Monday, 11 July 2011

Mampukah 2 Bulan Ibadah Mampu Melebur Dosa 13 Tahun?

Assalamualaikum wbt...

Hati rasa kosong....solat Zuhur dirasakan seperti tidak khusyuk. Teman sedih kerana tak terasa nikmat solat Zuhur. Tertanya-tanya adakah teman terlepas dari rahmat Allah? Sakit yang masih berlanjutan sehingga ke hari ini sangat tidak selesa. Setiap kali menarik nafas, seperti ada sesuatu yang merentap dada, sakit. Tetapi dalam diam terasa seperti tenang bila memikirkan bahawa teman redha jika ini caranya Allah ingin meleraikan dosa-dosa yang menggunung. Teman mula 'membuat perangai' semasa berumur 17tahun. Teman kembali tersedar dari lena diulit dosa-dosa kira-kira bulan April yang lepas. Rupanya, 13 tahun bergelumang dosa, amalan yang entah diterima atau tidak dalam 2 bulan lebih, mungkinkah dapat meleburkan dosa lebih 13 tahun lamanya mengumpul bergunung-gunung dosa. Dosa-dosa besar yang dilakukan memang terlalu banyak, dosa kecil usah dikira, kerana memang tak terkira. Teman susah hati memikirkan amalan yang terlalu ciput. Teman solat 5 waktu, cuba melakukan sekhusyuk mungkin, dan teman cuba melakukan solat sunat di setiap waktu bagi menampung kekurangan solat fardhu. Ia cuba dilakukan secara istiqamah. Solat dhuha dan qiyamullail juga teman amalkan setiap hari sejak 2 bulan ini. Tetapi 13 tahun mengumpul dosa, mampukah amalan 2 bulan melebur segala dosa? Ya Allah, sungguhpun keampunanMu luas, bukanlah aku tidak yakin denganMu, tetapi aku tidak yakin dengan diriku sendiri, aku rasa aku tak layak ya Allah....

Kalau ada yang terbaca entri catatan peribadi teman ini, jika usia anda baru awal 20-an, cepat-cepatlah berhenti dari segala maksiat. Jika tak bertaubat sekarang, penyesalan yang bakal ditanggung, tidak tertahan rasanya. Ingatlah 5 sebelum 5. Teman menyesal kerana tidak menghargai 5 sebelum 5. Semoga Allah memberi teman peluang sekali lagi untuk melaksanakan kewajipan teman sebagai hambaNya, dan melutut dan sujud sebagai tanda syukur atas nikmat dan kasih sayangNya yang luas dan Maha Hebat itu.

Saturday, 9 July 2011

Sibuk dan Sakit...Ujian Allah

Assalamualaikum wbt dan salam Sabtu buat semua,

Hari ini hari Sabtu, ia hari cuti yang ditunggu-tunggu. Sepanjang minggu teman sibuk dengan projek pihak syarikat bagi menukar sistem yang lebih global. Teman terlibat secara langsung dengan projek mega ini walaupun cuba disingkirkan pihak-pihak tertentu. Pada mulanya teman agak kecewa dengan apa yang berlaku, beberapa politik kotor dan menjatuhkan orang lain. Tetapi apabila menyedari tentang qadha' dan qadar Allah, dan Allah tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia, teman akhirnya akur dan mula nampak akan hikmah-hikmah di sebalik segala yang berlaku. Sesungguhnya apa yang Allah telah rancang untuk hamba-hambaNya adalah yang terbaik buat hambaNya walaupun ia pahit untuk ditelan. Disebalik kepahitan, ada cahaya dan kemanisan, ia adalah nikmat buat mereka yang bertaqwa. Ya Allah, aku panjatkan kesyukuran atas segala nikmatMu di lembaran tanpa sempadan ini, agar menjadi ibrah dan pengajaran kepada sesiapa yang membaca entri ini.

Walaupun tersingkir dari memgang jawatan penting ini, tetapi kuasa Allah mengatasi segalanya. Atas dasar cintakan ilmu, entah mengapa teman masih diperlukan untuk mengikuti perjalanan projek ini secara langsung, alhamdulillah. Ia adalah kuasa Allah Yang Maha Hebat.

Namun kesibukan sepanjang minggu adalah cabaran dan ujian hebat Allah bagi menguji iman hambaNya. Alhamdulillah, teman cuba atasi kesibukan itu agar masih melaksanakan ibadah-ibadah wajib dan ibadah sunat dengan istiqamah, cuma semalam sedikit teruji kerana kesibukan itu ditimpa pula dengan kesakitan.

Program bermula seawal 9 pagi. Kebiasaannya solat dhuha akan teman laksanakan pukul 8.45pagi, alhamdulillah, ia memberi peluang untuk teman melakukan ibadah sunat itu seperti biasa. Di dalam jadual tertulis satu program yang berlangsung dari pukul 1pm - 2pm. Ia adalah waktu Zuhur. Dan selalunya program yang diwartakan berlaku selama 1 jam akan berlanjutan menjadi 1.5 jam atau lebih dari itu, bermakna teman berkemungkinan hanya dapat melaksanakan solat zuhur agak lewat, iaitu sekitar pukul 2.30pm atau 3pm. Lalu teman panjatkan doa kepada Allah agar Allah membuka ruang waktu buat teman agar teman dapat melaksanakan solat tepat pada waktunya. Waktu tengahhari tiba, dan pelaksana program tiba-tiba terlewat untuk keluar makan tengah hari. Kenderaan yang membawa mereka untuk makan tengah hari bergerak lambat dan program terpaksa ditunda ke pukul 2pm. Alhamdulillah, Allah Maha Mendengar. Wahai manusia, pintalah kepadaNya, sesungguhNya dia Maha Mendengar.

Semalam, program dijadualkan pukul 2pm. Namun kawan-kawan teman mengajak untuk meraikan jamuan hari jadi salah seorang sahabat kami di sebuah pusat membeli belah yang jaraknya 15 minit dari tempat kerja. Sekali lagi, waktu solat teman teruji, Teman pulang dari menyambut parti tersebut sekitar jam 1.50pm. Tepan jam 1.50pm, teman tiba-tiba mengalami sakit dada yang sangat-sangat mencucuk dada ini setiap kali teman mengambil nafas dan setiap kali teman menundukkan kepala. Ia sangat-sangat tidak selesa, sangat sakit dan sangat menyesakkan. Namun teman terus juga ke surau, dengan waktu yang tinggal beberapa minit sahaj sebelum program bermula, ditambah dengan rasa sakit yang mencucuk dada, teman hanya mampu melakukan solat Zuhur dan tidak diikuti solat sunat kerana masa agak sempit. Bukan itu sahaja, ketika sujud, teman terasa sakit yang tak terhingga sehinggakan tidak dapat sujud lama dan solat menjadi tidak khusyuk kerana menahan sakit yang teramat sangat. Selama 2 bulan melakukan solat sunat Zuhur secara istiqamah, akhirnya teman tak dapat melakukannya pada kali ini akibat kesuntukan masa dan kesakitan yang teramat sangat. Ia pasti sesuatu yang Allah jadikan dengan mempunyai sebab-sebab tertentu. Namun teman tak dapat memikirkannya kerana kesibukan dan kesakitan.

Usai program pukul 4 lebih, teman terus ke klinik dan pembantu perubatan memberi ubat tahan sakit. Ketika waktu Asar, teman mohon pada Allah agar dapat melakukan ibadah dengan baik. Alhamdulillah, ketika sujud, ada kekurangan sakit. setelah selesai solat sakit itu datang kembali.

Alahmdulillah, teman tetap cuba mengekalkan ibadah-ibadah wajib dan sunat walaupun kesakitan. Ubat yang diberi tidak memberi apa-apa kesan hingga ke saat ini namun Allah benar-benar menolong ketika teman meminta. Iaitu ketika ibadah, teman memohon agar dapat melaksanakan dengan baik. Teman bangun untuk tahajud sedikit lewat iaitu pukul 5am. Sengaja teman tetapkan waktu agak lewat kerana teman mahu merehatkan dada yang kesakitan. Walaupun ketika bangun, badan terasa sakit sangat-sangat, anmun apabila mula berdiri untuk solat, sakit itu berkurangan. Alhamdulillah. Selepas Subuh, teman kembali ke katil untuk berehat dan tertidur sehingga pukul 10.30am. Inilah waktu tidur yang paling lama, bangun sahaja, terus sahaja melakukan solat sunat dhuha. Selesai solat dhuha, badan terasa sedikit selesa walaupun migrain pula yang menyerang. Perut pula taklah lapar sangat. Teman hanya memakan rumpai laut dan ia sangat-sangat mengenyangkan, alhamdulillah. Teman sebenarnya tak larat nak memasak kerana sakit dada dan migrain yang datang serentak.

Baiklah, coretan ini adalah bertujuan untuk menyampaikan dakwah walaupun sedikit. Dakwahnya ialah, kesibukan dan kesakitan tidak menjadi halangan untuk beribadah. Teman kira, pastinya ibadah lebih bermakna jika kita dapat melaksanakan walaupun ketika kita sakit. Allah Maha Melihat dan Dia Maha Mengetahui. Ingatlah Allah ketika senang dan susah, ketika sihat dan sakit dan ketika sibuk dan lapang.

Monday, 4 July 2011

Apakah Yang Anda Ingin Katakan Kepada Rasulullah SAW Jika Baginda Di hadapan Anda

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum wbt.

Ya Allah, terima kasih kerana mengurniakan perasaan cinta terhadap Rasulullah yang sebelum ini tak pernah aku kecapi. Program Law Kana Bainana di TV Al-Hijrah yang hanya bersiaran setiap Ahad pukul 9-9.30malam menggamit rindu terhadap Rasulullah. Ia adalah program yang menerapkan relevansi dakwah Rasulullah terhadap perkembangan zaman. Soalan hos tersebut ringkas, "Apakah yang ingin anda katakan kepada Rasulullah andainya Rasulullah berada di hadapan anda", untuk menjawab soalan ini sahaja sudah mengundang rasa sayu. Terselit rasa kagum kepada rakyat Mesir, apabila mendengar nama Rasulullah, mereka terus tersentak dan menangis. Terpalit wajah rindu ketika nama Rasulullah disebut di hadapan mereka. Ada seorang peniaga yang tidak pernah solat (menurut pengakuan peniaga itu sendiri), namun apabila hos rancangan bertanya soalan itu, dia terus sebak dan insaf, masya-Allah. Patutlah Allah SWT mengasihi Rasululullah, kerana ia adalah Utusan Allah yang  hebat, walaupun tidak pernah bertemu Rasulullah, namun umatnya tetap mencintai Rasulullah, berbaloi doa Nabi SAW ketika menyebut "Ummati, ummati, ummati", masya-Allah.

Bila teman mengajukan soalan itu kepada diri sendiri, teman risau jika teman tidak punya perasaan sebak itu, kerana jika teman tidak merasa apa-apa, bermakna teman tidak cintakan Rasul SAW. Alhamdulillah, rasa sebak hadir sehingga tak sanggup nak memikirkan jawapannya kerana terlalu sebak. Pertama kali teman merasakan sebegini dan tak terfikir selama ini untuk bertanya soalan itu terhadap diri sendiri. Ia benar-benar satu tamparan hebat buat diri teman. Ia juga soalan yang mengisafkan. Tatkala kita ingin melakukan sesuatu, bertanyalah kepada diri sendiri, jika Rasulullah ada pada ketika ini, adakah Baginda akan melakukan apa yang kita hendak lakukan ini? Jika jawpannya tidak, usahlah kita lakukannya dan ikutlah panduan Rasulullah dalam setiap perkara yang kita lakukan. Ya Allah, sampaikanlah salamku buat Rasul Junjungan Muhammad SAW dan ampunkan dosa-dosaku Ya Allah kerana sering terpesong dari peraturanMu dan sunnah RasulMu, ampunkan aku ya Allah!!!

Thursday, 30 June 2011

Surau

Assalamualaikum wbt dan salam petang buat semua,

Surau di tempat kerja teman boleh tahan besar, muat 3 saf termasuk orang yang nak melepak-lepak di belakang 3 saf itu. 1 saf boleh muat 3 orang dalam kedudukan renggang dan selesa, kalau berimam, mungkin 4-5 orang muat 1 saf. Surau ini dilengkapi penghawa dingin, deretan almari di bahagian belakang dinding surau, di bahagian kanan pula almari kaca yang tinggi dan cantik, terdapat al-Quran, kitab surah Yasin dan tafsir di dalamnya. Bahagian kiri pula ada rak telekung dan juga tempat menyalin pakaian, ada pembahagi mudah alih seperti yang kita lihat di hospital kerajaan. Di bahagian hadapan pula ada papan putih yang ditulis dan ditampal ayat-ayat al-Quran dan doa-doa, ada pen marker dan pemadam diselitkan di para kecil papan putih itu. Ini baru di dalam, diluar pula ada satu tandas dan bahagian mengambil wuduk yang boleh memuatkan 2 orang dalam satu masa. Terdapat juga singki dan cermin yang boleh memuatkan 2 orang dalam satu masa. Senang cerita, ia adalah surau impian di tempat-tempat kerja, sangat selesa, lengkap dan indah. Tapi teman pernah nampak surau yang jauh lebih besar dan cantik, ianya terdapat di sektor-sektor kerajaan. Surau mereka sangat besar dan kadang-kadang ada program tazkirah diadakan, seronok bukan? Walaupun anda bekerja, anda tetap boleh bersolat dan mendengar tazkirah, teman mengidamkan surau sebegitu di tempat kerja. Namun teman masih bersyukur kerana walaupun tiada tazkirah, surau itu tetap selesa.

Dalam keselesaan, tetap ada juga yang tak menyelesakan. Bukanlah keadaan fizikalnya, tetapi ruh surau itu sendiri. Surau ini nampak imarah dengan kehadiran jemaah-jemaah yang bersolat sunat dhuha seawal 8pagi, ramai juga yang bersolat dhuha di sini, teman anggarkan mungkin dalam dekat 10 orang, mungkin. Ia adalah 5% daripada pekerja-pekerja Muslimah yang ada di sini, untuk si hero, teman tak pasti. 10 orang itu tak termasuk orang yang solat dhuha pada waktu selain 8 pagi ini, teman sendiri memilih untuk solat pada pukul 8.45pagi, dan pernah terserempak dengan seorang wanita dari jabatan lain yang teman kira mempunyai masa tetap dalam 9 pagi.

Berbalik kepada ruh surau tersebut, pada waktu makan tengah hari, ada dalam 5-6 orang yang akan tidur di situ dan lampu pula ditutup. Kiranya jika ada orang yang mahu mengaji al-Quran sebagai ganti waktu rehat tengah hari, lupakan sahaja niat itu kerana jika anda membuka lampu, nahaslah. Mereka hanya akan membuka lampu tersebut pada pukul 1.15pm. Jika Zuhur masuk pukul 1.05pm, anda mesti menunggu sehingga 1.15pm, barulah anda berpeluang untuk solat. Kini, cabaran bermula. Lampu dibuka dan mulut mereka juga terbuka. Mereka akan bercerita pelbagai kisah, pukul 1.20pm, semakin ramai yang hadir untuk solat. Tetapi sebelum mengambil wudhuk, pelbagai topik akan dibuka. Masa itulah segala gossip di tempat kerja dibongkarkan, cerita-cerita rakan sekerja yang tak memuaskan hati juga terkeluar sekali sekala, isu anak-anak, rumah dan tanam-tanaman, semuanya nak diceritakan. Bila mengangkat takbir, niat di hati bagai berperang dengan suara-suara orang yang ghairah bercerita. Sedih, sangat sedih. kalau orang yang kuat imannya, suara-suara yang datang mungkin mudah ditepis kerana tebalnya iman mengundang rasa khusyuk yang mendalam. Namun bagi 'budak baru belajar' tentang khusyuk solat, ia adalah satu perjuangan yang hebat.

Dahulu teman bersolat Zuhur di hujung-hujung waktu. Adakalanya, sambung terus dengan Asar. Semakin hujung waktu solat, semakin mencabar kategori orang yang datang bersolat di situ. Di hujung-hujung waktu, bualan mereka lebih rancak, tawa yang nyaring membelah suasana surau, mungkin surau Muslimin di sebelah juga boleh terdengar hilaian tawa ini. Gossip-gossip yang diperkatakan juga semakin ganas, adakalanya mengutuk kumpulan 'kakak-kakak' yang bersolat di awal waktu. Suara mereka sangat deras dan kadangkala, orang yang solat itu boleh menyambung perbualan selesai sahaja salam, maknanya apa, maknanya dia mengikuti perkembangan perbualan itu semasa dalam solatnya.

Golongan yang bersolat di awal Zuhur pasti akan bertemu orang-orang yang sama di awal Asar. Namun orang-orang yang bersolat di akhir waktu Zuhur, pasti tidak kelihatan lagi di waktu Asar. Ada 2 orang yang setia menjadi ahli akhir solat Zuhur, berehat 10minit dan terus mendirikan Asar apabila masuk waktu Asar. Golongan apakah ini ya?

Di manakah ruhnya sebuah surau, jika ayat-ayat al-Quran tidak berirama di sini. Bacaan-bacaan itu cuma ada di dalam solat, tetapi tidak lebih dari itu. Selain solat, aktiviti yang ada adalah tidur, berbual, ketawa, gossip, dan kadang-kadang meniaga! Masya-Allah. Teman pula, hanya orang yang hanya mampu berkata-kata di blog ini, tetapi tak ada keberanian meluahkannya di hadapan khalayak surau itu. Hina sungguh teman, selemah-lemah iman!

israk Mikraj-Kalau Sedang Berduka, Bawalah Berjalan-jalan.

Assalamualaikum wbt dan selamat pagi buat semua,

Semalam, alhamdulillah, dapat melaksanakan puasa sempena Israk Mikraj, sejauh mana penghayatan teman, mungkin biasa-biasa sahaja. Semoga Allah menganugerahkan teman dengan penghayatan penuh terhadap setiap peristiwa besar di dalam sejarah Al-Quran.

Teman tak ingat di mana teman terbaca atau mendengarnya, tetapi Israk Mikraj adalah satu peristiwa besar yang berlaku pada tahun kesedihan Rasulullah SAW. Isteri tercinta akhirnya pergi mengadap Ilahi setelah mereka mengharungi bahtera rumahtangga yang penuh onak duri 15 tahun lamanya. Isteri yang sempurna, yang menjadi saksi kenabian Rasulullah SAW, yang menyelimuti Nabi ketika Nabi ketakutan dijenguk Jibril. Sedih pula mengenang kisah hidup Rasulullah yang penuk onak dan ranjau duka. Kehilangan bapa saudara yang sentiasa melindunginya juga sudah cukup membuat hati berduka, ditambah pula dengan hinaan dan tohmahan orang-orang Quraisy yang jahil. Maka dalam kesedihan Allah memujuk kekasihnya, membawanya 'berjalan-jalan', itulah Israk Mikraj.

Ia adalah satu petanda lain, bahawa kedukaan mampu di atasi dengan pujukan seperti membawa seseorang itu berjalan-jalan. Tak terfikir pula teman, sehinggalah israk Mikraj kali ini cuba teman hayati. Jika sedih, bawalah berjalan-jalan. Teman akan praktikkan. Bukan pergi membeli belah ya. Perempuan ada satu penyakit, kalau bersedih, pergi membeli belah, katanya boleh hilang tekanan, iyalah tu! Ambil konsep berjalan-jalan sahaja cukuplah. Allah tak bawa Nabi pergi membeli belah, tetapi mengajaknya melihat kebesaran Allah dan menghadiahkan kita dengan ibadah solat 5 waktu. Ia sangat signifikan! Ia benar-benar istimewa.

Teman tak pandai nak berhujah panjang bercerita tentang Israk Mikraj, yang teman tahu, solat kita itu adalah mikraj kita dengan Allah. Peristiwa ini mengingatkan peri pentingnya khusyuk dalam solat, apatah lagi pelaksanaan solat itu sendiri. Kalau nak bercerita pasal solat, panjang pula ceritanya nanti. Tapi kalau kita ini hanya manusia biasa yang sering lupa dan buat silap, sekurang-kurang kita perbaikilah solat. Solatlah diawal waktu, kerja yang ada tinggalkan sekejap, jumpalah Sang Kekasih, pergilah merintih dan mengadu denganNya, pasti Dia mendengar kerana Dia Maha Mendengar. Solat awal waktu ini juga adalah salah satu tips khusyuk. Kepada yang sememangnya menjaga solat dengan baik, apakata cuba melaksanakan solat-solat sunat pula. Kerana, solat-solat sunat itu dapat memperbaiki kelemahan solat fardhu. Kalau nak markah lebih, solat fardhu ini dilakukan secara berjemaah, maka dapatlah 27 markah, wah, banyak tu!

Baiklah, teman sejak akhir-akhir ni rasa sedikit terganggu kerana masalah di tempat kerja. Allah Lebih Mengetahui, semoga Allah memelihara teman dan Dialah Sebaik-baik Penolong! Yakinlah dengan Allah dan teguhkan keimanan kita semua. Allahu Akbar!

Wednesday, 29 June 2011

Kata-kata Ibarat Pedang

Entri ini adalah entri ringkas dari persekitaran teman sendiri. Kata-kata ibarat pedang, ia menggambarkan tentang pepatah Melayu, 'kerana mulut badan binasa'. Teringat juga cerita dari buku 'U-turn ke Jalan Lurus' hasil tulisan Ustaz Zul, mengenai kisah seorang hamba yang bermulut jahat. Ketika tuannya mahu membelinya, sudah diingatkan oleh pelelongnya bahawa hamba ini bermulut jahat, tetapi tuan itu mengambil mudah dari peringatan si pelelong lalu terus membeli hamba itu. Akhirnya, tuan yang kaya dan mempunyai rumahtangga yang bahagia, hidupnya musnah dalam sekelip mata hasil dari mulut jahat sang hamba yang bermulut jahat ini. Manusia yang bermulut jahat diistilahkan seperti ular. Ular membelit mangsanya dan mematuk mangsanya dengan rakus, tidak sepadan dengan gerakannya yang senyap dan saiznya yang kecil itu.

Dalam suasana bekerja, si mulut jahat memberi kesan yang besar kepada organisasi. Sesebuah jabatan boleh menjadi porak peranda dek penangan si mulut jahat. Mereka bersikap bermuka-muka dan menyebarkan cerita kurang enak kepada sesiapa sahaja. Di hadapan ketua, mereka mengadu domba, sibuk bercerita perihal pekerja lain. Apabila di hadapan rakan-rakan sekerjanya, si mulut jahat menanam bisa melalui kata-kata dan menyebarkan fitnah dan akhirnya melaga-lagakan sesama manusia. Jika ketua termakan kata-kata mereka lalu memarahi insan yang difitnah itu, si mulut jahat akan segera mendekati insan yang dimarah ini, lalu mula memujuk dan kemudian menghasut insan ini untuk membenci ketua itu dengan suntikan-suntikan cerita yang tak betul berkenaan ketua itu, menaikkan dan memarakkan kebencian orang terhadap ketua yang dimaksudkan. Apabila insan itu termakan kata-kata lalu berdendam dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ketua itu, si mulut jahat akan menyampaikan kata-kata nista itu kepada ketua itu pula, lalu porak perandalah jabatan itu. Bahayanya si mulut jahat ini, lebih berbahaya dari binatang buas di hutan. Binatang buas mengeluarkan taring dan kuku ketika perlu atau ketika menyelamatkan diri, tetapi si mulut jahat melakukannya tanpa sebab yang munasabah, kadangkala ia sekadar sesuatu yang dilakukan bagi memuaskan hati sendiri, masya-Allah.

Kepada pembaca, jagalah kata-kata. Elakkan dari menjadi si mulut jahat. Manusia dahulu kala ramai yang terbunuh akibat perperangan, namun manusia hari ini ramai terbunuh kerana kata-kata.

Tips Solat Khusyuk -Nota Kecil dan Ringkasan dari Ceramah Ustaz Zawawi Yusoh

*Solat untuk ingat Allah

*Dirikanlah sembahyang kerana dengan sembahyang itulah dapat mencegah perkara mungkar.

*Hanya solat yang khusyuk yang dapat mencegah kemungkaran.

*Orang yang sembahyang adalah orang yang tenang.

*Kalau solat baik, diluarpun kita baik.

*Khusyuk adalah kehadiran fikiran (pendapat sesetengah ulama).

*Ingatan-ingatan yang berkait dengan Allah =khusyuk

*Anggota badan melaksanakan tugasnya, mata tgk tempat sujud, mulut membaca ayat-ayat yang dibaca, telinga dengar, otak menterjemah apa yang kita baca.

*Persiapan sebelum solat. Mengetahui Asmaul Husna. Solat di awal waktu. Sunat iqamah sebagai persiapan solat. Wudhuk yang sempurna. Sunat bersiwak atau menggosok gigi. Tidak mendirikan solat dalam keadaan syak. Jangan mulakan solat dalam keadaan menahan kencing atau buang air besar ataupun kentut. Pilih tempat yang sesuai untuk solat, contohnya masjid, surau, di bilik khas di rumah. Jauhilah bersolat di laluan orang ramai. Pilihan pakaian yang sesuai untuk solat, selesa, bersih dan menutup aurat. Tentukan ayat yang nak dibaca dan pastikan maknanya. Berkeinginan untuk berjemaah. Berusaha bersungguh-sungguh untuk bersolat di saf depan. Pergi ke masjid sebelum iqamah. Jika seseorang menolak kita sebagai imam, jangan ditolak jika kita mampu jadi imam. Jangan berimamkan imam yang bermasalah. Berjalanlah dari masjid ke masjid, supaya mungkin terjumpa imam yang berhati bersih. Perbetulkan pergerakan solat. Kalau boleh banyakkan mendengar bacaan-bacaan orang-orang di Masjidil Haram, bacaan orang-orang yang faham ayat-ayat al-Quran. Jangan mulakan solat apabila makanan telah dihidangkan, pilihlah makan kerana untuk menjaga solat, takut-takut semasa solat teringatkan makanan. Jangan tergopoh gapah dalam solat. Ketika musafir, jamak dan qasarkan solat kita. Jangan mendirikan solat dalam keadaan marah. Jangan terus solat selepas majlis-majlis yang lalai. Jangan solat dalam keadaan mengantuk. Letakkan pandangan di hadapan dan kena letakkan rasa bahawa besarnya pahala orang yang khusyuk. Meletakkan perasaan bahawa solat itu adalah bekalan dan amalan yang besar ganjarannya. Meletakkan azam untuk khusyuk di setiap rakaat. Jangan sampai membuatkan orang tak khusyuk disebabkan kita. Bawak sapu tangan jika selsema. Mata jangan tengok perkara-perkara yang tak elok dan haram. Kalau solat dirumah, sediakan tempat solat yang khas.

*Persiapan semasa sembahyang. Niatlah sembahyang dengan ingin khusyuk. Ketika solat, mata tengok tempat sujud, anggota badan dengan peranan masing, mulut membaca, telinga dengar, otak terjemah. Anggaplah solat itu adalah solat yang terakhir. Bacalah ayat-ayat yang boleh menyedarkan kita dan dapat dihayati. Merasakan diri kita sedang berdiri di hadapan Allah. Rukuk ada perbuatan menghinakan diri kit adi hadapan Allah. Renungkan makna-makna ayat, iftitah adalah ikrar kita dengan Allah, seolah-olah kita berjanji dengan Allah. Jangan pejam mata, tengok tempat sujud, seolah-olah perkara lain tiada kaitan. Kalau boleh menangislah dalam solat, kalau tak boleh menangis, cubalah untuk merasa sayu. Baca Quran dengan bacaan yang betul. Kalau berjemaah, kalau imam baca, kita dengar. Merasakan selah-olah kita berinteraksi dengan Allah. Jangan pedulikan orang di sekitar. Jangan banyak gerak. Jauhi pergerakan yang pelik dalam solat. Anggaplah solat bukannya ikutan dan adat. Tak semestinya solat khusyuk itu panjang. Jangan menguap dalam solat, jika nak menguap, tahan atau gigit lidah. Sebelum beri salam, berdoa.

*Selepas solat. Beristighfar. Bertasbih dan bertahmid. Elakkan ujub, riyak, takabbur yang wujud dari solat yang khusyuk. Melakukan solat-solat sunat bagi menampung kekurangan solat fardhu.