Thursday, 21 July 2011

Ketentuan Allah-Bersabarlah!

Di dalam hikmah ke tiga, jilid pertama dalam Syarah Kitab Al-Hikam Ibnu Athaillah memperkatakan tentang qadha dan qadar Allah. Ia adalah syarah yang telah diringkaskan dan diulas semula dengan olahan yang lebih mudah dari anak muridnya, tetapi, dalam olahan yang dimudahkan, masih teman merasa betapa tingginya ilmu tersebut untuk difahami, dan nyata, betapa cetek ilmu di dada teman hinggakan ilmu yang diringkaskan itu juga sukar untuk teman fahami. Alhamdulillah, dari 10 penerangan (sebagai contoh), sekurang-kurangnya teman memahami 3 butir utama yang ingin diolah oleh penulisnya.

Menurut isi kandungan syarah tersebut, ia menyebut bahawa setiap apa yang berlaku pada kita telah tertulis di Luh Mahfuz. Dan Allah adalah sifatNya Mengurus alam ini. Tika kenderaan bergerak, ia adalah atas kehendak Allah dan Allah menguruskan kenderaan itu untuk bergerak. Tetapi syarah ini menekankan untuk tidak salah sangka dengan menjadikan syarah ini tiket untuk menghalang seseorang untuk berusaha. Ia diterangkan secara lanjut dengan bahasa yang pada teman agak sukar difahami, namun apa yang penting adalah penekanan tentang Allah yang Menguruskan seluruh alam ini dan menulis segala suratan di Luh Mahfuz. Dan yang pasti, setiap sesuatu yang berlaku adalah atas kehendak Allah SWT.

Ini adalah peringatan buat diri teman sendiri. Hari ini teman merasakan bagai hilang punca apabila satu-satunya rakan yang teman kira memahami dan memiliki perjuangan yang sama dengan teman mula menjauhkan diri sejak tengah hari semalam. Teman tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku. Tetapi lebih baik teman meletakkan kesalahan itu pada diri teman sendiri. Mungkin teman ada melakukan sesuatu yang mengguris hati sahabat teman itu sehinggakan dia menjadi dingin dan menjauh. Maka akhirnya, teman rasa asing di tempat teman mencari rezeki. Tiada lagi kawan penguat semangat jika yang satu ini pun bertindak menjauhkan diri.

Berbalik kepada hikmah dalam syarah al Hikam Ibnu Athaillah, teman mahu memujuk hati teman bahawa teman perlu menguatkan lagi amal ibadat. Teman perlu mempertingkatkan lagi rasa kehambaan dalam diri teman. Sesungguhnya seorang hamba tak layak mempersoalkan Maliknya atas ujian yang menimpanya. Jika seorang hamba merasakan dia telah melakukan segala-galanya tetapi takdirnya memberi sesuatu yang sebaliknya atau diluar kehendaknya, maka sang hamba perlu tahu bahawa sebagai hamba yang diberi terlalu banyak nikmat oleh Tuannya, adakah ketaatan yang ‘biasa-biasa’ itu sudah cukup untuk menzahirkan rasa syukur? Sedangkan Rasulullah SAW sujud di tengah malam sehingga bengkak-bengkak kaki untuk menyatakan kesyukurannya, bagaiamana seorang hamba yang memiliki segala kelemahan boleh mempersoalkan ujian kecil dari Allah? Seorang kawan tidak lain hanyalah sebahagian dari sifat keduniaan. Cintailah seseorang itu kerana Allah dan bencilah seseorang juga kerana Allah. Selain nikmat seorang kawan, Allah memberi bermacam-macam lagi nikmat yang tak terhingga buat sang hamba. Nikmat mata sahaja sudah terlalu hebat buat seorang hamba, bagaimana jika nikmat mata ditarik, apakah yang lebih penting antara sebuah penglihatan dan seorang kawan? Maka, bersyukurlah dan tabahlah menghadapi ujian.

Sunyi dalam Rahmat Allah, jika dibanding dengan dunia yang menyesatkan, mana satukah yang akan kau pilih? Biarlah sunyi, tetapi hati sentiasa ingat pada Yang Maha Mencipta.

Kejarlah Allah, apalah yang ada pada seorang kawan hingga membuatkan hati bersedih. Sedihlah jika Rahmat Allah lari dari kita. Itu lebih malang kerana api neraka marak menyala apabila Rahmat Allah terlepas dari kita.

Ketentuannya sudah begitu, telah tertulis di Luh Mahfuz bahawa sang kawan akan menjauhkan diri dari teman, maka percayalah akan ketentuan ini kerana keyakinan ke atas qadha dan qadhar adalah salah satu paksi iman. Jika kita menidakkan hakikat ini, maka hilanglah iman kita. Jika tiada iman, takut-takut kita terkeluar dari agama tanpa kita sedari.  Segalanya sudah ditentukan Allah, apa yang penting berdoalah dan mohon ampun dari Allah, kita tidak tahu apa yang Allah tulis tentang hari esok. Bersabarlah. Hidup di dunia tidak lain hanyalah sehari cuma.

Wednesday, 20 July 2011

Ujian

A002
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Surah Al-Ankabut: 2)

Ayat ini benar-benar satu motivasi besar kepada sesiapa sahaja yang sedang diuji Allah. Ujian datang dengan berbagai-bagai cara. Dalam kehidupan manusia, manusia sering diuji dengan masalah-masalah tertentu, malah ujian juga datang dalam bentuk nikmat. Melaului pembacaan, pengalaman dan pengamatan teman, ayat diatas 100% benar! Sering sahaja teman ketahui tentang orang-orang yang terkenal dengan kebaikan dan kealiman mereka diuji dengan pelbagai dugaan. Ada diuji dengan sakit, ada yang diuji dengan kemiskinan, ada juga yang diuji dengan fitnah, ada yang diuji dengan tiada zuriat dan masalah keluarga, dan macam-macam lagi. Seringkali ujian buatkan diri kita resah. Ada juga yang hilang iman ketika menghadapi ujian. Teman juga salah seorang yang pernah kehilangan iman tika ujian melanda. Kali ini, tika teman memahami konsep iman, taqwa, ihsan, qadha’ dan qadar dan tentang Islam sendiri, teman juga menerima ujian yang macam-macam. Kalau dulu, teman bagaikan hilang punca. Kali ini, tika diri sedang belajar erti sabar, diri teruji dengan pelbagai ujian. Tika meniti jalan Allah, terasa jalan ini sangat sunyi. Mengapa sunyi? Mari teman kongsikan.

Ketika teman dalam era ‘jahiliyah’, teman punyai ramai kawan. Ke mana-mana sahaja kaki ini melangkah, pasti bersama sekumpulan rakan-rakan, dan ia adalah ahli tetap. Teman tak perlu gusar akan keseorangan ke mana-mana sahaja, pasti ada sahaja yang menemani. Bila di tempat kerja, teman punya sekelompok rakan-rakan yang setia mendampingi di waktu makan, bersukan dank e mana sahaja. Bila pulang ke rumah, teman-teman yang lain pula sedia menemani dan seringkali kami ‘lepak’ di kedai-kedai makan untuk berkongsi cerita. Teman tak mengerti erti sunyi kerana hidup ini penuh dengan kawan-kawan, sahabat baik bukan seorang, tapi ramai! Ketika pintu hati diketuk keinsafan, teman ubah haluan. Kalau dahulu, hampir pukul 4 petang, teman dan kawan-kawan segerombolan menuju ke surau sambil melaksanakan solat Zuhur dan berbual malah bergossip, tetapi kini teman pergi ke surau seorang diri pada pukul 1.15petang. Waktu solat sudah tidak sama lagi. Jauh sekali untuk berbual dan bergossip, dek kerana jadual solat teman yang berubah, akhirnya banyak aktiviti yang sering dilakukan bersama kawan-kawan ditamatkan begitu sahaja. Tiada sesalan, teman kira, ia hanya mengurangkan aktiviti teman bersama mereka, tetapi semangat setiakawan pasti takkan hilang. Sangkaan teman meleset, entah kenapa, kawan untuk menemani makan tengah hari juga hilang satu persatu. Mereka tidak lagi mengajak teman untuk makan bersama mereka. Mungkin ada silap teman di mana-mana. Mereka juga sudah jarang berbual dengan teman. Tiada niat untuk menjauhkan diri dari mereka, tetapi teman Cuma ingin mencari jalan kebenaran. Mungkin teman sendiri yang melakukan kesilapan terhadap mereka tanpa sedar. Teman juga tak mampu berdakwah kepada mereka kerana teman kenal sangat dengan sikap mereka. Pastinya sikap teman yang buruk dahulu menjadi ungkitan jika teman cuba mengajak ke arah kebaikan, ah, katakan sahaja teman pengecut. Akhirnya teman pilih alam maya sebagai medan dakwah kerana diri ini terlalu lemah untuk berdakwah secara bersemuka dengan mereka semua. Dan akhirnya jalan kebenaran itu teman temouh dengan sunyi. Di dalam hati berdoa agar Allah merahmati diri ini. Tak mengapalah jika tidak mendapat cinta manusia, Rahmat Allah itu lebih utama. Tanpa rahmatNya, mana mungkin teman kembali ke pangkal jalan. Dan inilah ketetapan Allah, ini adalah ujian yang Allah beri kepada teman. Moga-moga Allah beri petunjuk agar teman melalui jalan ini dengan redha Allah.

Banyak lagi dugaan dan ujian teman tempuh, tak mampu dinukilkan segalanya ketika ini. Teman akan kongsikannya sedikit demi sedikit. Bukan kerana apa, kerana Allah. Kerana ingin memberi semangat kepada pencari kebenaran agar hati mereka terus cekal. Hidup di dunia ini tidah lain hanyalah sehari, ia adalah firman Allah. Ingatlah ayat kedua dari surah al-Ankabut agar anda yang mencari kebenaran berasa tenang dan dapat menghadapi ujian Allah dengan tenang. Ianya telah tertulis bahawa ia kan jadi begini dan begini, oleh itu percayalah akan ketentuan Allah dan bersabarlah. Bersangka baiklah dengan Allah. Ia pesanan buat hati teman sendiri yang sedang bersedih.

Monday, 18 July 2011

Law Kaana Bainana

Catatan Terpencil -BERSIH 2.0-Nikmat yang Manakah Telah Kau Dustakan

Assalamualaikum wbt,

Teman bukan penyokong kerajaan. Teman juga bukan pembangkang. Mungkin anda mengatakan teman tak punya pendirian, bukan begitu, teman pencinta Islam, Islam itu maksudnya sejahtera, oleh itu teman cintakan keamanan. Teman ingin berkongsi tentang isu BERSIH 2.0 yang berlaku baru-baru ini, ia hanyalah suara nyamuk, tidak, bukan nyamuk, ia suara yang hampir tidak didengari, ia cuma pendapat peribadi.

1. Sebelum teman lupa, teman selitkan alamat url untuk sesiapa yang mencari dan cuba memahami maksud kebenaran, bacalah dan fikirlah. Bukankah Allah sering berfirman, tidakkah kamu berfikir? Ia adalah karya Ustaz Pahrol Juoi. http://genta-rasa.com/2011/07/10/melawan-arus/

2. Teman terbaca satu entri pelajar ipta yang agak masyhur di kota, beliau adalah salah seorang peserta demonstrasi BERSIH 2.0. Teman faham, beliau dan rakan-rakannya ingin berjuang, namun hayatilah makna perjuangan. Perjuangan adalah satu perkataan yang besar maknanya. Adik-adik yang masih belajar pastinya berdarah panas. Sifat si anak muda yang baru mendapat ilmu, mereka suka bertikam lidah dan menegakkan apa yang mereka sangka benar. Ia bagus dan satu sifat yang proaktif tetapi adik-adik, hari ini anda berjuang dengan keras, jika tertangkap dan dibuang universiti, apakah perjuangan tanpa segulung ijazah itu satu perjuangan yang menggembirakan ibu bapa, orang kampung, sanak saudara dan sesiapa sahaja yang mengenali anda? Menuntut ilmu itu hukumnya wajib, perjuangan itu perlu dikupas dari aspek yang lain. Kuasailah ilmu sebagai nadi perjuangan adik-adik, pastinya orang yang berilmu, suaranya lebih didengari dari orang yang belajar separuh jalan.


3. Perjuangan menuntut perubahan. Beriya-iya mereka laungkan tentang keadilan dan perubahan. Kata-kata reformasi dilaung di sana sini. Benar, manusia perlu berubah. Perubahan yang sepatutnya diperjuang adalah perubahan dari tidak baik kepada lebih baik. Allah berfirman yang maksudnya, Dia tidak akan mengubah sesuatu kaum melainkan diri individu itu sendiri. Mengapa Allah berfirman sebegitu? Teringat karya Ustaz Pahrol, ia adalah dialog antara 2 orang ulamak yang berbeza fahaman.

Tok Guru Saleh: Jangan kau libatkan Sagor sahaja. Tapi lihat dalam kumpulanmu. Mengapa belum tegak Islam yang kau cuba citakan itu?” Mencelah lagi ingatan itu dalam kepalanya.
Tok Guru Imran:Kami sibuk berjuang. Bukan masanya menadah kitab. Ini masanya senjata berkata-kata. Ini lebih fardu sekarang.
Tok Guru Saleh:Tapi kampung Lela terus mengatur hidup. Bagaimana pertanian, jual beli, pendidikan dan kenduri-kendara di sana? Sudah diatur secara Islam?
Tok Guru Imran:Kampung Lela, kampungku, kampung pejuang. Urusan hidup terpulang kepada diri masing-masing. Urusanku cuma memimpin gerakan bawah tanah bersenjata. Kuajar mereka ilmu perwira. Kudidik bermain senjata.
Tok Guru Saleh: Lalu kau salahkan Datuk Sagor kerana tidak menegakkan hukum Islam? Sedangkan dalam kumpulan kau sendiri hukum itu belum bertegak?

Nyata, kita seharusnya menegakkan perjuangan ke atas kelompok kecil kita dahulu. Kepada adik-adik yang sedang belajar, sudahkah islam tertegak di kolej-kolej kediaman adik-adik? Adakah surau-surau adik-adik sudah penuh dengan jemaah? Adakah adik-adik sudah memastikan solat 5 waktu dilaksanakan tepat pada waktunya tanpa meninggalkannya atau melewat-lewatkan waktu solat adik-adik? Sudahkah adik melakukan solat-solat sunat bagi memastikan adik berada dalam golongan hamba Allah yang soleh dan solehah? Sudahkah adik-adik mendidik keluarga sendiri sebagai mukmin yang sejati? Sudahkah adik-adik menegur adik beradik anda yang lalai? Sudahkah disedarkan orang-orang kampung adik agar menegakkan syiar Islam?

4. Masyarakat bergantung dengan generasi muda, pinjaman dan biasiswa diberi hasil dari duit-duit cukai rakyat. Keluarga bergantung harap dengan generasi ini dan negara ini mengharapkan mereka menjadi generasi berilmu yang bakal mengekalkan dan meningkatkan lagi keamanan negara. Ia tanggungjawab agar generasi hari ini menjadi generasi yang cemerlang dari segi pelajaran dan sahsiah. Jangan diikutkan darah muda, takut nanti binasa. Ia bukanlah bicara sang pengecut, tetapi ia adalah suara rakyat yang mengeluarkan cukai demi melihat generasi hidup aman dan mendapat pelajaran yang secukupnya. Perjuangan ini biarlah diambil alih oleh orang dewasa yang lebih berpengalaman. Kredibiliti ulamak-ulamak yang ada usah diperlekehkan. Mereka bukan calang-calang orang dan kita yang berilmu cetek ini tidak layak mempersoalkan ilmu mereka. Ya, kita tak boleh berdiam dengan ketidakadilan sesetengah pihak tetapi usah dipersoalkan golongan berilmu. Kita cuma perlu bercakap tentang apa yang perlu kita sumbangkan dan lakukan, bukan asik menuding jari mencari silap mana-mana pihak.

5. Nikmat Allah yang manakah anda dustai? Nikmat keamanan? Allah bertanya berkali-kali, nikmat manakah yang engkau telah dustai, masya-Allah. Hari ini kita bebas melakukan solat, kita boleh menghadiri kelas-kelas agama dan ceramah dengan sewenang-wenangnya. Kita bebas bergerak dan menghirup keamanan yang Palestin tak pernah kecapi. Usahlah didustai nikmat ini. Jangan sampai kita menjadi seperti kaum Saba', mereka hidup berpecah belah dan berbalah-balahan. Akhirnya Allah menurunkan bala dan negara yang dahulunya makmur akhirnya ditimpa bala sehingga tenggelam seluruh negeri kaum Saba'. Bukalah al-Quran dan perhatikanlah bait-bait surah tersebut:

(Maka kemakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu berkata: "Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah bandar dengan yang lain)", dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri; lalu Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka: buah mulut orang ramai, serta kami pecah belahkan mereka berkecai-kecai. Sesungguhnya kisah mereka yang tersebut mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur. (Saba' 34:19)

Ini hanya suara hati yang mungkin tak didengari dan tak dibaca. Tetapi nikmat yang manakah telah kau dustai?

Friday, 15 July 2011

Rahsia Ketenangan Yang Hakiki di Segmen Topik Jumaat oleh Ustaz Zul Ramli

Assalamualaikum, teman sisipkan nota ringkas daripada topik Jumaat yang teman dengar di radio IKIM. Ia hanya dalam bentuk butiran ringkas. Ia mungkin tak tersusun cantik, tetapi ini sahajalah yang termampu teman sisipkan.

Makanan jiwa-ketenangan.

Hidup senang dan hati yang tenang-matlamat manusia sejagat.

Nafsul Mutmainnah.

Untuk mencapai ketenangan mestilah membina keseimbangan dalam hidup.

Emosi berada di kemuncak sewaktu pagi hari.

Siapa yang boleh kawal diri sendiri, boleh mengawal dunia.

“Barangsiapa yang awal paginya sedih dengan urusan dunia, sesungguhnya dia sedang memarahi Tuhannya.”

Jangan sedih atas urusan dunia di awal pagi. Rangsanglah akal bawah sedar kita dengan rangsangan yang positif.

Bertasbih di awal pagi.

Ada orang yang datang kepada Nabi dengan masalah dunia di awal pagi, Nabi bertanya balik kenapa kamu tak bertasbih ketika malaikat semua sedang bertasbih dengan Allah?

Jangan berkelahi depan rezeki.

Jangkaan yang terlalu tinggi pada seseorang atau ahli keluarga tidak padan dengan keupayaan sebenar individu tersebut, lalu emosi terangsang dan melahirkan rasa yang negatif. Sepatutnya kita menjadi murabbi yang baik kepada ahli keluarga atau orang lain yang terdekat dengan kita.

Syukur adalah tapak kepada sifat-sifat mahmudah yang lain.

Syukur membuatkan kita tenang, tetapi jika kita tidak syukur, kita akan sentiasa rasa tidak puas hati.

Ada sejenis syaitan yang datang kepada orang yang ditimpa musibah. Yang membuatkan pandangan negative seseorang itu semakin besar. Jika kita kembali pada Allah, ia dapat membuka pandangan baik terhadap sesuatu yang berlaku dan dapat mengelakkan dari mempercayai bisikan syaitan sebegini.

Bersama dengan susah, ada kesenangan. Penggunaan perkataan ‘bersama’ bukan ‘selepas’ perlu diperhatikan. Jika kita ditimpa musibah, kita cuba memandang sesuatu masalah dengan pandangan syukur.

Marah adalah racun dalam pendidikan. Ia merosakkan!

Walaupun dalam Islam, memukul (menghukum) mestilah dilakukan bukan dalam keadaan marah.

Rasulullah SAW penuh dengan kasih sayang.

Seorang murabbi  melihat matlamat.

Nak ubah manusia memang sukar. Oleh itu jangan letak jangkaan yang tinggi. Ubah diri sendiri dahulu.

Kenapa ada kawan yang tak baik, dia adalah cerminan diri kita yang tak baik. Jadi jika kita tengok kawan kita tak betul, kita betulkan diri kita dahulu. Lihat iktibar pada kawan sekeliling sebagai kita sentiasa bermuhasabah.

Menangis kerana kebaikan adalah Rahmat besar dari Allah. Saidina Umar RA adalah manusia yang paling banyak menangis. Rasulullah SAW juga orang yang kuat menangis sewaktu bangun solat di waktu tengah malam. Tika datang keinsafan, mestilah tekun mencari ilmu kerana ilmu adalah pembuka kepada ibadah. Momentum keinsafan perlu dikekalkan dengan mencari ilmu dan memperbanyakkan amal. Kemudian carilah rakan yang baik. Jika tidak, keinsafan itu bersifat sementara. Amal dan istiqamah adalah penting. Air mata keinsafan adalah pendorong dan kemudian diri yang insaf perlu bangun dan melakukan perkara-perkara yang boleh mengekalkan keinsafan.

Tiada istilah terlewat di sisi Allah. Saat tersedar, teruslah memacu. Orang yang membunuh 100 orang pun diampunkan Allah apabila dia bertaubat apakan lagi kita manusia biasa.

Sesi Tazkirah Ringkas

Assalamualaikum wbt,

Nikmat yang manakah telah engkau dustakan. Astaghfirullahal'azim, teman adalah antara makhluq Allah yang sering mendustakan nikmat Allah. Termasuklah sekarang ini, sedang menaip entri di pejabat. Sebenarnya teman tiada banyak masa sewaktu dirumah, tetapi teman akan cuba kurangkan menggunakan waktu bekerja untuk memasukkan entri. Ia tidak menghalalkan cara walaupun niat di hati ingin berdakwah dan berkongsi pengalaman untuk dijadikan pedoman. Ya Allah, ampun dosa hambaMu, aku akan cuba untuk melaksanakan tugas-tugasku sebaik mungkin sewaktu di pejabat. Habis 5.30pm, teman akan terus pulang dan meluangkan masa untuk Allah dan sunnah-sunnah Rasul malah berdakwah melalui entri di blog juga akan teman cuba lakukan di rumah. Malangnya ketika di rumah, teman seolah-olah mati idea. Ianya segar di waktu pagi, namun dengan rahmat Allah, segala yang baik-baik akan dpermudahkanNya.

Teman ada aktiviti baru yang teman lakukan sejak 3 hari yang lalu. Teman dan sahabat teman akan memperuntukkan sedikit waktu, sekitar 30 minit untuk bertazkirah sesama kami setiap hari. Hari pertama, kami lakukan sebelum kami menyempurnakan solat Isyak berjemaah. Sesi setengah jam menjadi sejam. Hari kedua, kami lakukan di kedai makan ketika menunggu makanan sampai. Hari ketiga iaitu semalam berlaku di kedai makan lagi, sementara menunggu juadah berbuka, kami bertazkirah. Hari pertama, sahabat teman membuka topik "Mangumpat yang dibenarkan", hasil pembacaannya melalui majalah Solusi. Teman pula menceritakan mengenai bab pertama dalah Syarah Kitab Al-Hikam Ibnu Athaillah iaitu mengenai Rahmat Allah.  Hari kedua, sahabat teman bercerita tentang iman, dan teman melengkapi topik iman dengan lebih penerangan dari segi maksud dan cara mempraktikkan iman. Hari ketiga, teman pula yang memulakan tazkirah dengan menyentuh tentang "Mengingati Allah Setiap Masa", ia terilham daripada ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Kazim Ilyas. manakala sahabat teman memberi tazkirah ringkas tentang "Sabar", ia sangat ringkas kerana beliau bertindak balas dari kata-kata teman, "sampaikanlah walaupun satu ayat tentang kebaikan". Tak mengapalah, asalakan kami berdua mendapat manfaat dari aktiviti ringkas seperti ini. Semoga Allah merahmati kami dan menjadikan ia aktiviti yang istiqamah buat kami.

Tuesday, 12 July 2011

Corat Coret Hari Selasa

"Back on Track"
Teman umpama “back on track” dalam soal kerja. Dengan kuasa Allah, tiba-tiba teman dilantik mengepalai divisyen tertentu dan menjadi naib ketua untuk jabatan. Teman tak pasti apa yang berlaku, tetapi secara rasminya ia akan berkuatkuasa minggu depan. Padahal sebelum ini, terasa diri teraniaya apabila diketepikan dan dinyahfungsikan dari tugas-tugas harian di tempat kerja sehingga teman seperti tidak wujud di jabatan ini. Ianya kuasa Allah. Adakah ia nikmat atau ujian? Adakah ia hasil sunat Dhuha, jawapan doa “Ya Allah, berikanlah aku pekerjaan yang terbaik dengan kedudukan yang terbaik agar aku menjadi contoh orang Islam, dan ketika mereka melihatku, maka bertambah iman mereka dan berkurang nafsu keduniaan dan penyakit jiwaku”. Teman kurang pasti, tetapi apa yang pasti tanggungjawabnya sangat besar. Dan cabarannya adalah pengetahuan yang mendalam dalam bidang ini, teman tak pasti pengetahuan teman sudah cukup atau belum, ia seolah-olah masih jauh, Sesungguhnya aku hambaMu yang hina dan bodoh.

Sahabat Lama dan Jemputan Istimewa
Seorang teman lama, kami pernah sangat-sangat rapat. Tetapi ada sesuatu yang berlaku dan kami akhirnya terpisah kerana sedikit persengketaan. Hari ini beliau datang kembali atas urusan kerja. Dengan tawaran nikmat dunia yang menarik. Atas urusan kerja, pihak syarikatnya memberi jemputan rasmi untuk teman. Ia adalah satu jemputan untuk majlis bertema karpet merah, bakal dijemput dengan ‘7 series’, dan dibawa ke sebuah majlis terkemuka di kota Singa dan dijamu dengan makanan mewah hidangan Chef terkemuka dunia. Teman tak pernah terfikir semua itu. Perkara peliknya, sahabat lama ini datang kembali dalam hidup teman, tetapi datang bersama ujian nikmat yang tak pernah terfikir dek akal teman. Singapura, majlis mewah, dijemput dengan kereta mewah, wah…di manakah tempat untuk bersolat nanti? Adakah peluang dan ruang masa diperuntukkan untuk solat? Halalkah hidangan itu nanti? Adakah hidangan mewah terhidang bersama arak-arak termahal dunia? Teman kira, ia satu jemputan yang hebat yang tak sesuai dengan teman. Teman kira, menolak dengan baik, lantas menyambung kembali hubungan yang pernah retak, itu lebih bermakna. Jemputan yang hebat, tetapi syurga Allah lebih mewah dan indah.

Diam tetapi Berharga
Seorang kawan sekerja di pejabat teman, dia pendiam, tak banyak cakap, seorang yang dingin, mempunyai minat yang keanak-anakan tetapi pengetahuan dan mindanya sangat luar biasa. Dahulu, ketika teman ‘jahil’, teman ingat, teman adalah orang yang sangat bijak dan komunikasi adalah kemahiran teman yang tak dapat disangkal lagi. Apabila mengendalikan mesyuarat atau perjumpaan dengan pihak-pihak tertentu, teman petah berbicara. Teman akan melontarkan idea-idea yang teman anggap luar biasa dan mampu membuat mereka menutup mulut dan hanya mendengar apa yang teman katakan. Tetapi zaman jahiliyah itu berlalu, harap-harapnya berlalu pergi dan takkan kembali. Kini, rakan sepejabat teman yang pendiam dan kurang petah bercakap itu mengendalikan sebuah mensyuarat hari ini dan teman perlu hadir untuk mengikuti rapat isu yang sedang berlaku. Teman kagum. Dia tak banyak berbicara namun setiap butir perkataannya, sangat mengagumkan. Hasil dari kendaliannya yang hanay mengeluarkan beberapa ayat yang sangat-sangat penting, mesyuarat itu berakhir dengan sangat berjaya. Beliau mampu menyelesaikan pertikaian beberapa pihak tentang isu yang dikemukakan. Dia sangat luar biasa. Teman terasa sangat hina. Nyata, manusia tidak perlu merasa dirinya lebih kerana sejauh mana kita menguasai sesuatu, kita ternyata bodoh tentang hal yang lain pula. Pengajarannya dan ia adalah apa yang dianjurkan agama, lebih baik diam dari banyak berkata-kata. Biarlah apa yang keluar dari mulut kita adalah perkara-perkara yang perlu dan penting sahaja. Dan tuntutlah ilmu dan janganlah berasa riak dengan ilmu yang kita ada.