Showing posts with label Ulasan Buku (Book Review). Show all posts
Showing posts with label Ulasan Buku (Book Review). Show all posts

Friday, 17 June 2011

Tagha

Tagha adalah perasaan yang merasakan diri sendiri lebih baik terhadap 4 perkara, iaitu merasakan diri pandai, hebat, berkuasa dan kaya. Sifat tagha adalah salah satu penyebab manusia tidak memasuki syurga. Masya-Allah. Teman terkedu apabila terbaca tentang tagha di dalam buku bertajuk Pesona Solat Tahajud karangan Dr.Muhammad Salleh. Teman bersolat setiap hari, mencari kebaikan dan cuba menjadi hamba Allah yang terbaik. Sangka teman, riyak perlu dihindar dan ujub perlu dielakkan. Riyak adalah sikap mahu menunjuk-nunjuk sedang ujub pula adalah perasaan takjub terhadap diri sendiri. Tetapi teman terlepas pandang tentang satu lagi sifat yang perlu dijauhi iaitu tagha. Apabila terbaca tentang hakikat tagha, abrulah teman faham mengapa teman diuji dengan 4 perkarra tersebut (pandai, hebat, berkuasa dan kaya). Dan teman bersyukur kerana akhirnya teman faham hikmah Allah menguji teman sebegitu, kerana Allah sayangkan teman dan mahu teman melepaskan sikap tagha terhadap 4 perkara tersebut. Mengapa Allah uji? Kerana Dia mahu teman pulang ke pangkal jalan dan menjadi hamba Allah yang sebenar-benar hamba, mengingatkan teman tentang betapa hinanya teman dan akhirnya menjawab doa teman yang meminta untuk dibersihkan diri dan hati. Tagha, ternyata ia adalah salah satu kekotoran hati yang menghijabkan manusia dengan Rabbnya. Ya Allah, ampunkan aku.

1. Tagha terhadap harta dan kemampuan
Dahulu, ketika teman baru sahaja menjejakkan kaki ke alam pekerjaan, teman agak bernasib baik dari kawan-kawan sekuliyah teman. Teman mendapat kerja dan ditawarkan gaji yang bagus. Teman berbangga kerana gaji teman lebih dari orang lain dan teman berkemampuan memiliki apa sahaja dengan wang sebanyak itu. Jika kawan-kawan di kotaraya KL terpaksa bersempit-sempit di rumah flat 2 bilik, teman hidup mewah di rumah teres 3 bilik yang lengkap dengan perabot yang cantik. Tetapi akhirnya teman teruji. Teman kecewa dalam bercinta lalu teman membuat keputusan bodoh untuk berhenti kerja. Teman menanggung hutang yang banyak. Teman tiada lagi wang kocek yang berlebihan kerana sibuk membayar hutang. Apabila teman berhenti kerja, simpanan wang teman semuanya habis sehingga terpaksa menyusahkan orang tua teman. Teman jadi miskin dan berhutang keliling pinggang. Teman sering bertanya, mengapa Allah uji teman sebegitu? Tetapi sekarang teman sudah faham. Perasaan miskin itu dapat mengikis perasaan tagha, tiada lagi rasa megah terhadap kemampuan kerana teman sudah tidak mampu lagi.

2. Tagha terhadap kuasa.
Dulu, teman mempunyai kuasa di tempat kerja. Teman boleh memilih mana-mana kontraktor dan memberi mereka projek. Teman bangga kerana syarikat-syarikat yang melobi projek terpaksa melutut dan merayu demi mengharapkan projek diberi kepada mereka. Dengan bangganya teman pernah berkata, "aku suka kerja sebegini daripada kerja di bahagian pemasaran, aku tak suka merayu, aku suka orang menyembah aku minta projek, mereka yang merayu bukan calang-calang, mereka adalah pengarah syarikat, jika di syarikat mereka, mereka menindas orang di bawah mereka, tetapi dengan aku mereka terpaksa melutut walaupun aku eksekutif biasa'. Betapa angkuhnya teman. Itu tagha! Akhirnya teman kehilangan kuasa setelah dianiaya oleh ketua teman sendiri. Teman akhirnya menjadi pekerja yang tidak mempunyai fungsi penting di syarikat. Dan kini teman faham bahawa Allah mahu mengajar manusia takbur seperti teman. Menundukkan kepala teman supaya menyembah bumi. Alhamdulillah, biarlah teman tersungkur dan terhina, asalkan Allah tetap memberi petunjukNya.

3. Tagha terhadap hebat
Dahulu, teman berbangga dengan pelbagai kelebihan yang ada dalam diri teman. Tetapi semua itu hilang begitu sahaja kerana tiada lagi tempat untuk menunjukkan kehebatan itu. Ia seolah-olah menyepi dan teman akhirnya sedar, teman tak hebat. Tiada apa yang boleh dibanggakan lagi.

4. Tagha tentang pandai
Dahulu, teman bangga dengan kelulusan akademik teman. Tetapi akhirnya teman gagal dalam kerjaya, kelulusan tinggi tidak lagi dipandang mulia kerana kegagalan diri memadam reputasi teman.

Keempat-empat nikmat ini Allah tarik daripada teman, tetapi teman redha dan akur. Dulu teman tak redha, teman kecewa dan memberontak, tertanya-tanya mengapa teman diuji sebegitu. Tetapi hari ini teman akur dan redha, malah bersyukur kerana Allah memberi petunjuk, agar teman tak terus menerus berada dalam kesesatan. Alhamdulillah. Semoga Allah melindungi teman dari sikap sebegini dan semoga Allah menjauhkan teman dari segala penyakit hati.

Wednesday, 8 June 2011

Khusyuk dalam berwudhuk-Olahan daripada buku ANAKKU BRAIN TUMOR

Tak pernah terfikir di minda teman selama ini tentang khusyuk dalam wudhuk. Selama ini, teman cuma tahu tentang khusyuk dalam ibadah, khususnya merujuk kepada solat. Alhamdulillah, melalui pembacaan teman, buku Anakku Brain Tumor karangan Isyah Radhiah, barulah teman faham tentang salah satu cara untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat. Isyah menerangkan secara terperinci tentang bagaimana untuk mendapatkan khusyuk dalam solat kerana solat adalah antara penyembuh terbaik kepada penyakit atau kesusahan yang menimpa manusia. Tetapi untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat, adalah penting menjaga solat itu daripada wudhuk hinggalah selesai solat. Antara tips khusyuk solat yang diberi adalah mengambil wudhuk dengan khusyuk. Beliau memberitahu secara terperinci bagaimana setiap gerak dalam wudhuk itu mempunyai maksud, doa dan fadhilat. Teman betul-betul kagum kerana ia adalah sesuatu yang baru buat teman, mungkin orang lain sudah lama tahu, tetapi teman belum tahu. Walaupun Ilmu Wahyu adalah subjek minor ketika di universiti, tetapi ilmu teman ternyata terlalu cetek. Benarlah ilmu Allah itu terlalu luas, dan apa yang kita ada cuma setitik sahaja dari selautan ilmu itu. Allah Maha Bijaksana.

Teman sudah mula cuba mengamalkan wudhuk dengan khusyuk sejak membaca buku ini. Bukan semua doa yang diberi sudah teman hafal, tetapi teman baru sahaja menghafal 2 dari doa-doa yang diberi, iaitu ketika membasuh tangan dan setelah selesai wudhuk. Yang lain-lainnya, teman cuma berdoa dalam bahasa teman sendiri, tetapi ia berjaya membuatkan teman menghayati setiap gerakan wudhuk dan menghayati fadhilatnya. Perasaannya sungguh berbeza dan ia benar-benar memberi kesegaran secara fizikal mahupun mental. Kepada yang belum membaca Anakku Brain Tumor, silalah mendapatkannya dengan segera. Ia boleh ditempah secara terus dari laman sesawang Galeri Ilmu. Ia sangat berguna dan mempunyai panduan-panduan berguna yang boleh diamalkan selalu. Ia adalah terapi jiwa yang resah mencari kebenaran. Wallahu’alam.

Tuesday, 31 May 2011

Anakku Brain Tumor - Hadiah buat seorang ibu


Assalamualaikum wbt, dan selamat pagi semua,

Alhamdulillah, Allah masih izinkan teman bernyawa hari ini. Nikmat solat tahajud dan witir malam tadi masih terasa hingga ke saat ini. Mungkin ini hikmah bangun malam, dapat menajamkan hati untuk lebih fokus dengan tujuan kita diciptakan Allah.  Terima kasih Allah. Dan mohon ampun dariMu andai tulisan ini mengundang batil, mohon perlindunganMu ya Allah.

Pagi ini seorang kawan yang sudah lama bercuti kerana bersalin anak yang kedua kini kembali bekerja. Melalui Google Talk, beliau menghubungi teman dan bertanya khabar. Teman tahu dia dalam kesusahan. Ya Allah, bantulah hambaMu itu, beliau dalam kesusahan, permudahkanlah urusan-urusan beliau ya Allah, murahkanlah rezeki beliau.

Dengan nama Allah, teman akan hadiahkan sebuah buku, Anakku Brain Tumor tulisan Isyah Radhiah (isteri Che Am Raihan). Buku ini tentang ketabahan seorang ibu yang mempunyai 8 anak. Anak ketiga beliau disahkan ‘brain tumor’ pada Mei 2010, ya…ia baru sahaja berlaku setahun yang lepas, genap setahun! Buku ini masih segar di pasaran, catatan terkini sekitar April 2011, bulan lepas! Alhamdulillah, teman diizinkan Allah memiliki buku ini dan teman kira, ia adalah petunjuk Allah bagi sesiapa yang menggunakan akal fikirannya untuk memahami hikmah Allah.

Buku ini adalah tentang keluarga Islam. Ia menceritakan pengalaman mereka mengalami pahit getir di kala mengahadapi musibah dan dugaaan yang besar. Mempunyai anak yang mempunyai jangka hayat adalah satu cabaran yang besar bagi sesiapa yang bergelar ibu bapa. Namun, hidup dan mati adalah urusan Allah. Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Dan berharaplah hanya pada Allah kerana Dia sahaja yang boleh memberi. Buku ini menceritakan bagaimana doa menjadi senjata. Senjata yang lebih hebat dari akal manusia yang terbatas. Ia menceritakan tentang usaha gigih, di samping berserah kepada Allah selepas segala usaha ditumpahkan. Ia adalah aktiviti yang selari, berdoa dan berusaha. Ia adalah tentang keimanan, tentang kesabaran, tentang ibadah dan ia adalah satu sumber rohani. Buku ini adalah panduan tentang ‘Islamic parenting’, tentang didikan anak-anak, tentang ketabahan seorang ibu dan bapa. Ia tentang airmata sedih dan gembira.

Buku ini teman belum habis baca, tetapi sudah hampir ke penghujungnya. Susah nak berhenti apabila sudah mula membacanya. Ia buku yang terbaik untuk sesiapa sahaja. Teman akan hadiahkan buku ini untuk seorang ibu tunggal yang dalam kesusahan, supaya beliau dipimpin Allah melalui buku ini. Semoga apa yang ada di dalam buku ini melekat dalam hati sanubarinya sebagai seorang ibu, dan kemudian tabah serta semakin tunduk pada Penciptanya.

Buku ini teman beli melalui http://www.galeriilmu.com.my/ .


Tuesday, 10 May 2011

Travelog Haji, Mengubah Sempadan Iman - Prof Kamil Ibrahim

Salam buat semua dan selamat pagi,

Teman baru sahaja lepas buat satu laporan ringkas buat ketua projek teman. Tiba-tiba teringat pulak buku yang teman baru sahaja habis baca pada hari sabtu yang lepas. Buku ini ditulis oleh Profesor Muhd. Kamil Ibrahim. Tebalnya adalah dalam satu inci muka surat tetapi jangan khuatir, teman yakin sesiapa yang membacanya takkan mahu berhenti dan dapat menghabiskannya dalam masa sehari atau dua hari tanpa henti, kecuali jika ingin mandi, solat, makan dan melaksanakan perkara wajib yang lain.

Teman sangat teruja membaca buku ini, bukan kerana apa, sebab teman rasakan yang teman memerlukan transformasi itu. Teman sudah banyak membuang masa dan lalai selama ini, teman rasa teman adalah hamba Allah yang paling hina. Buku ini memberi harapan bahawa transformasi itu mampu dilakukan dan kita mampu berubah. Dan teman tak pernah terfikir bahawa teman mampu melaksanakan ibadah haji, selalu bermain di minda bahawa diri ini belum bersedia dan masanya masih jauh. Tetapi buku ini adalah hikmah Allah dan tarbiah dari Allah melalui cara penyampaian Prof Kamil, dan teman mula menyimpan cita-cita untuk menjejakkan kaki ke rumah Allah dan menjadi tetamunya yang istimewa. Semoga Allah merahmati penulis buku ini dan keluarganya. Perasaan takut berselang seli dengan keinginan yang meluap-luap untuk dijemput ke rumah Allah.

Buku ini bukanlah tentang tatacara untuk mengerjakan ibadah haji, tetapi dengan cara penyampaian yang santai, pembaca boleh memahami sedikit sebanyak proses haji. Perkara yang paling penting adalah roh haji itu sendiri dan pemahanan seseorang tentang aqidah dan amalan ibadahnya. Buku ini banyak menekankan tentang kehebatan doa, malah kita patutnya bersyukur kerana doa adalah senjata yang Allah anugerahkan buat kita. Memusatkan perhatian kepada Maha Pencipta adalah satu keperluan yang perlu sentiasa ada bukan sahaja di Rumah Allah, tetapi di semua tempat kita tujui dan setiap masa. Buku ini juga bercerita tentang Kasih Allah yang dapat dirasakan dengan jelas jika roh Islam itu kita tumpukan dan rasakan.

Kepada pembaca, anda juga boleh melayari blog Prof Kamil 'Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan'. Teman mengikuti blog beliau dan teman harap, penghijrahan Prof Kamil ke Madinah September tahun ini tidak memutuskan hubungan dakwahnya dengan kita semua.

Monday, 9 May 2011

A Doctor In the House oleh Tun Mahathir

Salam buat semua,

Ini adalah buku yang mesti dimiliki. Teman tak habis baca lagi, tapi teman betul-betul menyarankan agar semua penggemar buku membeli dan membaca buku ini. Buku ini secara peribadinya ditulis oleh Tun Mahathir. Teman baru membaca satu bab dan teman benar-benar teruja dengan penggunaan bahasa Inggeris yang hebat tetapi mudah difahami, penyampaian yang santai dan terbayang-bayang Tun Mahathir sedang berucap ketika membaca tulisannya itu. Banyak sejarah yang tidak tertulis di buku sejarah sekolah terdapat di dalam buku ini. Dan beliau sangat berterus terang dalam permainan politik yang beliau mainkan. Coretannya jujur dan memberi banyak input yang berguna. Baru satu bab, teman rasakan banyak yang teman pelajari. 2 inci muka surat yang seterusnya perlu teman habiskan dan teman tak sabar-sabar untuk membacanya, ia amat melekakan dan terasa diri penuh dengan ilmu. Teman harap, ulasan teman yang tak seberapa ini dapat memberi sedikit panduan kepada penggemar-penggemar buku. Marilah membaca kerana membaca amalan mulia dan itulah ayat pertama yang diwahyukan dengan ayat penegasan, IQRA'!