Assalamualaikum wbt dan Salam Ramadhan,
Walaupun blog teman bukanlah blog popular, pembaca pun taklah ramai, tetapi teman tetap mahu meminta maaf kerana 2 minggu teman tidak meletak apa-apa entri di blog teman ini. Bukannya apa, teman sibuk dengan projek syarikat, latihan dan ujian yang dianjurkan syarikat.
Semalam, ibarat orang yang terhantuk, barulah teman tersedar bahawa usaha teman belum cukup lagi dalam bulan Ramadhan ini. Ramadhan tinggal tak sampai 20 hari, adakah mampu teman menggamai ijazah taqwa? Sebenarnya, hanya pada Ramadhan kali ini barulah teman tahu tujuan Ramadhan, iaitu bulan bagi seseorang untuk mencapai taqwa. Dengan ketaqwaan, ia akan membantu kita menjaga diri untuk 11 bulan yang akan datang sebelum Ramadhan menjengah lagi. Dan mulai dari kesedaran itu, ia menjadi matlamat teman juga dan taqwa sudah menjadi perkataan yang paling teman suka. Semoga teman mendapat lebih ilmu tentang bagaimana menggapai taqwa.
I am the servant of Allah, someone who has nothing, no wealth, no power, no excitement, a little knowledge, I am nothing.
Thursday, 11 August 2011
Tuesday, 26 July 2011
Nota Ringkas Segmen ISLAM ITU INDAH bertajuk "Ketenangan Dalam Kehidupan" oleh Prof.Dr.Muhaya
![]() |
| Gambar dipetik dari LangitIlahi.Com |
Satu hari kita sepatutnya baca sekurang-kurangnya 10 mukasurat. Siapa yang banyak berilmu dalam bidangnya, dia akan berada 10 teratas dalam bidangnya.
Jangan bazirkan umur dengan aktiviti membazir masa.
Bedtime story yang disarankan adalah sirah Rasulullah SAW.
Ketenangan adalah perkara yang paling bermakna dalam kehidupan.
Tenang tak tenang bergantung pada diri sendiri.
Fitrah manusia itu baik, jika kita tak tenang, maknanya kita sedang melakukan sesuatu yang luar dari fitnah manusia.
Tak tenang datang daripada seseorang tidak melakukan apa yang disuruh Allah.
Jika hubungan dengan manusia tidak baik, hubungan dengan Allah juga tidak baik.
Jika hubungan dengan Allah tidak baik, kita takkan tenang.
Fikiran menghasilkan emosi, emosi menghasilkan tindakan.
Islam tidak terbina kerana harta dan pangkat. Rasulullah membina kerajaan Islam yang berjaya kerana akhlaq.
Jika tidak mengikut landasan Allah dan Rasul, manusia tidak akan tenang.
Bahagia, tenang dan kebebasan perlu diberikan pada orang lain, barulah kita mendapat semua itu.
Mesti ada niat amar makruf nahi munkar. Kalau tiada niat sebegitu, tiada guna hidup di dunia.
Muamalat dengan manusia perlu baik. Jangan ada orang yang kita umpat, aniaya, tinggi suara atau mengambil hartanya.
Peniaga perlu jujur meletakkan harga sepadan dengan kualiti barang yang diniagakan.
Perlu mendatangi keluarga dengan penuh kebaikan.
Konsisten melakukan kebaikan walau di mana dan kepada sesiapapun.
Masalah 1: Ketenangan jiwa bagi mereka yang dianiaya
Allah memberi cubaan yang kita mampu tanggung. Yakin Allah itu ada. Pentingkan kualiti kerja kita atau perniagaan kita. Perlu melayani pekerja dengan baik. Jika ditikam belakang, jangan salahkan orang yang menikam itu, tetapi muhasabah diri sendiri. Jika kita seorang yang bertaqwa, Allah bina benteng keberanian kepada kita. Apa yang penting redha Allah, bukan penghargaan manusia.
Masalah 2: Kejulingan
Kalau anak yang berumur 1 tahun mengalami kejulingan, bawalah berjumpa doktor. Doktor boleh melakukan alignment jika dirawat awal. Orang yang berjaya cepat melakukan keputusan. Jika kita lambat membuta keputusan, kita akan letih dengan masalah tersebut.
Masalah 3:Cara menaikkan semangat suami yang rendah dan sering memarahi isteri
Orang yang suka marah-marah adalah orang yang rendah diri. Bagi suami yang rendah diri, isteri tak perlu menasihati. Jarang suami nak dengar cakap isteri. Sebagai isteri, kita membahagiakan suami dengan menghargai suami dan jangan mengkritik suami. Letakkan suami ditempat yang paling tinggi. Rendahkan hati di hadapan suami. Cuba dekatkan diri dengan Allah. Banyak berdoa dan sebut kebaikan suami.
Masalah 4: Orang yang ditipu kawan sendiri
Jangan berdendam dengan orang yang menipu. Anggaplah ada harta kita yang tak bersih jadi Allah tarik harta kita itu. Duit adalah perkara kecil. Jangan kejar duit. Kalau gaji RM2000 kerja seperti gaji RM3000. Halalkan sahaja wang atau harta yang ditipu. Jika kita maafkan seseorang, minda kita jadi kuat.
Masalah 5: Bagaimana menghadapi orang-orang yang tak maafkan kita
Janganlah kita sibukkan orang. Kita perlu kisahkan tentang diri sendiri. Biarlah orang tak maaf kita, jangan letak emosi negative kesan dari diri kita tidak dimaafi orang, yang penting kita betulkan diri kita dan memperbaiki diri kita.
Masalah 6: Bagaimana mengubah minda isteri
Yang beri Hidayah itu Allah SWT. Kalau nak ubah, kita sayang isteri dahulu, bukan mengkritik dahulu. Berapa ramaikah suami yang memuji dan menghargai isteri. Kita dihormati jika kita menghormati orang lain. Jika kita tak sayang Allah, kita tak dapat kasih sayang manusia. Isteri kuat cemburu kerana merasakan ada kekurangan pada diri sendiri, jadi mengapa suami tak puji isteri agar dia tak merasakan dirinya serba kekurangan. Jika isteri degil, suaminya degil kerana Allah janjikan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Manusia tak tenang sebab mereka sibuk mengubah orang tetapi diri sendiri tak berubah. Jangan kerana mencari dunia yang sedikit sehingga menjual akhirat. Renungi diri sendiri dan lihatlah pekerjaan yang kita lakukan.
Masalah 7: Beban hutang, bagaimana mahu mendapat tenang kerana hutang keliling pinggang
Dalam Islam ada doa untuk melepaskan diri dari beban hutang. Apa yang kita bayangkan, maka itulah yang akan datang. Banyak manusia lupa bersyukur dengan apa yang kita ada. Banyakkan bersyukur dan redha dengan cubaan. Dan berdoalah pada Allah dan muhasabah diri. Jaga percakapan diri agar tidak menyebut-nyebut tentang hutang dan beban. Senyumlah dan ingatlah nikmat-nikmat yang Allah beri. Muhasabah diri jika sumber rezeki halal atau tidak.
Masalah 8: Bagaimana mahu mengubah sikap negatif diri sendiri
Sikap boleh diubah dalam 1 saat. Ubah kedudukan kita dan ubah pemikiran kita, kemudian ubah emosi. Manusia mampu berubah.
Jangan merungut-rungut tentang kehidupan. Jika orang tanya khabar, cerita yang baik-baik. Orang yang sakit perlukan perhatian. Beri perhatian, Insya-Allah cepat baik.
Masalah 9: Orang OKU yang isteri tidak hormat
Isteri menghormati suami bukan apa yang dia ada tetapi suami kita. Kalau di rumah kita lain, di tempat kerja lain, kita hidup dalam pura-pura dan mengharap penghargaan manusia. Orang yang hidup dalam benar setiasa mencari kebaikan dalam kecacatan. Menerima manusia seadanya. Mata yang menangis kerana Allah takkan terbakar di neraka.
Adakah Sama Orang Yang Beriman Dan Tidak Beriman?
Dahulu jiwa kacau mengenangkan kemahuan manusia yang pelik-pelik. Sebagai pekerja, kehendak ketua yang mengelirukan membuat hati gundah gulana. Kadangkala terasa diri tidak dihargai. Kadangkala sangka buruk menguasai minda. Walaupun tuduhan itu ada betulnya dengan beberapa bukti tetapi perasaan syak wasangka datang bertali arus, cuba menafsir tindak tanduk ketua yang kadangkala berkonspirasi dan berkomplot seolah-olah mahu membenamkan aku sebagai seorang yang berlainan agama dan bangsa darinya. Wajahnya kubenci, biliknya umpama neraka yang seboleh-bolehnya dielakkan daripada melaluinya. Suaranya ibarat bunyi yang menyakitkan telinga. Keputusan-keputusannya ibarat tembakan yang membunuh. Senyumannya kulihat sinis seolah-olah mentertawakan aku yang lemah tanpa kuasa. Dalam diri umpama ada bom yang tunggu masa untuk meledak. Begitulah hati yang dikawal syaitan, yang terhijab dari iman, jauh dari rahmat Allah.
![]() |
| Gambar dipetik dari LangitIlahi.Com |
Syukur Allah limpahkan kasih sayangnya buat diri ini, hidayah yang indah hadiah dari Sang Pencipta buat hambaNya yang tak pernah bersyukur. Tersungkur aku dipintu rahmatNya lalu aku sedari aku manusia yang tak kenang dek untung. Aku manusia kufur, aku tak pernah melihat nikmat Allah yang begitu banyak. Akhirnya aku nampak cahaya, hatiku disimbah keimanan, datangnya seperti air sejuk yang menyirami hati yang gersang.
Aku angguk tanda setuju. Akalku menguasai emosiku. Seolah-olah ada satu suara, 'sabarlah, jangan diikut bisikan syaitan, beristighfarlah', lalu aku beristighfar di dalam hati. Tika suara syaitan makin galak, hatiku juga melaungkan istighfar sekuat mungkin. Selagi kata-kata syaitan itu muncul dibenakku, selagi itu hati terus beristighfar. Akhirnya aku tenang dan tersenyum. Aku redha dengan tugasan yang diberi. Imanku memberitahu, 'percayalah pada qadha' dan qadar Allah, semua ini adalah rancangan Allah dan ujian dariNya'. Lalu aku semakin tenang dan menerima dengan baik.
Begitulah fungsi iman. Iman perlu digilap dengan ibadah. Ia bertambah apabila ibadah diperhebat. Apabila iman semakin kukuh, mata hati menjadi tajam. Mata hati inilah yang memberitahu minda dan tubuh tentang batil atau baiknya sesuatu perlakuan atau kejadian di hadapan kita. Mata hati yang tajam mampu membuatkan anggota kita dan hati kita berbisik kepada yang empunya tubuh agar kembali berpaksikan Allah. Iman meletakkan Allah dan Rasul di dalam hati kita, lalu tindakan kita tumbuh segar dari hati yang diselubungi iman.
Pekerjaan, ia adalah ibadah apabila dilakukan kerana Allah. Bertanyalah pada diri sebelum melangkah ke tempat kerja, 'adakah aku bekerja untuk mendapatkan penghargaan manusia atau mencari redha Allah?' Jika jawapannya penghargaan manusia, itu bukan jawapan iman. Dengan jawapan sebegini, kita akan sentiasa dihantui kekesalan, marah kerana merasa diri tidak dihargai dan pelbagai tanggapan negatif mudah bersarang di minda. Tetapi jika jawapannya adalah untuk mencari redha Allah, pasti kita melakukan pekerjaan itu dengan tenang dan melakukan yang terbaik dalam pekerjaan kita tanpa mengharapkan apa-apa melainkan hanya redha Allah. Pastinya hati akan menjadi lebih tenang.
Monday, 25 July 2011
Cerpen - Sahabat Gelap - dipetik dari LangitIlahi.Com
Assalamualaikum wbt,
Walaupun pengunjung blog ini tak semeriah LangitIlahi.Com, tetapi atas keizinan yang sering dikepilkan disetiap karya blog ini, maka teman mengambil kesempatan itu untuk berkongsi karya ini. Walaupun penulisnya iaitu Hilal Asyraf berkata bahawa beliau tidak berapa gemar karya ini tetapi teman kira ia adalah karya hebat. Ia penuh dan sarat dengan pengajaran tentang persahabatan. Walaupun cerita-cerita Islami tidak menggambarkan masyarakat remaja Malaysia keseluruhannya, tetapi kisah-kisah Islami ini memang berlaku dalam masyarakat Islam yang menjadikan Islam sebagai asas kehidupan. Mengapa karya ini dipilih untuk berada di blog yang 'biasa-biasa' ini sahaja adalah kerana kisah ini adalah kisah teman dan temanlah sahabat gelap itu, biarlah teman mengaku ya. Bukanlah untuk mengaibkan diri sendiri tetapi untuk berkongsi pengajaran tentang 'mencintai seseorang kerana Allah'. Teman tak pandai berkarya seperti saudara Hilal, teringin juga untuk memahat kenangan dalam bentuk penulisan tetapi dek kerana cetek ilmu dan kurang kreatif, maka ia tak terlaksana. Namun semoga Allah membuka peluang agar diri ini dapat melaksanakan apa yang teman pendam selama ini. Yang penting, niat kena betul. Buat sesuatu bukan kerana inginkan penghargaan manusia, tetapi kerana ingin mencapai redha Allah (terima kasih Prof.Dr. Muhaya atas pengajaran ini). Buat saudara Hilal, terima kasih atas sumbangan karya-karya Islami saudara, ia adalah panduan cara hidup Islam yang agung. Semoga Allah merahmati anda dan rakan-rakan seperjuangan anda. Kepada semua, marilah kita nikmati karya indah ini. Semoga menjadi tauladan buat kita semua.
______________________________________________
Sahabat,
Aku bina hubungan ini atas keimanan,
Tetapi jangan sesekali kau lupa
Bahawa aku hanyalah insan.
______________________________________________
Pagi itu indah dengan mentari yang dipeluk awan. Redup dan menawan. Angin sepoi-sepoi bahasa menambah kesempurnaan suasana. Ditambah teh panas yang menyelerakan, cukup membawa diri ke dalam ruang kerehatan.
Seronok. Dia menghayati suasana itu di atas kerusi malas di perkarangan beranda rumah sewa.
“Ai , melunjur kaki nampak?” Dan suara itu menarik kepalanya untuk mendongak.
Seorang lelaki, berbaju tanpa lengan, sedang mencekak sebelah pinggang, dengan tangan kanan memegang cawan. Luqmanul Hakim.
Dia diam sahaja. Tidak membalas bicara Luqman. Kembali melepaskan pandangan keluar.
“Hari tak buat apa-apa?” Suara Luqman menyapa gegendang.
Acuh tak acuh, sekadar menggeleng.
“Baiklah, aku nak pergi basuh pinggan mangkuk di dapur dan kemas rumah hari ini.”
Diam.
Dan beberapa saat kemudian, dia perasan Luqman tiada lagi di sisinya. Perlahan-lahan dia memusingkan tubuh memandang arah belakang kerusi malas. Kelibat Luqman masuk ke dapur dan meletakkan cawan dapat diperhatikan melalui celahan pintu dapur yang terkuak.
Dia kembali berbaring tenang, menghirup teh panas.
Teh panas buatan tangan Luqmanul Hakim.
******
“Apalah Azizi tu, kata budak sekolah agama.” Kedengaran Bunyamin bersuara. Nada tidak puas hati.
“Ha’ah. Boleh pula bercouple. Ish ish.” Umair membalas.
“Aku tak berapa nak salahkan Elina tau. Dia bukan budak sekolah agama. Tapi Azizi tu, patut dah tahu mana halal haram. Kita semua ingat dia baik.” Razak menambah.
Dan bicara itu melewati gegendang telinganya.
Luqmanul Hakim menghela nafas. Tanpa sedikit pun rasa gentar, dia bangun dan merapati tiga sekawan yang sedang duduk satu bangku di dalam dewan kuliah itu.
“Assalamu’alaikum.”
“Waalaikumussalam.” Tiga orang itu menjawab serentak.
“Boleh tak aku nak tegur sikit?”
Tiga sekawan diam.
“Kita ni, kalau nampak seseorang itu terjun dalam neraka, yang patut kita buat adalah tarik tangan dia. Bukan makin hentak dia biar jatuh makin dalam.” Luqmanul Hakim berbicara perlahan.
Tiga sekawan seakan tersentak.
“Kita patut bantu dia. Cakap-cakap belakang ini, tidak membantu. Kamu bertiga ni pernah pergi jumpa dengan dia dan cakap fasal benda ni? Nasihat dia?”
Sunyi.
“Bayangkan kalau kamu bertiga dalam posisi dia, dan dengar pula orang berbicara macam kamu bertiga bicarakan. Macam mana?”
Terasa.
Luqmanul Hakim menarik nafas dalam. “Jadi, sama-sama kita muhasabah. Mana tahu dia ada masalah. Sebab itu jadi begitu.”
“Nul, kau masih lagi pertahankan dia?” Bunyamin akhirnya bersuara.
Kening Luqmanul Hakim terangkat. “Dia sahabat aku. Dia terjun ke dalam neraka pun, aku akan terjun sekali untuk selamatkan dia.”
“Nul, kau memanglah. Tapi dia tu anggap kau sebagai sahabat dia ke?” Umair angkat kening sama. “Kau tahu ke macam mana dia pandang kau?”
Luqmanul Hakim diam.
“Tahu tak dia pernah kata pada orang lain, yang dia meluat dengan kau? Tahu tak yang dia pernah kata pada orang lain, bahawa dia tak perlu kisah kekemasan rumah sebab kau ada? Kau tahu tak, yang kau tu tak lebih macam alat sahaja pada dia.” Bunyamin bersuara lagi.
Razak bangun. Menepuk bahu Luqmanul Hakim. “Kau pada kami, bodoh.”
Dahi Luqmanul Hakim berkerut seribu.
Seakan wujud pisau yang menikam kalbu, dan dia menahan kesakitannya.
******
Malam itu tenang. Angin menerobos masuk melalui tingkap, mengibarkan langsir dengan kibaran yang menyenangkan. Bilik terasa sedikit nyaman. Namun tidak hatinya.
Dia menarikan jemarinya di atas meja. Skrin komputer dipandang. Tetikus digerakkan, dan jari telunjuk melakukan klik beberapa kali terhadap beberapa link di internet.
Itu adalah blog-blog rakan seuniversitinya, baik lelaki mahupun perempuan. Isu terhangat sekarang adalah dia. Kini dia menjadi topik bualan yang hangat, dan dia amat tidak disenangi.
Nafas dihela lemah. Tertekan.
Tok tok tok. Biliknya diketuk.
“Masuk.” Dia kenal siapa yang mengetuk.
“Selamat Hari Lahir Azizi!” Dan Luqmanul Hakim terus menyuakan sebuah kotak.
Matanya membesar. Ah, macam mana dia boleh terlupa hari ini adalah hari lahirnya. Spontan senyumannya meleret. Terus diambil kotak itu.
“Ini boleh buka sekarang?” Dia angkat kening sebelah, memandang Luqmanul Hakim.
Luqmanul Hakim mengangguk, sambil melabuhkan punggungnya di atas lantai.
Perlahan-lahan dia membuka kotak tersebut, dan melihat sebuah jam tangan. Kemudian dia melihat kembali kepada Luqmanul Hakim di hadapannya.
“Suka?” Suara Luqmanul Hakim memotong bicara yang hendak dikeluarkannya.
Dia mengangguk. “Mahal ni Nul.”
“Come on, kau kan sahabat aku.”
Akhirnya, dia hanya mampu tersenyum. Perlahan-lahan matanya melirik kepada skrin komputer. Kemudian kembali kepada Luqmanul Hakim di hadapannya.
“Nul, kau sebenarnya tahu kan apa yang orang selalu sembangkan hari ini.”
Luqmanul Hakim diam.
“Dan kau tahu kan yang semua itu betul?”
Masih diam.
“Mengapa kau masih macam sekarang?”
“Sebab kau sahabat aku.”
“Itu sahaja?”
“Itu sahaja.” Perlahan-lahan Luqmanul Hakim bangun dan berdiri di hadapannya.
“Apa namanya sahabat, kalau tendang sahabat dia masuk neraka. Sahabat sepatutnya hulurkan tangan agar sahabatnya masuk ke dalam syurga.”
Dan dia terdiam begitu sahaja.
Tidak lama kemudian, selepas mendoakannya, Luqmanul Hakim keluar dari bilik meninggalkan dia berseorangan. Dia memandang jam tangan itu. Perasan ada ukiran tulisan.
Nul+Azizi. Ukhuwwahfillah.
Keluhan nafas keluar.
******
Memang di dalam hatinya, dia menyimpan segala rasa. Namun rasa itu dibiarkan berlalu.
Berlalu? Tidak sebenarnya. Walau macam mana pun dia ingin membiarkan semua itu berlalu, tetap semua itu ada yang melekat di dalam hatinya. Ya, bukan mudah mendidik hati. Dia manusia, bukan malaikat sebenarnya.
Biliknya tidak pernah dikunjungi Azizi. Khabarnya tidak pernah ditanya. Dia adalah yang sering mengvakum rumah dan mengemasnya, manakala Azizi adalah yang jenis akan membuat sepahnya. Pinggan mangkuk dia yang basuh, dan Azizi adalah yang hanya akan meninggalkannya. Sampah di tong sampah, dia yang membuangnya. Kalau diharapkan Azizi, mungkin hingga sampah termuntah keluar dari tong pun tidak dikisahkannya.
Kalau ditegur, Azizi akan melenting dan memboikotnya untuk jangka masa yang lama. Hatta menampal pesanan agar pinggan sendiri basuh sendiri pun, Azizi akan bermasam muka dengannya.
Hari lahirnya juga tidak pernah disambut. Masalahnya tidak pernah ditanya. Bila berjauhan, kalau bukan dia yang menghubungi, maka Azizi tidak akan dihubunginya. Kalau ada sesuatu yang berlaku kepada Azizi, dia akan pergi mempertahankannya, tetapi Azizi tidak pernah pula mempertahankannya jika sesuatu berlaku kepadanya.
Macam kes salah faham antara dia dengan masyarakat yang menyangka dia ada hubungan dengan perempuan yang sering bermesyuarat dengannya. Azizi tahu keadaan sebenar, tetapi tidak pernah berani menyokong dia ketika itu. Perkara itu selesai pun kerana akhirnya kebenaran terzahir dengan sendirinya.
Semua itu memberikan kesan di dalam hatinya.
“Sampai bila hendak begini?” Dia tertanya-tanya.
Dan sekarang, dia mendengar macam-macam lagi cerita. Dan cerita itu semua ada buktinya. Azizi memang tidak menghargainya, dan dia kelihatan seperti orang bodoh sahaja dengannya. Jam pemberiannya itu tidak pun dipakai. Bahkan, layanan Azizi terhadapnya masih sama seperti biasa. Ketika ini pula, masalah Azizi didengarinya semakin berat. Sudah berpegang tangan dengarnya.
Dia sendiri sempat melihat gambar mereka berdua-duaan yang menjadi wallpaper desktop Azizi sekarang, sebelum Azizi sempat menutupnya.
Hari ini, di atas sejadah, fikiran itu membuak-buak bertarung.
Apakah patut diteruskan?
******
Satu perasaan aneh menyelubungi. Tiada lagi teh panas di waktu pagi. Juga tiada lagi ketukan pintu bilik. Sampah juga sudah termuntah-muntah keluar dari tong, tidak kemas seperti biasa. Pinggan mangkuk sudah bertimbun di sinki, manakala ruang tamu berserabut.
Dia menggaru kepala. Mana Luqmanul Hakim?
Akhirnya jejak kakinya membawa ke hadapan pintu bilik lelaki itu. Tempat yang tidak pernah dijejaki sebelum ini. Selama tiga tahun mereka belajar bersama, ini pertama kali dia berdiri di hadapan pintu Luqmanul Hakim.
Pintu diketuk. Dia tahu Luqmanul Hakim ada di dalam bilik berdasarkan kasut yang masih wujud di muka pintu rumah.
Pintu dibuka. Luqmanul Hakim, kasual dengan lengan panjang, bersama seluar jeans biru yang kemas, kelihatan separa terkejut dengan kehadirannya.
“Azizi?”
Jiwanya macam direnjat dengan reaksi Luqmanul Hakim. Namun ketika itu, dia juga sedar bahawa memang patut Luqmanul Hakim terkejut sedemikian. Dia tidak pernah menjejakkan kakinya ke sini selama ini.
“Ada apa?” Nada hairan keluar daripada suara Luqmanul Hakim.
“Em…” Ada apa sebenarnya? Dia juga tidak pasti.
“Kau dah tak kemas rumah lagi ke? Kotorlah.” Dan itu yang keluar.
“Oh.” Luqmanul Hakim angkat kedua-dua kening. Riak wajah terkejut dengan kata-kata itu. Sempat Azizi memerhatikan bilik Luqmanul Hakim. Kemas. Bersih. Teratur.
“Aku dah tak mahu dah kemas rumah boleh? Aku basuh pinggan aku sendiri, dan aku pastikan bilik aku kemas. Cukuplah.” Luqmanul Hakim berbicara tenang. Seakan-akan perkara itu memang telah nekad di dalam hatinya.
Dia sedikit terkesan dengan kata-kata itu. Luqmanul Hakim. Seorang yang dikenali sebagai penyabar, baik hati, sering mengambil berat, tiba-tiba berubah menjadi seorang yang sangat dingin.
“Kau ni kenapa?” Akhirnya suaranya meninggi. Tercetus kerana merasakan Luqmanul Hakim berubah disebabkan sikapnya. Dia merasakan, itu tidak patut kerana sekiranya Luqmanul Hakim ikhlas bersahabat dengannya kerana Allah, lelaki itu tidak sepatutnya berkelakuan sebegini.
“Em?” Luqmanul Hakim buat selamba. Riak wajahnya sedikit pun tidak berubah.
“Kau selama ini asyik cakap bahawa persahabatan kerana Allah itu tidak harapkan pembalasan. Persahabatan kerana Allah itu perlukan pengorbanan. Persahabatan kerana Allah itu memang banyak cabaran dan dugaan. Sekarang kenapa kau buat perangai macam ini?” Dia tidak dapat menahan gelegak hatinya. Suaranya tinggi menggegak gempita.
Terus dicekak kolar baju Luqmanul Hakim.
“Kaukan sahabat aku, kenapa buat macam ini?”
Luqmanul Hakim masih begitu. Wajah tidak beriak. Perlahan-lahan kedua-dua tangan lelaki itu naik mencengkam kedua-dua pergelangan tangannya. Mata lembut tadi, bertukar menjadi tajam seakan ingin menembusi kepalanya. Kedua-dua tangannya disisihkan dari kolar dan dipegang kuat.
“Azizi, apa yang kau tahu berkenaan persahabatan?”
Diam.
“Kau fikir aku ini apa? Orang gaji? Alat? Sampah?” Dan pertama kali Luqmanul Hakim kedengaran meninggikan suaranya. Tegak bulu romanya melihat wajah Luqmanul Hakim ketika ini.
Tetapi egonya mengatasi.
“Engkau hipokrit Nul. Hipokrit!” Terus telunjuknya menujah dada Luqmanul Hakim. Terus tangannya dicengkam kuat oleh Luqmanul Hakim sekali lagi. Pergerakannya terhenti.
“Hei, kau ingat aku apa hah? Malaikat? Robot? Aku manusia. Ada hati, ada perasaan!”
“Aku manusia juga. Buat kesilapan. Kau kenalah sabar dengan aku!” Dia mempertahankan dirinya.
Kini dia melihat Luqmanul Hakim mengetap gigi. Tangannya dilepaskan lelaki itu, dan tubuhnya ditolak menjauhi pintu.
“Kau sahabat aku, itu ada kebenarannya. Aku sahabat kau? Aku rasa itu kau kena tengok semula. Aku tak peduli kau panggil aku hipokrit atau apa. Kau memang tak pernah memahami aku pun. Kau nak aku kira juga kau manusia? Aku fikir selama ini aku sudah cukup lama kira kau sebagai manusia. Tetapi engkau, engkau pernah layan aku macam manusia? Tak pernah!” Dan suara itu ibarat petir.
Dia tergamam. Luqmanul Hakim benar-benar kelihatan seperti raksasa yang amat menakutkan. Wajah itu, suara itu, benar-benar dia tidak menjangka Luqmanul Hakim yang sentiasa tersenyum, merendah diri, penyabar, akan berdiri di hadapannya sebegini.
“Aku ada ramai sahabat, dan tidak rasa kekurangan dengan kehilangan kau seorang.”
Dan pintu ditutup.
Seakan-akan menzahirkan pintu hati Luqmanul Hakim yang telah terkunci rapat.
Dia terjelepuk jatuh. Suasana jadi sunyi sepi. Perlahan-lahan dia memandang ke arah ruang tamu yang bersepah. Bau busuk dari dapur menusuk hidung. Dan memori-memori bagaimana dia selama ini melayan Luqmanul Hakim menerjah.
Akhirnya air mata jatuh berjuraian.
Tertekan.
*******
Selepas hari hitam itu, hidup Azizi hampir sahaja tidak keruan. Pergantungan terakhirnya di kalangan manusia pergi meninggalkan. Luqmanul Hakim memang tidak pernah menyapanya semenjak hari itu. Dia seakan-akan dibiarkan begitu.
Seakan-akan ada bicara untuk Azizi secara senyap oleh Luqmanul Hakim:
“Selama ini aku hulurkan tangan dan kau tidak menyambutnya, maka hari ini tiada lagi huluran tanganku untukmu.”
Awal-awalnya, kerana marahkan perubahan Luqmanul Hakim, Azizi pergi menyebar cerita itu, menyatakan betapa hipokritnya Luqmanul Hakim dan sebagainya. Namun, amat mengejutkan Azizi apabila masyarakat memarahinya semula. Rakan-rakan sekulihanya mengherdiknya sebaik sahaja cerita itu dibuka.
“Hoi, kau ingat kami semua ni buta ke? Kami selama ini punyalah nampak macam mana Nul tu sayang dekat kau. Engkau tu yang kami nampak macam kurang ajar layan dia selama ini macam itu. Kami tak terkejut la kalau dia jadi macam itu pun. Dia bukan hipokrit. Dia cuma tersedar sahaja yang dia dah banyak bazir masa dengan kau!” Tempikan Bunyamin itu masih bergegar pada gegendangnya.
Dia benar-benar keseorangan.
Seakan tersedar dari mimpi yang panjang.
“Lain kali, hargai orang yang nak hargai orang macam kau ni. Tak sedar diri.” Razak bersuara keras juga ketika itu.
Azizi benar-benar tersepit.
Kini sebulan telah berlalu, dan sebulan juga dia begitu. Pelajarannya makin terumbang-ambing. Hidupnya juga seperti retak menanti belah. Hubungannya dengan teman wanitanya juga entah ke mana. Jauh dari sudut hatinya, dia tahu dia telah melakukan kesalahan yang besar. Dan bila Luqmanul Hakim meninggalkannya, dia sedar dia semakin terperusuk ke gaung yang lebih dalam.
Dia biasa ingin manusia memahaminya. Tetapi dia tidak pernah menghargai manusia yang memahaminya. Dia tidak menghargai sahabatnya yang terbaik itu. Teman wanitanya bukan orang yang memahaminya. Dia diminati dan dikasihi perempuan itu hanya kerana dia kacak dan berharta. Sekadar tempat melempiaskan nafsu semata-mata.
Dub.
Bahunya berlanggar dengan seseorang. Azizi tidak menghiraukan. Terus bergerak.
“Hoi!” Satu teriakan kedengaran. Baru sahaja dia hendak menoleh, satu tumbukan hinggap pada wajah. Tersembur darah dari mulutnya.
Tiga orang lelaki bertubuh besar dan tinggi, sedang berdiri di hadapannya dalam keadaan amarah. Azizi mengesat bibirnya. Dia kenal tiga lelaki itu.
“Ah, Azizi Wajdi rupanya. Romeo terkenal di universiti kita ini.” Tuan punya suara itu mengepal penumbuk dan menumbuk-numbuk telapak tangannya.
“Faris, aku memang berasap betul dengan mamat ni.” Seorang lagi temannya bersuara. Muka tegang tanda tidak puas hati kepada Azizi.
“Betul tu Malik. Sumpah aku benci dengan dia ni. Budak tak sedar diri.” Dan pemilik suara ini paling dikenali Azizi. Yusman. Bekas teman lelaki kepada teman wanitanya kini.
“Ajar dia!” Faris bersuara. Terus dipukulnya Azizi di situ juga. Tindakan itu mendapat perhatian ramai. Pelajar-pelajar yang lalu lalang di situ mula berkumpul. Tetapi malang buat Azizi, tiada siapa yang menunjukkan wajah belas kepadanya.
Semua seakan-akan berkata di dalam hati: “Inilah balasannya untuk orang macam engkau.”
Malah ada yang mengeji Azizi terang-terangan. “Rasakan!”, “Padan muka!”, dan sebagainya.
Rata-rata hari ini, di kala ini, orang melihatnya seakan-akan seperti manusia yang sedang menerima pembalasan Tuhan.
“Hoi!” Satu suara menyabung ibarat halilintar, seakan-akan membelah masyarakat yang bekerumun. Satu lorong seakan-akan terbentuk, menuju kepada pemilik jeritan.
Faris, Malik dan Yusman memandang. Azizi yang sudah lebam-lebam dan berdarah mengangkat wajahnya sedikit dari pembaringan.
“Hentikan!” Luqmanul Hakim melangkah.
“Nul. Biarlah kami uruskan sahaja dia ini.” Faris bersuara garang.
Luqmanul Hakim tidak mempedulikan. Dia terus menduduk dan membangku Azizi.
“Kau okay tak ni?” Pipi sahabatnya itu ditepuk-tepuk lembut. Takut sahabatnya telah pengsan.
Dan ketika ini air mata Azizi meleleh.
“Maafkan aku Nul.”
Luqmanul Hakim diam sahaja. Diletakkan Azizi perlahan-lahan. Kemudian dia berdiri menghadap tiga sekawan.
“Sudi lepaskan dia?” Luqmanul Hakim mendepangkan tangan.
“Gila ke Nul? Dia ni layan kau macam sampah je selama ni.” Faris meninggi suara.
“Kami dengar pun, kau dah tinggalkan dia. Biar kami lanyak sahaja dia ni.” Malik seperti Faris.
“Ha’ah!” Yusman berapi.
“Kalau macam itu, langkah mayat aku dulu.” Luqmanul Hakim menajamkan pandangan.
Dan bulu roma tiga sekawan menegak. Masing-masing kaku dengan keyakinan Luqmanul Hakim.
“Kami tak mahu gaduh dengan kau Nul.” Malik bersuara gentar.
“Jadi lepaskan dia.”
Akhirnya tiga sekawan menurunkan penumbuk mereka. Terus berpaling dan bergerak menjauhi.
Suasana jadi riuh dengan bisik-bisik manusia yang ada. Diiringi dengan gerak langkah mereka menjauhi tempat itu. Ketika ini, Bunyamin, Razak dan Umair muncul. Membantu Luqmanul Hakim mengangkat Azizi.
“Hei, kau memang beruntung ada Nul.” Bunyamin menjentik sedikit dahi Azizi.
Azizi diam sahaja tidak membalas apa-apa.
Mereka bergerak perlahan-lahan menuju ke rumah Azizi dan Luqmanul Hakim.
******
Hujung minggu. Rumah itu tenang. Ruang tamu kelihatan kemas. Kini kedengaran bunyi dari arah dapur. Bunyi seseorang sedang membasuh pinggan mangkuk.
Luqmanul Hakim di situ. Khusyuk dengan Mp3 yang disumbat ke telinga.
Tiba-tiba dia terasa akan kewujudan seseorang di sisinya. Apatah lagi apabila orang itu mengambil pinggan dan berus basuh, kemudian membantunya sama.
Luqmanul Hakim menoleh ke kirinya.
Azizi yang sedang membantunya itu. Dia meleret senyum.
“Nul, terima kasih sebab selamatkan aku. Aku minta maaf atas sikap aku selama ini. Aku bukan sahabat yang baik. Aku memang bukan sahabat kau yang baik. Maaf.” Nada bersalah.
Mereka tidak berbicara pun beberapa hari ini sementara tubuh Azizi masih sakit. Tetapi Luqmanul Hakim tetap menjaganya. Lelaki itu jugalah yang membersihkan rumah seperti sediakala. Hari ini, baru mereka berbicara bersama.
Luqmanul Hakim menggeleng.
“Aku pun minta maaf juga.”
“Eh? Untuk apa kau minta maaf?”
“Aku terjatuh juga. Aku fikir nak lepaskan kau sahaja. Aku tak patut rasa macam itu. Patutnya, aku kekal tabah duduk di sebelah kau.”
Azizi terharu mendengar bicara tulus Luqmanul Hakim itu.
“Kau manusia. Macam aku juga. Sekurang-kurangnya, kemanusiaan kau teruji. Aku mempergunakan kemanusiaan aku sebagai alasan.” Azizi menghela nafas, sambi tangan mencucui pinggan yang terakhir.
“Jangan tinggalkan aku lagi ya? Aku janji aku usaha sungguh-sungguh selepas ini.” Azizi berbicara jujur. Benar-benar permintaan itu daripada kalbunya. Pinggan yang siap dibasuh itu diletakkan. Wajah Luqmanul Hakim ditatap.
“InsyaAllah.”
Dan dalam keadaan tangan masih basah, Azizi terus mendakap Luqmanul Hakim.
Bersama azam baru.
Untuk menjadi seorang sahabat yang sejati, dan hamba yang terbaik buat Ilahi. Bukan seorang sahabat gelap, yang sekadar mengorbankan kebaikan sahabatnya buat diri.
Slot 'Islam Itu Indah' di Radio IKIM oleh Prof.Dr.Muhaya - Kebimbangan Dalam Kehidupan
Pesakit bimbang kerana ada migraine. Selalunya orang yang ada migraine adalah orang yang selalu bimbang.
![]() |
| Gambar diambil dari LangitIlahi.Com |
Manusia banyak ketakutan. Antaranya, takut mati. Takut nak jumpa Penciptanya. Sedangkan orang Mukmin tak takut mati.
Takut orang yang disayangi tinggalkan dia. Takut hilang harta benda. Takut sakit. Terlalu banyak kebimbangan.
Pergantungan Allah dengan tahap yang tinggi, maka tiada rasa takut. Kalau kita beriman bahawa tiada rezeki kita yang halal yang boleh diambil, tiada kegusaran. Jika ada duit yang hilang, kita memahami bahawa pasti itu bukan wang yang halal atau rezeki yang berkat. Mengikut kajian 90% perkara yang kita bimbangi tak berlaku.
Tukarkan perkataan bimbang menjadi prihatin. Supaya kita melakukan sesuatu supaya perkara yang dibimbangi itu tidak berlaku.
Orang yang bimbang tiada fokus dalam hidup.
Betulkan niat supaya kurang kebimbangan. Fokuskan kepada apa yang kita boleh sumbangkan berbanding dengan apa yang akan kita dapat.
Jangan merasakan diri pandai kerana ilmu itu Allah yang beri.
Lawan kepada kebimbangan adalah redha dan berserah.
Sistem kepercayaan membentuk nilai seseorang.
‘Amar makruf nahi munkar’, perlu ada pada diri seorang mukmin dan melambangkan keimanan.
Buat baik pada orang yang buat tak baik. Cari kesilapan diri sendiri dan perbetulkan. Sedangkan Nabi berbuat baik pada orang yang berbuat jahat pada Baginda.
Perbetulkan keluarga kita dan jangan biarkan mereka menempah tiket ke neraka. Takutlah jika hati kita tak merasa apa-apa apabila melihat keluarga kita melakukan dosa.
57 ayat di dalam al-Quran berkata tentang pentingnya apa yang kita makan. Jadi, jagalah apa yang kita makan.
Perbuatan yang dilakukan dengan kasih sayang memberi kekuatan, dan sesuatu yang dipandang dengan negatif akan melemahkan.
Kerisauan itu diletakkan dan diserahkan pada Allah. Jaga urusan dengan Allah, dan yakinlah, insya-Allah, Allah akan jaga apa yang kita risaukan itu.
Sesuatu yang diluar kawalan kita, doalah dan beribadahlah pada Allah, atas Rahmat Allah, Allah akan tolong.
Kita dilayan dunia sebagaimana kita mengajar dunia untuk melayan kita.
Jika orang melakukan kejahatan pada kita, kita fikirkan balik apa yang pernah kita lakukan di masa lalu.
Maafkan semua orang dan lemparkan kasih sayang dan doakan orang-orang yang dekat dengan kita mendapat Hidayah.
Allah Maha Pengampun. Jadi jika seseorang pernah melakukan kesalahan tertentu, jangan memandang serong kerana Allah mungkin telah mengampunkannya.
Tengoklah rancangan-rancangan keislaman dan ia adalah suntikan positif.
Jika kita cintakan orang alim, maka kita adalah orang baik. Tetapi jika orang yang kita suka orang yang tidak baik, itulah kita.
Tengoklah bahan bacann seseorang dan siapa orang yang didampinginya, itulah diri seseorang itu.
Kita mempunyai pilihan, samada yang baik atau tidak baik. Jadi pilihlah yang baik.
Banyakkan bersyukur walaupun hidup ini banyak cabaran kerana nikmat Allah terlalu banyak. Carilah redha Allah.
Pemikiran wasatiah, tentang kesederhanaan dan keseimbangan. Jangan mudah menghukum dan melabel seseorang. Apa sahaja perlu berdasarkan keimanan kita. Apabila mendengar sesuatu, jangan lihat siapa yang bercakap, tetapi lihatlah maklumat dan ilmu bermanfaat yang diberi.
Kesimpulan: Bangun pagi, bersyukurlah. Sebelum tidur, doa semoga hari esok hari yang lebih baik dari hari ini. Letakkan Allah di hati kita. Jangan ada perkataan bimbang dan tukarkan dengan prihatin.
Nota Ringkas Segmen Islam Itu Indah di Radio IKIM oleh Prof. Dr. Muhaya -Kesombongan dalam Kehidupan
Muhasabah diri sendiri, adakah dalam fasa kehidupan kita, kita sombong?
Menyeru para doktor agar jangan jadi sombong. Jangan terlampau bangga dengan ijazah yang kita ada. Kalau senior, jangan merasakan diri lebih.
Kesombongan hanya akan mendatangkan kesusahan.
Orang yang pandai masak selalu menggembirakan orang.
Kesombongan menutup kelemahan mereka secara tak sedar, ego. Mereka tiada apa.
Orang yang berjaya selalunya rendah hati. Orang yang hebat buat orang lain rasa hebat. Orang yang mengecil-ngecilkan orang selalunya dirinya sendiri kecil.
Girls who know do not speak, girls who have do not show.
Perasaan syukur sepatutnya mengatasi rasa bangga. Kejayaan mendekatkan seseorang dengan Allah sepatutnya.
Segala perbuatan bermula dengan niat.
Pandanglah orang dengan penuh kasih sayang.
Orang yang sombong tak suka senyum.
Kita “interested rather than interesting”.
Orang yang taknak dengar kebaikan, orang yang sombong.
Orang yang mengaibkan orang sebenarnya sedang menutup keaiban sendiri.
Jika orang buka keaiban kita, jangan salahkan orang yang mengaibkan, berterima kasihlah kerana itu adalah teguran. Betulkan diri sendiri sebelum kita bercakap tentang orang lain.
Sentiasalah bersyukur.
Sombong dengan Allah, bercerita masalah pada orang tetapi tidak bercerita pada Allah.
Orang yang suka buat alasan adalah orang yang sombong.
Orang yang sombong dan ego sedang sakit jiwanya. Ubatnya, kita buat baik dengan orang yang sombong. Orang yang sombong adalah orang yang tak matang, dan orang yang paling jauh dengan Allah. Ketua yang sombong adalah orang yang merana sebenarnya.
Jangan namakan anak dengan kebanggaan, beri nama yang beri makna dan kesan yang baik.
Sombong berlaku kerana ilmu, kuasa, harta dan keturunan.
Jangan ‘budget bagus’.
Ketika menegur, jangan pandang hina pada orang yang ditegur. Pandang dengan kasih sayang, ia lebih berkesan.
Sombong adalah pakaian Allah, jika manusia pakai pakaian Allah, maka binasalah.
Husnul khatimah adalah tujuan hidup kita.
Jangan terlalu fokus pada masalah, jika terlalu fokus masalah akan susah nak selesai.
Janganlah sombong kerana sombong adalah punca iblis dihalau dari syurga. Carilah redha Allah bukan penghargaan manusia.
Hari Minggu yang Penuh Makna
![]() |
| Gambar di ambil dari LangitIlahi.Com |
Hari ini hari Isnin. Sepatutnya hari Isnin disambut dengan ceria, ia adalah hari yang mulia, Rasulullah SAW lahir pada hari Isnin. Tetapi malangnya ia adalah hari yang mendung buat teman kerana hari ini ibu teman bergerak pulang ke kampung. Ibu teman melawat teman sejak hari Rabu yang lepas dan terasa masa berlalu dengan terlalu pantas. Tak sempat menunaikan 2 hajatnya. Teman seboleh-bolehnya ingin menunaikan apa sahaja hajat ibu teman. Jika mahu berjalan-jalan, teman akan cuba membawanya dan menggembirakannya.
Hari rabu yang lepas, pulang sahaja dari kerja, ibu sudah menunggu di rumah. Beliau kelihatan letih kerana memandu hampir 7 jam untuk ke sini. Berkali-kali teman meminta gar beliau menaiki bas sahaja supaya tidak penat memandu jauh, tetapi beliau berkeras ingin memandu sendiri kerana beliau puas dan seronok begitu. Pulang sahaja, kelihatan beraneka makanan kampung dan buah-buahan berlonggok di dapur. Ibu sedang menyusunnya sedikit demi sedikit ke dalam peti ais. Hidangan makan malam kelihatan sungguh enak, ikan keli goreng, ikan keli masak tumis cili api, daging kicap dan sayur-sayuran, wah, ia sungguh menyelerakan. Apabila sahabat teman tiba sahaja di rumah pukul 7 malam, terus kami menyental makanan tersebut. Malam itu, ibu teman kepenatan, seawal pukul 10 malam, kami semua masuk tidur.
Pagi-pagi selepas Subuh, sebelum bertolak ke tempat kerja, teman memasak sarapan. Ibu masih kelihatan penat, jelas, umur 55 bukan lagi usia penuh tenaga. Teman pergi kerja seperti biasa tetapi dalam diam memohon cuti untuk keesokan hari agar dapat meluangkan masa buat ibu tercinta. Pulang dari kerja, ibu sudah menghidangkan masakannya. Memang sedap, ia benar-benar berbeza dari air tangan sendiri. Kami makan dengan banyaknya. Malam itu kami tidak ke mana-mana. Yang pastinya, rumah kami bersih kerana ibu menjalankan operasi BERSIHnya di rumah teman. Pokok-pokok yang kami tanam di belakang rumah kelihatan disusun semula, rumput-rumput 'jahat' telah dibuang, bahagian belakang rumah memang 'clear' dikerjakan ibu, kasihan ibu.
Hari Jumaat yang sungguh menenangkan. Bercuti bersama ibu tercinta benar-benar menyamankan. Sahabat teman kelihatan cemburu melihat teman bersenang lenang di pagi Jumaat. Pagi itu teman dan ibu teman menyambung operasi berkebun di belakang rumah. Pokok pandan, nenas, dan kunyit ditanam. Ibu mengajar cara membuat baja organik buatan sendiri, ia sangat mudah. Kami membakar sampah dan membersihkan bahagian belakang rumah sehingga pukul 10 pagi. Ia agak memenatkan. Lepas Zuhur, teman membawa ibu teman ke kedai mamak yang agak terkenal dan kami makan tengah hari di situ. Kemudian teman membawa ibu ke ladang arnab milik kawan baik teman dan kemudian membeli durian kampung di tepi jalan. Waktu Asar, kami pulang ke rumah untuk memasak. Sahabat teman pulang sahaja, kami terus makan malam bersama. Ikan masin yang ibu bawa dari Utara sangat menyelerakan, rasanya sungguh berbeza dari ikan masin selatan. Kemudian kami cuci mulut dengan durian, sebelum makan tadi pun kami sudah buka selera dengan durian. Selepas solat Magrib, kami membawa ibu berjalan-jalan di pasar malam, ibu suka pasar malam. Teman belikan buku tajwid yang beliau mahu. Kami membeli keperluan masakan untuk dibawa berkelah esok hari. Kemudian dalam perjalan pulang ke rumah, teman singgah ke rumah kawan baik teman dan mengambilnya. Beliau akan tidur di rumah teman dan turut serta dengan aktiviti hari minggu kami.
Pagi Sabtu, kami bangun awal pagi. Ibu bangun lebih awal dan memasak rendang ayam, nasi dan mee goreng. Teman pula membuat apam nasi tetapi malangnya, tidak menjadi. :-P. Kemudian sahabat-sahabat teman menyiapkan barang-barang ke dalam bonet kereta. Kami bertolak pukul 7.30 pagi. Perjalanan ke pantai tersebut mengambil masa selama 1 jam setengah. Teman sempat bersolat dhuha di petronas semasa dalam perjalanan. Kami tiba pada pukul 9 pagi dan matahari sudah naik. Sebelum terjun ke dalam air, kami membentang tikar dan bersarapan dengan enaknya sambil melihat pemandangan yang sangat cantik. Kemudian kami mandi laut sehingga pukul 1.30pm. Kami mandi dan pulang pada pukul 2pm dan bersolat Zuhur di hentian R&R. Dalam perjalan pulang, teman singgah di sebuah restoran yang agak terkenal dengan nasi ayam penyet. Kemudian kami sampai di rumah pada pukul 5pm. Penat tapi menyeronokkan. Kami tidak ke mana-mana lagi selepas itu. Ibu kelihatan sangat penat dan tidur sangat awal.
Ahad pagi, kami bersarapan bihun goreng. Pukul 11am, ibu meminta untuk mencari saudaranya di alamat yang telah diberi. Kami membawanya mencari alamat tersebut tapi tak jumpa setelah 2 jam mencari. Kemudian kami singgah di pejabat salah seorang kenalan kami yang merupakan kontraktor berjaya di situ. Pejabatnya sangat indah dan hiasan dalamannya serba hijau dan sangat menarik. Setelah berbual-bual, kami pulang semula kerumah dan sempat menghantar sahabat teman ke rumahnya. Petang itu kami tidak ke mana-mana. Ibu teringin nak pergi ke sebuah lagi tempat tetapi tak dapat dipenuhi kerana masa terlalu suntuk dan kami semua sudah kepenatan.
Pagi ini, teman terpaksa bekerja seperti biasa sementara ibu pula akan bertolak pulang ke kampung. Hati terasa sangat sayu dan sedikit sesal kerana tak dapat melaksanakan kesemua keinginan ibu, tetapi teman berazam akan cuba juga melaksana segala kemahuannya jika berpeluang bertemu lagi. Hari raya kali ini semoga dapat beraya bersama dengan penuh mahabbah fillah.
Terima kasih Allah atas nikmat yang tak terhingga ini. Terima kasih yang tak terhingga. Semoga Allah meredhai teman dan ibu teman dan sahabat handai teman.
Subscribe to:
Posts (Atom)




