Salam maya untuk lembaran sepi..
Pagi ini teman buka laman Facebook, terbaca status seorang teman lama dari sekolah asrama teman dahulu. Status tentang kesyukuran pada Ilahi. Tentang bagaimana kesusahan yang kita alami, tetapi kita perlu menyedari hakikat bahawa ada yang tika kita bernafas segar di pagi hari, ada yang sedang berjuang untuk bernafas dan hidup selesa seperti kita. Ia adalah status biasa berunsur motivasi yang biasa kita lihat di Twitter, Facebook, Instagran dan di mana-mana sahaja laman sosial. Tetapi status yang biasa-biasa ini memberi impak yang besar kepada sesiapa yang membacanya. Kerana pada ketika teman membaca status itu, teman mula mengingatkan diri untuk bersyukur dan menanam semangat yang kian luntur ini. Teman mula membuang jauh-jauh dari melihat nasib diri dengan pandangan yang lemah. Teman mula mengatur kembali pola pemikiran untuk menjadi lebih bersyulur dan positif tentang hidup.
Beberapa waktu kemudia, seorang lagi teman lama dari sekolah yang sama mula memberi refleksi pada statusnya. Seolah-olah menyahut nasihat kawan yang mula-mula mengeluarkan status yang 'biasa-biasa' itu tadi. Beliau seolah-olah kembali bersemangat dan mengungkapkan rasa syukur dengan kalimah suci alhamdulillah. Rupanya pemikiran kami disatukan dengan status yang biasa-biasa itu.
Selang sejam, seorang kawan lama yang kelihatan agak murung sejak akhir-akhir ini melalui status-statusnya di Facebook, mengeluarkan status yang juga refleksi dari status biasa-biasa itu. Nampaknya, teman yang sedang dilanda masalah ini seolah-olah nampak cahaya, dan seolah-olah tersedar dari mimpi ngeri. Akhirnya teman yang bermasalah ini mula menanam semangat untuk mensyukuri kehidupan ini dan mula memahami bahawa dirinya masih lebih baik dari manusia lain. Itulah impak status biasa-biasa ini.
Akhirnya teman menyedari, sesuatu yang disampaikan dengan positif, ikhlas dan jujur, walaupun pada dasar dan kebiasaan adalah satu penyampaian yang stereotaip, tetapi dengan suntikan ikhlas dan jujur itu membuatkan status biasa-biasa ini memberi impak yang luar biasa kepada pembacanya. Patutlah Allah hanya menerima amalan yang ikhlas kerana ikhlas adalah sesuati yang mahal dan eksklusif.
Terima kasih kak intan dengan status anda...
No comments:
Post a Comment