Thursday, 16 February 2012

Buat Hati Yang Resah

Manusia akan terus dihampakan manusia…yang tidak menghampakan hanyalah Allah. Jika malamnya, sang manusia mengalami satu gejolak perasaan sedih kerana tertipu oleh insan yang disayanginya, paginya sang manusia bangun dengan hati yang masih berbekam sedih dan sendu dikecewakan insan yang disayanginya, tetapi kasih sayang Allah mengatasi segalanya. Dalam sendu sang manusia, masih boleh bangun di Subuh hari, menikmati nikmat berpagi-pagian, menikmati nikmat Islam, masih boleh mengerjakan solat dan membaca ayat-ayat suci Al-Quranul Karim, masih boleh menggerakkan tubuh untuk bersiap ke tempat kerja, punya rumah yang selesa, masih berkenderaan, masih punya kerja sebagai sumber rezeki dan masih boleh menjamah sarapan walaupun dalam sendu dikecewakan manusia. Allah tak pernah menghampakan hambaNya, yang menghampakan manusia adalah manusia, tetapi Allah sama sekali tidak! Masih diberi nikmat dan rezeki yang tak putus-putus, walau sang hamba sedang diuji dengan dugaan berat.

Wahai hati, tidakkah kau melihat betapa baiknya Allah terhadapmu? Mengapa hatimu masih mengharap kepada yang lemah? Kenapa tatkala si dia mengecewakanmu, engkau masih memikirkan andai ada insan lain boleh kau temui untuk menghilang resahmu? Sedangkan Allah sebenarnya memberi isyarat bahawa tempat mengadu itu hanya padaNya. Mampukah manusia yang menjadi tempat engkau menghilangkan resah benar-benar mampu menghilangkan resahmu? Buat sementara, mungkin ya….atau mungkin tidak sama sekali. Tetapi Allah tetap menghidangkanmu dengan pelbagai nikmat dan kasih sayangNya, tidak putus-putus. Bukankah hembusan nafasmu itu adalah nikmat terbesar dari Tuhanmu? Tatkala airmatamu mengalir di pipi, bukankah kau masih bernafas tika itu? Allah sayang padamu, duhai hati.

Apalah yang ada pada manusia yang lemah dan hina sehingga kau mendambakan kasih sayang makhluk lemah itu. Bukan sahaja dia lemah, malah dia juga yang memberi kau kelukaan demi kelukaan. Mengapa masih hatimu mendambakan dia. Allah punya segalanya, mengapa tidak kau cari Allah sahaja.

Duhai hati, Allah beri cara untuk kau atasi segala rasa itu….sabar dan solat. Maka belajarlah untuk bersabar. Sabar bukan hanya pada menahan kemarahan, tetapi sabar dalam bermujahadah melawan nafsumu itu. Dan solat bukan bermakna hanya melepaskan tugasmu sebagai hamba, malah solat itu perlu dilakukan dengan penuh rasa cinta terhadap Penciptamu. Maka hayatilah sabar dan solat, maka hatimu akan terubat. Jika kau kejar akhirat, maka dunia akan menjadi milikmu. Tetapi jika kau kejar dunia, maka akhirat akan jauh meninggalkanmu, neraka jua tempat kembalimu jika dunia yang kau dambakan.

No comments:

Post a Comment