Tuesday, 6 November 2012

Sebelum Mata Terlena

Assalamualaikum wbt,

Inilah waktu tidur teman. Pukul 10 malam mungkin terlalu muda bagi sesetengah orang. Tapi bagi teman, cukup lewat bagi sesiapa yang berniat bangun di tengah malam mencari redha Ilahi. Tidur bukan nikmat yang dinikmati begitu saja. Ia adalah ibadah bagi mereka yang menghayati agamanya. Tidur yang  berwudhuk, dihiasi ayat-ayat al-Quran dan secebis doa yang diajar Nabi S.A.W. pasti ia tidak sama dengan tidur orang yang tidak mengerti. Allah S.W.T sering bertanya di dalam al-Quran, samakah orang yang tahu dengan mereka yang tidak mengerti? Sama sekali tidak. Orang yang mencari redha Allah sering menjadikan waktu sebelum tidur sebagai waktu untuk bermuhasabah. Melihat kembali cacat cela kita mengharungi hari itu, lantas memohon ampun dari Yang Maha Pengampun.
Oleh itu, sebelum tidur, lakukan apa yang disunnahkan kekasih kita Rasulullah SAW. Semoga kita tergolong dalam hamba-hamba pilihan Allah SWT.

Mari Bekerja Untuk Allah...

Assalamualaikum,
Setelah sekian lama, teman singgah sebentar di blog teman yang sudah bersawang ini. Apa khabar kepada "unknowm readers". Teman sepatutnya sudah memulakan tugas-tugas teman di tempat kerja. Kerja bermula 8.30 pagi, sekarang   jam menunjukkan 8.38 pagi. Nampaknya, teman tidak amanah untuk meluangkan masa 10-15 minit dengan menulis di ruang blog teman ini. Apa-apapun, teman akan gantikan 15 minit ini sewaktu rehat ataupun selepas 5.30 petang nanti sebagai mencari keberkatan dan berlaku   amanah di tempat kerja.

Teman ingin menulis kerana merasakan semangat bekerja yang menurun sejak semalam. Jadi teman ingin kongsikan rasa ini. Teman ingin menanam keazaman di alam maya ini bahawa hari ini teman perlu:

1. Bekerja dengan penuh semangat dan amanah supaya pekerjaan ini menjadi ibadah yang ikhlas di sisi Allah SWT.
2. Teman perlu membahagiakan orang lain supaya Allah bahagiakan teman.
3. Teman perlu menjaga akhlaq supaya teman dipandang Allah.
4. Teman perlu merasa gembira dan bahagia kerana rasa gembira itu adalah tanda syukur hamba Allah terhadap Rabul Alamin.
5. Teman mesti banyak ingat Allah walaupun dalam kesibukan bekerja.
6. Teman perlu melakukan yang terbaik dalam tugas teman agar orang Islam menjadi hebat dan maju.
7. Teman perlu menjaga lidah dan segala pancaindera kurniaan Allah.

Baiklah, selamat melakukan ibadah kerja dengan ikhlas Lillahi Taala.

Saturday, 2 June 2012

Sendirian..

Assalamualaikum wbt...

Sudah sekian lama teman tidak menulis. Berbulan-bulan lamanya. Padahal blog ini adalah dibina atas niat menjadikannya medan dakwah teman. Teman akui, semangat dakwah kian luntur kerana kualiti iman yg tak seberapa. Teman sendiri sibuk mendaki gunung iman yang bagi teman sangat mencabar. Dahulu teman fikir, teman sudah dapat bertapak selesa di satu tahap dalam soal keimanan teman, tetapi benarlah yang dikatakan Rasulullah SAW bahawa iman ini ada pasang surutnya, dan nipisnya iman digambarkan seperti senipis kulit bawang. Jika tidak dibajai dan disuburi dengan amalan dan ibadah yang ikhlas, maka jatuh tersungkurlah seorang mukmin atau mukminah tersebut, seperti yang berlaku terhadap diri teman sendiri.

Hari ini hari Sabtu. Dahulu rumah ini ceria dengan adanya sahabat baik teman yang teman anggap seperti adik, malah teman menyayanginya seperti nyawa. Kami bagaikan belangkas, ke sana ke mari bersama. Keluarganya menjadi keluarga teman, begitu juga dengannya. Kami boleh dikatakan terlalu rapat, tinggal berdua di rumah 1 tingkat setengah ini, kami hanya ada satu sama lain sahaja, walaupun teman punya ramai kawan, tetapi lebih selesa bila berdampingan dengan sahabat teman ini. Sekarang, rumah ini sepi sejak sahabat teman mendirikan rumah tangga sebulan yang lepas. Dan hari ini teman sendirian di rumah, tiada lagi teman berbual dan bergurau senda. Inilah hakikat bahawa Allah telah mentakdirkan kehidupan masing-masing. Walaupun sedih dengan perubahan hidup, tetapi inilah lembaran buku takdir yang telah lama tertulis dan tersimpan rapi di Luh Mahfuz Allah.

Sejak sahabat teman berkahwin, tiada lagi teman makan malam, sarapan atau makan di hujung minggu. Selera teman sudah berkurangan dan teman ambil kesempatan untuk mengurangkan berat badan teman. Alhamdulillah,     dalam tempoh sebulan, teman kira sudah 5 kilogram berkurang. Ia atas izin Allah. Teman perlu menurunkan hampir 20 kilogram lagi untuk mencapai berat ideal bagi tubuh yang rendah seperti teman. Ia bukan satu yang mustahil atas izin Allah. Dan perlulah teman niatkan semua ini adalah semata untuk mencari keredhaan Allah, menjaga nikmat tubuh yang Allah beri, dan menggunakan tubuh yang sihat untuk beribadah padaNya. Itulah yang perlu diniatkan bagi sesiapa sahaja yang berusaha menurunkan atau cuba mencapai berat ideal. Ia bukan untuk kecantikan dan untuk tubuh ini ditayang dan dibanggakan, tetapi tubuh ini tugasnya adalah untuk beribadah kepada Allah. Barang yang dipinjam dalam keadaan yang baik, perlu dipulangkan dengan keadaan yang baik juga. Begitu jugalah dengan tubuh yang dipinjamkan Allah, bukan untuk kita sebagai hamba memperlakukan tubuh ini sesuka hati dan berlebih-lebihan dalam mengambil makanan dan minuman, tetapi tubuh ini perlu dijaga sebaiknya kerana ia pinjaman Allah kepada hamba-hambaNya untuk melaksanakan tugas kita sebagai hamba Allah.

Duduk berehat selepas solat di ruang membaca di bilik teman, terpandang rak buku teman, di atasnya tersusun buku-buku kegemaran teman. Teringat kata-kata Dr. Muhaya, jika mahu melihat siapa seseorang itu, lihatlah apa yang dia baca. Mungkin ada benarnya. Tersusunnya kitab-kitab agama dan motivasi di dalam bilik teman bukanlah bermakna teman seorang alim ulama atau orang yang pandai agama, tetapi bagi teman, buku-buku itu adalah panduan apabila teman rasa tersasar dari landasan. Buku yang paling teman suka adalah kitab Al-Hikam Ibnu Athaillah yang disyarah semula oleh Ustaz Dr. Zulkifli al-Bakry. Teman gemarkan ilmu tasawuf, kerana ia adalah buku yang menanamkan tauhid di hati teman dan ada tazkiyatun nafs, iaitu penyucian diri atau hati.  Ini kerana hati teman kotor, diri teman penuh dosa, kerana itulah buku penyucian diri ini menjadi buku kegemaran teman kerana teman memerlukan rujukan dan panduan untuk sentiasa berusaha menyucikan diri. Sekali lagi, bukanlah dengan tersusunnya kitab ini di rak teman, teman adalah seorang manusia yang baik, tetapi kerana merasakan diri ini tidak baiklah, maka buku-buku seperti itu tersusun di rak ini.

Ada sesuatu yang teman ingin bermujahadah. Banyak yang perlu diubah pada diri teman. Tetapi ada yang satu ini menjadi fokus utama teman, iaitu bermujahadah menjauhi dosa ghibah dan fitnah, supaya terhindar dari melakukannya malah mendengarnya, apakan lagi bersubahat dengannya. Ia sangat sukar kerana persekitarannya begitu, jadi teman perlu berusaha menentang sifat mazmumah ini di tengah-tengah persekitaran yang mencabar itu. Semoga Allah membantu teman.

Baiklah, selamat berhujung minggu. Kepada yang masih bujang seperti teman, jadikan hujung minggu adalah waktu untuk menambah ilmu dan iman. Sekian dahulu, wassalamualaikum.

Saturday, 18 February 2012

Surah Fatir 35:15

Surah Fatir 35:15 "Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah; dan Allah Dialah Yang MahaKaya (tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji".

Terharu dan sedih membaca ayat Allah di atas...bercucuran airmata mengalir. Tika hati sedih dan sunyi memikirkan masalah yang melanda, tersentak dengan teguran Allah melalui ayat ini. Mengapa hati manusia mencintai makhluk ciptaan Allah melebihi Pencipta makhluk itu sendiri? Sedangkan kasih sayang Allah sangat besar dan luas, nikmat yang diberi terlalu banyak dan tidak putus....jadi mengapa hati mengharap dan mengasihi manusia yang hanya pernah memberi sekelumit kasih yang tiada nilai itu? Mengapa kasih terhadap manusia sampai membuat kita dambakan belaiannya...sedangkan Allah memberi segalanya, mengapa sukar untuk mengucup al-Quran sekalipun? Entah kenapa, terasa nikmat pula teman cium dan memeluk al-Quran selepas terbaca ayat ini...satu perasaan rindu yang sudah lama teman dambakan...rindu Ilahi...ya inilah perasaannya yang teman dambakan...sudah lama...sudah sekian lama airmata ini tidak jatuh kerana Allah...harap-harapnya ia benar-benar jatuh keranaNya, bukan kerana masalah yang melanda...

Thursday, 16 February 2012

Buat Hati Yang Resah

Manusia akan terus dihampakan manusia…yang tidak menghampakan hanyalah Allah. Jika malamnya, sang manusia mengalami satu gejolak perasaan sedih kerana tertipu oleh insan yang disayanginya, paginya sang manusia bangun dengan hati yang masih berbekam sedih dan sendu dikecewakan insan yang disayanginya, tetapi kasih sayang Allah mengatasi segalanya. Dalam sendu sang manusia, masih boleh bangun di Subuh hari, menikmati nikmat berpagi-pagian, menikmati nikmat Islam, masih boleh mengerjakan solat dan membaca ayat-ayat suci Al-Quranul Karim, masih boleh menggerakkan tubuh untuk bersiap ke tempat kerja, punya rumah yang selesa, masih berkenderaan, masih punya kerja sebagai sumber rezeki dan masih boleh menjamah sarapan walaupun dalam sendu dikecewakan manusia. Allah tak pernah menghampakan hambaNya, yang menghampakan manusia adalah manusia, tetapi Allah sama sekali tidak! Masih diberi nikmat dan rezeki yang tak putus-putus, walau sang hamba sedang diuji dengan dugaan berat.

Wahai hati, tidakkah kau melihat betapa baiknya Allah terhadapmu? Mengapa hatimu masih mengharap kepada yang lemah? Kenapa tatkala si dia mengecewakanmu, engkau masih memikirkan andai ada insan lain boleh kau temui untuk menghilang resahmu? Sedangkan Allah sebenarnya memberi isyarat bahawa tempat mengadu itu hanya padaNya. Mampukah manusia yang menjadi tempat engkau menghilangkan resah benar-benar mampu menghilangkan resahmu? Buat sementara, mungkin ya….atau mungkin tidak sama sekali. Tetapi Allah tetap menghidangkanmu dengan pelbagai nikmat dan kasih sayangNya, tidak putus-putus. Bukankah hembusan nafasmu itu adalah nikmat terbesar dari Tuhanmu? Tatkala airmatamu mengalir di pipi, bukankah kau masih bernafas tika itu? Allah sayang padamu, duhai hati.

Apalah yang ada pada manusia yang lemah dan hina sehingga kau mendambakan kasih sayang makhluk lemah itu. Bukan sahaja dia lemah, malah dia juga yang memberi kau kelukaan demi kelukaan. Mengapa masih hatimu mendambakan dia. Allah punya segalanya, mengapa tidak kau cari Allah sahaja.

Duhai hati, Allah beri cara untuk kau atasi segala rasa itu….sabar dan solat. Maka belajarlah untuk bersabar. Sabar bukan hanya pada menahan kemarahan, tetapi sabar dalam bermujahadah melawan nafsumu itu. Dan solat bukan bermakna hanya melepaskan tugasmu sebagai hamba, malah solat itu perlu dilakukan dengan penuh rasa cinta terhadap Penciptamu. Maka hayatilah sabar dan solat, maka hatimu akan terubat. Jika kau kejar akhirat, maka dunia akan menjadi milikmu. Tetapi jika kau kejar dunia, maka akhirat akan jauh meninggalkanmu, neraka jua tempat kembalimu jika dunia yang kau dambakan.

Wednesday, 15 February 2012

Mencari Jalan Pulang

Assalamualaikum wbt…

Lamanya tak menulis di ruangan ini. Walaupun blog ini bukan blog popular tetapi blog ini adalah diari teman, dan kadangkala, bagi insane kerdil seperti teman, blog ini merupakan medan dakwah dari pendakwah yang tidak dikenali. Terbaca salah satu artikel yang teman baca hari ini, sesuatu yang dilakukan kerana Allah pasti berkekalan dan jika ada ia dilakukan atas sebab yg sebaliknya, maka ia akan hilang dan tidak kekal. Teman harap, blog ini terus kekal sesuci niat ia dibina.

Sebenarnya, ada sebab mengapa blog ini mendiamkan diri. Oleh kerana niat blog ini diadakan bagi meraikan insan kerdil yang sentiasa berpaksikan agama, maka senyapnya blog ini bermakna insane kerdil itu sudah tergelincir dari landasannya. Ya, teman tergelincir lagi dalam kehidupan yang tidak kekal ini. Dunia hanya tipuan semata, dan teman telah tertipu dengan dunia dan seisinya. Teman hanyut dengan nafsu, terjebak dengan maksiat dan hilang kesedaran sebagai hamba Allah. Bunga-bunga akan hanyut bermula dari awal November 2011, semakin hanyut di pertengahan dan menjelang Disember 2011 teman terus hanyut dan lemas. Awal Januari 2012 teman mulakan tahun masihi dengan penuh noda dan dosa. Pertengahan Januari 2012, akhirnya Allah menghadiahkan satu tamparan hebat agar diri yg hanyut ini tersentak, dikurniakan kejatuhan, kekecewaan dan musibah sehingga diri ini terasa di tarik oleh Sang Pencipta. Mujurlah musibah yang datang berlaku sangat pantas, Allah tidak membiarkan teman hanyut lama. Bermula dari pertengahan Januari 2012, teman kembali ke tikar sejadah dengan penuh pengharapan buat Ar-Rahim agar Dia memberi Hidayah yang sekian waktunya dirasakan malap dan suram. Bermohon setiap hari agar Allah mengampunkan dosa yang menggunung tinggi, memohon agar Allah bantu dalam menjadi hambaNya yang taat dan memenuhi tuntutanNya, memohon perlindungan agar dijauhkan dari kesesatan, maksiat dan kemungkaran dan memohon sesungguh-sungguhnya agar Allah tidak melepaskan teman kepada diri teman sendiri walaupun sekelip mata.

Kini teman masih berjuang, membuang penyakit hati yang cintakan dunia ini dari bersarang terus di hati. Ia satu mujahadah yang perit, menentang nafsu yang penuh keseronokan, ia amat perit. Kepada sesiapa yang terbaca entri kali ini, doakan teman agar sentiasa berada di jalanNya.