kerana mengimamkan solat", masya-Allah. Ia adalah hadiah dari Allah. Ketika teman memikirkan tentang Prof Kamil sekeluarga yang bakal berangkat ke Kota Madinah awal September nanti, ada hadiah khas dari kota Makkah al-Mukarramah. Teman tak pernah menjejaki kota Makkah dan Madinah, tetapi hadiah Allah yang dihantar melalui hambaNya yang baik hati itu benar-benar menyentuh hati, betapa Allah memuliakan hambaNya dengan cara yang tak disangka-sangka. Padahal, teman cuma mengimamkan zuhur di surau di syarikat teman sejak awal Ramadhan tempoh hari hingga Jumaat tempoh hari. Teman sendiri tak sangka akan mengimamkan solat Zuhur setiap hari di bulan Ramadhan ini, ia adalah kuasa Allah yang mahukan suasana itu begitu. Ia adalah satu bentuk kemuliaan yang Allah beri di bulan yang penuh mulia ini. Dan sebagai habuan, Allah kirimkan makanan-makanan kegemaran Nabi ini kepada teman. Ia amalan teman yang sedikit atas nikmat yang tak terhingga. Dan ia membuktikan bahawa, Alah memuliakan sesiapa yang dikehendakiNya dan kita sebagai hamba Allah harus yakin dan berlumba-lumba mengejar cinta Allah dan Rasul. Selebihnya, janganlah diharapkan sesuatu yang lebih kerana apa yang kita lakukan ini belum dapat membayar segala nikmat yang Allah beri. Biarlah Allah membalas dengan caraNya, samada di dunia atau di akhirat, Dia Maha Berkuasa. Apa yang penting, lakukanlah apa sahaja dengan azam ingin mendapat keredhaan Allah, bukan untuk mendapatan penghargaan manusia. Beristighfarlah sebanyak mungkin agar dosa-dosa kita diampunkan, agar kebaikan yang kita lakukan tak terhapus dek riak yang bersarang di hati.
Jika ada yang sukar untuk berubah, cuba berubah namun masih sukar meninggalkan cinta terhadap dunia, marilah kita sama-sama berdoa agar diberikan taufik dan hidayahnya. Tak mengapa kalau sukar untuk berubah, tetapi jangan sampai kita terleka hingga dosa itu satu perkara yang biasa, sehingga tiada rasa bersalah oleh pelakunya. Sentiasalah berdoa dan bercita-cita inginkan kebaikan dan perubahan. Doalah agar diri mencintai Allah melebihi segala yang ada di dunia. Melebihi rasa cinta terhadap pasangan, keluarga dan sesiapa sahaja. Alah dan Rasul lebih utama. Dengan menggapai cinta agung terhadap Allah dan RasulNya, pasti kita akan dapat mencintai makhluq Allah seadanya dan menjadi yang terbaik dalam setiap hubungan yang kita bina. Inilah indahnya cinta Ilahi.
Alhamdulillah juga kerana teman dapat menulis entri ini dengan mudah. Semoga apa yang teman kongsikan memberi manfaat kepada seiapa yang membacanya. Wallahualam.
Thursday, 11 August 2011
Ramadhan, Jalan Untuk Taqwa
Walaupun blog teman bukanlah blog popular, pembaca pun taklah ramai, tetapi teman tetap mahu meminta maaf kerana 2 minggu teman tidak meletak apa-apa entri di blog teman ini. Bukannya apa, teman sibuk dengan projek syarikat, latihan dan ujian yang dianjurkan syarikat.
Semalam, ibarat orang yang terhantuk, barulah teman tersedar bahawa usaha teman belum cukup lagi dalam bulan Ramadhan ini. Ramadhan tinggal tak sampai 20 hari, adakah mampu teman menggamai ijazah taqwa? Sebenarnya, hanya pada Ramadhan kali ini barulah teman tahu tujuan Ramadhan, iaitu bulan bagi seseorang untuk mencapai taqwa. Dengan ketaqwaan, ia akan membantu kita menjaga diri untuk 11 bulan yang akan datang sebelum Ramadhan menjengah lagi. Dan mulai dari kesedaran itu, ia menjadi matlamat teman juga dan taqwa sudah menjadi perkataan yang paling teman suka. Semoga teman mendapat lebih ilmu tentang bagaimana menggapai taqwa.