Saturday 2 June 2012

Sendirian..

Assalamualaikum wbt...

Sudah sekian lama teman tidak menulis. Berbulan-bulan lamanya. Padahal blog ini adalah dibina atas niat menjadikannya medan dakwah teman. Teman akui, semangat dakwah kian luntur kerana kualiti iman yg tak seberapa. Teman sendiri sibuk mendaki gunung iman yang bagi teman sangat mencabar. Dahulu teman fikir, teman sudah dapat bertapak selesa di satu tahap dalam soal keimanan teman, tetapi benarlah yang dikatakan Rasulullah SAW bahawa iman ini ada pasang surutnya, dan nipisnya iman digambarkan seperti senipis kulit bawang. Jika tidak dibajai dan disuburi dengan amalan dan ibadah yang ikhlas, maka jatuh tersungkurlah seorang mukmin atau mukminah tersebut, seperti yang berlaku terhadap diri teman sendiri.

Hari ini hari Sabtu. Dahulu rumah ini ceria dengan adanya sahabat baik teman yang teman anggap seperti adik, malah teman menyayanginya seperti nyawa. Kami bagaikan belangkas, ke sana ke mari bersama. Keluarganya menjadi keluarga teman, begitu juga dengannya. Kami boleh dikatakan terlalu rapat, tinggal berdua di rumah 1 tingkat setengah ini, kami hanya ada satu sama lain sahaja, walaupun teman punya ramai kawan, tetapi lebih selesa bila berdampingan dengan sahabat teman ini. Sekarang, rumah ini sepi sejak sahabat teman mendirikan rumah tangga sebulan yang lepas. Dan hari ini teman sendirian di rumah, tiada lagi teman berbual dan bergurau senda. Inilah hakikat bahawa Allah telah mentakdirkan kehidupan masing-masing. Walaupun sedih dengan perubahan hidup, tetapi inilah lembaran buku takdir yang telah lama tertulis dan tersimpan rapi di Luh Mahfuz Allah.

Sejak sahabat teman berkahwin, tiada lagi teman makan malam, sarapan atau makan di hujung minggu. Selera teman sudah berkurangan dan teman ambil kesempatan untuk mengurangkan berat badan teman. Alhamdulillah,     dalam tempoh sebulan, teman kira sudah 5 kilogram berkurang. Ia atas izin Allah. Teman perlu menurunkan hampir 20 kilogram lagi untuk mencapai berat ideal bagi tubuh yang rendah seperti teman. Ia bukan satu yang mustahil atas izin Allah. Dan perlulah teman niatkan semua ini adalah semata untuk mencari keredhaan Allah, menjaga nikmat tubuh yang Allah beri, dan menggunakan tubuh yang sihat untuk beribadah padaNya. Itulah yang perlu diniatkan bagi sesiapa sahaja yang berusaha menurunkan atau cuba mencapai berat ideal. Ia bukan untuk kecantikan dan untuk tubuh ini ditayang dan dibanggakan, tetapi tubuh ini tugasnya adalah untuk beribadah kepada Allah. Barang yang dipinjam dalam keadaan yang baik, perlu dipulangkan dengan keadaan yang baik juga. Begitu jugalah dengan tubuh yang dipinjamkan Allah, bukan untuk kita sebagai hamba memperlakukan tubuh ini sesuka hati dan berlebih-lebihan dalam mengambil makanan dan minuman, tetapi tubuh ini perlu dijaga sebaiknya kerana ia pinjaman Allah kepada hamba-hambaNya untuk melaksanakan tugas kita sebagai hamba Allah.

Duduk berehat selepas solat di ruang membaca di bilik teman, terpandang rak buku teman, di atasnya tersusun buku-buku kegemaran teman. Teringat kata-kata Dr. Muhaya, jika mahu melihat siapa seseorang itu, lihatlah apa yang dia baca. Mungkin ada benarnya. Tersusunnya kitab-kitab agama dan motivasi di dalam bilik teman bukanlah bermakna teman seorang alim ulama atau orang yang pandai agama, tetapi bagi teman, buku-buku itu adalah panduan apabila teman rasa tersasar dari landasan. Buku yang paling teman suka adalah kitab Al-Hikam Ibnu Athaillah yang disyarah semula oleh Ustaz Dr. Zulkifli al-Bakry. Teman gemarkan ilmu tasawuf, kerana ia adalah buku yang menanamkan tauhid di hati teman dan ada tazkiyatun nafs, iaitu penyucian diri atau hati.  Ini kerana hati teman kotor, diri teman penuh dosa, kerana itulah buku penyucian diri ini menjadi buku kegemaran teman kerana teman memerlukan rujukan dan panduan untuk sentiasa berusaha menyucikan diri. Sekali lagi, bukanlah dengan tersusunnya kitab ini di rak teman, teman adalah seorang manusia yang baik, tetapi kerana merasakan diri ini tidak baiklah, maka buku-buku seperti itu tersusun di rak ini.

Ada sesuatu yang teman ingin bermujahadah. Banyak yang perlu diubah pada diri teman. Tetapi ada yang satu ini menjadi fokus utama teman, iaitu bermujahadah menjauhi dosa ghibah dan fitnah, supaya terhindar dari melakukannya malah mendengarnya, apakan lagi bersubahat dengannya. Ia sangat sukar kerana persekitarannya begitu, jadi teman perlu berusaha menentang sifat mazmumah ini di tengah-tengah persekitaran yang mencabar itu. Semoga Allah membantu teman.

Baiklah, selamat berhujung minggu. Kepada yang masih bujang seperti teman, jadikan hujung minggu adalah waktu untuk menambah ilmu dan iman. Sekian dahulu, wassalamualaikum.

1 comment:

  1. Assalamualaikum :)
    welcome back, sis. inshaAllah may you have agood weekend that's filled with blessings from Alah s.wt :)

    ReplyDelete