Wednesday, 3 July 2013

Pagi Untuk Disyukuri

Salam maya untuk lembaran sepi..

Pagi ini teman buka laman Facebook, terbaca status seorang teman lama dari sekolah asrama teman dahulu. Status tentang kesyukuran pada Ilahi. Tentang bagaimana kesusahan yang kita alami, tetapi kita perlu menyedari hakikat bahawa ada yang tika kita bernafas segar di pagi hari, ada yang sedang berjuang untuk bernafas dan hidup selesa seperti kita. Ia adalah status biasa berunsur motivasi yang biasa kita lihat di Twitter, Facebook, Instagran dan di mana-mana sahaja laman sosial. Tetapi status yang biasa-biasa ini memberi impak yang besar kepada sesiapa yang membacanya. Kerana pada ketika teman membaca status itu, teman mula mengingatkan diri untuk bersyukur dan menanam semangat yang kian luntur ini. Teman mula membuang jauh-jauh dari melihat nasib diri dengan pandangan yang lemah. Teman mula mengatur kembali pola pemikiran untuk menjadi lebih bersyulur dan positif tentang hidup.

Beberapa waktu kemudia, seorang lagi teman lama dari sekolah yang sama mula memberi refleksi pada statusnya. Seolah-olah menyahut nasihat kawan yang mula-mula mengeluarkan status yang 'biasa-biasa' itu tadi. Beliau seolah-olah kembali bersemangat dan mengungkapkan rasa syukur dengan kalimah suci alhamdulillah. Rupanya pemikiran kami disatukan dengan status yang biasa-biasa itu.

Selang sejam, seorang kawan lama yang kelihatan agak murung sejak akhir-akhir ini melalui status-statusnya di Facebook, mengeluarkan status yang juga refleksi dari status biasa-biasa itu. Nampaknya, teman yang sedang dilanda masalah ini seolah-olah nampak cahaya, dan seolah-olah tersedar dari mimpi ngeri. Akhirnya teman yang bermasalah ini mula menanam semangat untuk mensyukuri kehidupan ini dan mula memahami bahawa dirinya masih lebih baik dari manusia lain. Itulah impak status biasa-biasa ini.

Akhirnya teman menyedari, sesuatu yang disampaikan dengan positif, ikhlas dan jujur, walaupun pada dasar dan kebiasaan adalah satu penyampaian yang stereotaip, tetapi dengan suntikan ikhlas dan jujur itu membuatkan status biasa-biasa ini memberi impak yang luar biasa kepada pembacanya. Patutlah Allah hanya menerima amalan yang ikhlas kerana ikhlas adalah sesuati yang mahal dan eksklusif.

Terima kasih kak intan dengan status anda...

Sudah lama..

Salam...pada diari..diari kepada pemilik yang tak bernama. Sengaja tampil tak bernama, agar luahan hati dapat diluah sejujurnya.

Maaf pada lembaran usang ini. Teman hanyut terlalu lama. Nikmat sebagai sang hamba yang tiada lain di hati melainkan Penciptanya, telah lama hilang entah kemana. Ramadhan bakal hadir tak lama lagi, namun masih belum ku jemput sang hamba yang berjiwa tulus pada Pencipta. Adakah nikmat yang Sang Pencipta beri telah melalaikan hati sang hamba?

Segalanya telah jadi nyata. Akhirnya teman bertemu dengan kerjaya idaman. Mencapai tahap kemuncak dalam hidup dan mencapai segala yang diimpikan. Tapi mengapa teman tersungkur takbur di hadapan Tuhan. Mengapa tiada lagi nikmat cinta pada Sang Kekasih. Apakah bezanya teman dengan sang munafik?

Ya Allah, bulan mulia Mu bakal menjelma. Tolonglah ya Allah, bersaksilan lembaran sepi ini, ku mohon petunjuk dan hidayah. Bawa aku kembali ke pangkuanMu. Sirami hati gersangku dengan Rahmat dan kasih sayangMu. Aku benar-benar memerlukanMu. Hadirlah dan dakaplah aku dalam RahmatMu. Jadikanlah aku hambaMu yang bersyukur dengan segala apa yang telah Engkau berikan kepadaku.

Tuesday, 6 November 2012

Sebelum Mata Terlena

Assalamualaikum wbt,

Inilah waktu tidur teman. Pukul 10 malam mungkin terlalu muda bagi sesetengah orang. Tapi bagi teman, cukup lewat bagi sesiapa yang berniat bangun di tengah malam mencari redha Ilahi. Tidur bukan nikmat yang dinikmati begitu saja. Ia adalah ibadah bagi mereka yang menghayati agamanya. Tidur yang  berwudhuk, dihiasi ayat-ayat al-Quran dan secebis doa yang diajar Nabi S.A.W. pasti ia tidak sama dengan tidur orang yang tidak mengerti. Allah S.W.T sering bertanya di dalam al-Quran, samakah orang yang tahu dengan mereka yang tidak mengerti? Sama sekali tidak. Orang yang mencari redha Allah sering menjadikan waktu sebelum tidur sebagai waktu untuk bermuhasabah. Melihat kembali cacat cela kita mengharungi hari itu, lantas memohon ampun dari Yang Maha Pengampun.
Oleh itu, sebelum tidur, lakukan apa yang disunnahkan kekasih kita Rasulullah SAW. Semoga kita tergolong dalam hamba-hamba pilihan Allah SWT.

Mari Bekerja Untuk Allah...

Assalamualaikum,
Setelah sekian lama, teman singgah sebentar di blog teman yang sudah bersawang ini. Apa khabar kepada "unknowm readers". Teman sepatutnya sudah memulakan tugas-tugas teman di tempat kerja. Kerja bermula 8.30 pagi, sekarang   jam menunjukkan 8.38 pagi. Nampaknya, teman tidak amanah untuk meluangkan masa 10-15 minit dengan menulis di ruang blog teman ini. Apa-apapun, teman akan gantikan 15 minit ini sewaktu rehat ataupun selepas 5.30 petang nanti sebagai mencari keberkatan dan berlaku   amanah di tempat kerja.

Teman ingin menulis kerana merasakan semangat bekerja yang menurun sejak semalam. Jadi teman ingin kongsikan rasa ini. Teman ingin menanam keazaman di alam maya ini bahawa hari ini teman perlu:

1. Bekerja dengan penuh semangat dan amanah supaya pekerjaan ini menjadi ibadah yang ikhlas di sisi Allah SWT.
2. Teman perlu membahagiakan orang lain supaya Allah bahagiakan teman.
3. Teman perlu menjaga akhlaq supaya teman dipandang Allah.
4. Teman perlu merasa gembira dan bahagia kerana rasa gembira itu adalah tanda syukur hamba Allah terhadap Rabul Alamin.
5. Teman mesti banyak ingat Allah walaupun dalam kesibukan bekerja.
6. Teman perlu melakukan yang terbaik dalam tugas teman agar orang Islam menjadi hebat dan maju.
7. Teman perlu menjaga lidah dan segala pancaindera kurniaan Allah.

Baiklah, selamat melakukan ibadah kerja dengan ikhlas Lillahi Taala.

Saturday, 2 June 2012

Sendirian..

Assalamualaikum wbt...

Sudah sekian lama teman tidak menulis. Berbulan-bulan lamanya. Padahal blog ini adalah dibina atas niat menjadikannya medan dakwah teman. Teman akui, semangat dakwah kian luntur kerana kualiti iman yg tak seberapa. Teman sendiri sibuk mendaki gunung iman yang bagi teman sangat mencabar. Dahulu teman fikir, teman sudah dapat bertapak selesa di satu tahap dalam soal keimanan teman, tetapi benarlah yang dikatakan Rasulullah SAW bahawa iman ini ada pasang surutnya, dan nipisnya iman digambarkan seperti senipis kulit bawang. Jika tidak dibajai dan disuburi dengan amalan dan ibadah yang ikhlas, maka jatuh tersungkurlah seorang mukmin atau mukminah tersebut, seperti yang berlaku terhadap diri teman sendiri.

Hari ini hari Sabtu. Dahulu rumah ini ceria dengan adanya sahabat baik teman yang teman anggap seperti adik, malah teman menyayanginya seperti nyawa. Kami bagaikan belangkas, ke sana ke mari bersama. Keluarganya menjadi keluarga teman, begitu juga dengannya. Kami boleh dikatakan terlalu rapat, tinggal berdua di rumah 1 tingkat setengah ini, kami hanya ada satu sama lain sahaja, walaupun teman punya ramai kawan, tetapi lebih selesa bila berdampingan dengan sahabat teman ini. Sekarang, rumah ini sepi sejak sahabat teman mendirikan rumah tangga sebulan yang lepas. Dan hari ini teman sendirian di rumah, tiada lagi teman berbual dan bergurau senda. Inilah hakikat bahawa Allah telah mentakdirkan kehidupan masing-masing. Walaupun sedih dengan perubahan hidup, tetapi inilah lembaran buku takdir yang telah lama tertulis dan tersimpan rapi di Luh Mahfuz Allah.

Sejak sahabat teman berkahwin, tiada lagi teman makan malam, sarapan atau makan di hujung minggu. Selera teman sudah berkurangan dan teman ambil kesempatan untuk mengurangkan berat badan teman. Alhamdulillah,     dalam tempoh sebulan, teman kira sudah 5 kilogram berkurang. Ia atas izin Allah. Teman perlu menurunkan hampir 20 kilogram lagi untuk mencapai berat ideal bagi tubuh yang rendah seperti teman. Ia bukan satu yang mustahil atas izin Allah. Dan perlulah teman niatkan semua ini adalah semata untuk mencari keredhaan Allah, menjaga nikmat tubuh yang Allah beri, dan menggunakan tubuh yang sihat untuk beribadah padaNya. Itulah yang perlu diniatkan bagi sesiapa sahaja yang berusaha menurunkan atau cuba mencapai berat ideal. Ia bukan untuk kecantikan dan untuk tubuh ini ditayang dan dibanggakan, tetapi tubuh ini tugasnya adalah untuk beribadah kepada Allah. Barang yang dipinjam dalam keadaan yang baik, perlu dipulangkan dengan keadaan yang baik juga. Begitu jugalah dengan tubuh yang dipinjamkan Allah, bukan untuk kita sebagai hamba memperlakukan tubuh ini sesuka hati dan berlebih-lebihan dalam mengambil makanan dan minuman, tetapi tubuh ini perlu dijaga sebaiknya kerana ia pinjaman Allah kepada hamba-hambaNya untuk melaksanakan tugas kita sebagai hamba Allah.

Duduk berehat selepas solat di ruang membaca di bilik teman, terpandang rak buku teman, di atasnya tersusun buku-buku kegemaran teman. Teringat kata-kata Dr. Muhaya, jika mahu melihat siapa seseorang itu, lihatlah apa yang dia baca. Mungkin ada benarnya. Tersusunnya kitab-kitab agama dan motivasi di dalam bilik teman bukanlah bermakna teman seorang alim ulama atau orang yang pandai agama, tetapi bagi teman, buku-buku itu adalah panduan apabila teman rasa tersasar dari landasan. Buku yang paling teman suka adalah kitab Al-Hikam Ibnu Athaillah yang disyarah semula oleh Ustaz Dr. Zulkifli al-Bakry. Teman gemarkan ilmu tasawuf, kerana ia adalah buku yang menanamkan tauhid di hati teman dan ada tazkiyatun nafs, iaitu penyucian diri atau hati.  Ini kerana hati teman kotor, diri teman penuh dosa, kerana itulah buku penyucian diri ini menjadi buku kegemaran teman kerana teman memerlukan rujukan dan panduan untuk sentiasa berusaha menyucikan diri. Sekali lagi, bukanlah dengan tersusunnya kitab ini di rak teman, teman adalah seorang manusia yang baik, tetapi kerana merasakan diri ini tidak baiklah, maka buku-buku seperti itu tersusun di rak ini.

Ada sesuatu yang teman ingin bermujahadah. Banyak yang perlu diubah pada diri teman. Tetapi ada yang satu ini menjadi fokus utama teman, iaitu bermujahadah menjauhi dosa ghibah dan fitnah, supaya terhindar dari melakukannya malah mendengarnya, apakan lagi bersubahat dengannya. Ia sangat sukar kerana persekitarannya begitu, jadi teman perlu berusaha menentang sifat mazmumah ini di tengah-tengah persekitaran yang mencabar itu. Semoga Allah membantu teman.

Baiklah, selamat berhujung minggu. Kepada yang masih bujang seperti teman, jadikan hujung minggu adalah waktu untuk menambah ilmu dan iman. Sekian dahulu, wassalamualaikum.

Saturday, 18 February 2012

Surah Fatir 35:15

Surah Fatir 35:15 "Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah; dan Allah Dialah Yang MahaKaya (tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji".

Terharu dan sedih membaca ayat Allah di atas...bercucuran airmata mengalir. Tika hati sedih dan sunyi memikirkan masalah yang melanda, tersentak dengan teguran Allah melalui ayat ini. Mengapa hati manusia mencintai makhluk ciptaan Allah melebihi Pencipta makhluk itu sendiri? Sedangkan kasih sayang Allah sangat besar dan luas, nikmat yang diberi terlalu banyak dan tidak putus....jadi mengapa hati mengharap dan mengasihi manusia yang hanya pernah memberi sekelumit kasih yang tiada nilai itu? Mengapa kasih terhadap manusia sampai membuat kita dambakan belaiannya...sedangkan Allah memberi segalanya, mengapa sukar untuk mengucup al-Quran sekalipun? Entah kenapa, terasa nikmat pula teman cium dan memeluk al-Quran selepas terbaca ayat ini...satu perasaan rindu yang sudah lama teman dambakan...rindu Ilahi...ya inilah perasaannya yang teman dambakan...sudah lama...sudah sekian lama airmata ini tidak jatuh kerana Allah...harap-harapnya ia benar-benar jatuh keranaNya, bukan kerana masalah yang melanda...

Thursday, 16 February 2012

Buat Hati Yang Resah

Manusia akan terus dihampakan manusia…yang tidak menghampakan hanyalah Allah. Jika malamnya, sang manusia mengalami satu gejolak perasaan sedih kerana tertipu oleh insan yang disayanginya, paginya sang manusia bangun dengan hati yang masih berbekam sedih dan sendu dikecewakan insan yang disayanginya, tetapi kasih sayang Allah mengatasi segalanya. Dalam sendu sang manusia, masih boleh bangun di Subuh hari, menikmati nikmat berpagi-pagian, menikmati nikmat Islam, masih boleh mengerjakan solat dan membaca ayat-ayat suci Al-Quranul Karim, masih boleh menggerakkan tubuh untuk bersiap ke tempat kerja, punya rumah yang selesa, masih berkenderaan, masih punya kerja sebagai sumber rezeki dan masih boleh menjamah sarapan walaupun dalam sendu dikecewakan manusia. Allah tak pernah menghampakan hambaNya, yang menghampakan manusia adalah manusia, tetapi Allah sama sekali tidak! Masih diberi nikmat dan rezeki yang tak putus-putus, walau sang hamba sedang diuji dengan dugaan berat.

Wahai hati, tidakkah kau melihat betapa baiknya Allah terhadapmu? Mengapa hatimu masih mengharap kepada yang lemah? Kenapa tatkala si dia mengecewakanmu, engkau masih memikirkan andai ada insan lain boleh kau temui untuk menghilang resahmu? Sedangkan Allah sebenarnya memberi isyarat bahawa tempat mengadu itu hanya padaNya. Mampukah manusia yang menjadi tempat engkau menghilangkan resah benar-benar mampu menghilangkan resahmu? Buat sementara, mungkin ya….atau mungkin tidak sama sekali. Tetapi Allah tetap menghidangkanmu dengan pelbagai nikmat dan kasih sayangNya, tidak putus-putus. Bukankah hembusan nafasmu itu adalah nikmat terbesar dari Tuhanmu? Tatkala airmatamu mengalir di pipi, bukankah kau masih bernafas tika itu? Allah sayang padamu, duhai hati.

Apalah yang ada pada manusia yang lemah dan hina sehingga kau mendambakan kasih sayang makhluk lemah itu. Bukan sahaja dia lemah, malah dia juga yang memberi kau kelukaan demi kelukaan. Mengapa masih hatimu mendambakan dia. Allah punya segalanya, mengapa tidak kau cari Allah sahaja.

Duhai hati, Allah beri cara untuk kau atasi segala rasa itu….sabar dan solat. Maka belajarlah untuk bersabar. Sabar bukan hanya pada menahan kemarahan, tetapi sabar dalam bermujahadah melawan nafsumu itu. Dan solat bukan bermakna hanya melepaskan tugasmu sebagai hamba, malah solat itu perlu dilakukan dengan penuh rasa cinta terhadap Penciptamu. Maka hayatilah sabar dan solat, maka hatimu akan terubat. Jika kau kejar akhirat, maka dunia akan menjadi milikmu. Tetapi jika kau kejar dunia, maka akhirat akan jauh meninggalkanmu, neraka jua tempat kembalimu jika dunia yang kau dambakan.

Wednesday, 15 February 2012

Mencari Jalan Pulang

Assalamualaikum wbt…

Lamanya tak menulis di ruangan ini. Walaupun blog ini bukan blog popular tetapi blog ini adalah diari teman, dan kadangkala, bagi insane kerdil seperti teman, blog ini merupakan medan dakwah dari pendakwah yang tidak dikenali. Terbaca salah satu artikel yang teman baca hari ini, sesuatu yang dilakukan kerana Allah pasti berkekalan dan jika ada ia dilakukan atas sebab yg sebaliknya, maka ia akan hilang dan tidak kekal. Teman harap, blog ini terus kekal sesuci niat ia dibina.

Sebenarnya, ada sebab mengapa blog ini mendiamkan diri. Oleh kerana niat blog ini diadakan bagi meraikan insan kerdil yang sentiasa berpaksikan agama, maka senyapnya blog ini bermakna insane kerdil itu sudah tergelincir dari landasannya. Ya, teman tergelincir lagi dalam kehidupan yang tidak kekal ini. Dunia hanya tipuan semata, dan teman telah tertipu dengan dunia dan seisinya. Teman hanyut dengan nafsu, terjebak dengan maksiat dan hilang kesedaran sebagai hamba Allah. Bunga-bunga akan hanyut bermula dari awal November 2011, semakin hanyut di pertengahan dan menjelang Disember 2011 teman terus hanyut dan lemas. Awal Januari 2012 teman mulakan tahun masihi dengan penuh noda dan dosa. Pertengahan Januari 2012, akhirnya Allah menghadiahkan satu tamparan hebat agar diri yg hanyut ini tersentak, dikurniakan kejatuhan, kekecewaan dan musibah sehingga diri ini terasa di tarik oleh Sang Pencipta. Mujurlah musibah yang datang berlaku sangat pantas, Allah tidak membiarkan teman hanyut lama. Bermula dari pertengahan Januari 2012, teman kembali ke tikar sejadah dengan penuh pengharapan buat Ar-Rahim agar Dia memberi Hidayah yang sekian waktunya dirasakan malap dan suram. Bermohon setiap hari agar Allah mengampunkan dosa yang menggunung tinggi, memohon agar Allah bantu dalam menjadi hambaNya yang taat dan memenuhi tuntutanNya, memohon perlindungan agar dijauhkan dari kesesatan, maksiat dan kemungkaran dan memohon sesungguh-sungguhnya agar Allah tidak melepaskan teman kepada diri teman sendiri walaupun sekelip mata.

Kini teman masih berjuang, membuang penyakit hati yang cintakan dunia ini dari bersarang terus di hati. Ia satu mujahadah yang perit, menentang nafsu yang penuh keseronokan, ia amat perit. Kepada sesiapa yang terbaca entri kali ini, doakan teman agar sentiasa berada di jalanNya.

Friday, 21 October 2011

Jodoh

Hari ini, teman memikirkan soal jodoh. Dalam perjalanan ke tempat kerja, sempat lagi memikirkan tentang itu. Ikutkan hati mahu saja teman meminang seseorang sebagaimana Siti Khadijah meminang Rasulullah SAW. Syarat teman mudah, teman tak minta duit hantaran atau mahar yg tinggi, ia hanya sekadarnya sahaja, teman ingin beliau meniatkan perkahwinan itu semata-mata kerana Allah. Teman mahu beliau bersolat jemaah di masjid atau di surau pada setiap waktu terutama Subuh, Maghrib dan Isyak, jika tak berkesempatan, beliau mengimamkan teman di rumah. Teman sudah ada segalanya, dan beliau boleh tinggal sahaja di rumah teman dan tak perlu membeli apa-apa keperluan rumah lagi, kerana segalanya sudah lengkap. Teman cuma mahu beliau menyediakan keperluan asas iaitu membayar duit sewa rumah. Yang lain-lain, tak mengapa jika beliau tak mampu. Teman mahu beliau berusaha mencari nafkah, jika tak standing dengan pendapatan teman, itu tak mengapa, hanya usaha sahaja yang penting agar dia menunjukkan kesungguhannya. Teman tak perlukan lebih dari itu, hanya sekadar beliau bayar sewa rumah, berusaha memajukan diri dan mencari rezeki, dan mentaati Allah dengan sebenar-benar taat. Usah difikirkan wang hantaran yang mencecah lebih RM5000, usah difikirkan terpaksa menanggung kos majlis perkahwinan yang besar kerana teman tak harap semua itu, usah difikirkan belanja-belanja lain kecuali duit sewa rumah dan usah difikirkan tentang kelengkapan hidup seperti perabot rumah, belanja dapur dan kenderaan. Setakat mana yang beliau mampu, cukuplah itu sahaja. Jika Allah beri rezeki lebih, barulah beliau fikirkan tentang tanggungan-tanggungan lain yang perlu diberi kepada seorang isteri. Ketaatannya pada Allah mesti menjadi syarat yang paling utama. Jika beliau menjaga agamanya, insya-Allah, Allah pasti menjaga urusannya.

Ada seseorang yang terfikir dibenak teman. Teman berdoa semoga jika ada jodoh teman dengannya, inilah syarat-syaratnya seperti yang teman nyatakan sebentar tadi.

Wednesday, 12 October 2011

Islam Itu Indah (Dr.Muhaya) - Kebaikan Dalam Kehidupan

Pengenalan:

-Kita semua pasti akan jadi jenazah suatu hari nanti. Bagaimanakah keadaan jenazah kita pada waktu itu ada persoalan yang sepatutnya berlegar di fikiran. Jika kita tak meletakkan matlamat ‘Husnul Khatimah’, tiada gunanya.

-Gembirakan orang yang bertemu dengan kita hari ini.

-Perhatikan apa yang kita lakukan hari-hari.

-Kalau pagi-pagi kita dah pasang niat yang baik, kita sedang menuju Allah untuk keseluruhan hari.

-Jangan mencari kesalahan orang lain, fikirkan kesalahan diri sendiri. Kalau kita sentiasa lihat kesalahan dan kelemahan orang lain, maknanya di dalam diri kita penuh dengan perkara yang tidak baik.

-Bila kita pandang orang lain, kita mesti lihat diri dia lebih baik dari kita.

-6 ciri orang yang dicintai Allah dan mencintai Allah:

1. Tawadhuk dengan orang yang mukmin. Seseorang tidak masuk syurga jika tidak mencintai orang yang beriman.

2. Keras pada orang kafir. Bukan berkasar namun bertegas.

3. Tidak takut celaan orang dalam melakukan perbuatan dan kebaikan.

4. Sentiasa kekal melakukan perkara yang sunnah, contohnya solat, puasa, sedekah etc.

5. Jihad di jalan Allah. (menjadi hamba Allah, menjadi khalifah di bumi dan mengimarahkan bumi dengan hukum Allah)

6. Banyak membaca surah al-Ikhlas.

 

Soalan 1:

Amalan Asabiyyah.

Jadi manusia dahulu. Asabiyyah adalah sifat kekitaan. Allah sayangkan orang yang bertaubat. Kita sepatutnya tengok manusia sebagai makhluq Allah. Sempadan negara adalah ciptaan manusia. Tetapi kita ada undang-undang untuk mendisiplinkan kita. Yang penting tahap kesedaran bahawa kita adalah satu sel yang dipanggil kemanusiaan dan akan kembali kepada Allah.

 

Soalan 2:

Tentang isu fitnah. Bagaimana nak mengurangkan isu fitnah.

Ada manusia berubah kerana manusia lain. Jangan pertikaikan orang lain, carilah kesalahan diri sendiri. Mulai dengan diri sendiri, mulai dari sekarang dan mulakan dari perkara yang kecil.

 

Soalan 3:

Bagaimana menghadapi ujian

Kalau kita tak ada persepsi, tiada masalah kerana persepsi tersebut yang beri masalah. Allah Maha Mengetahui, apabila Allah beri ujian, kita tanya soalan pada diri sendiri, mengapakah ini semua berlaku dan bagaimana sistem kepercayaan yang meletakkan persepsi pada masalah ini. Cubalah bermurah hati dengan membantu keluarga sendiri.

 

Soalan 4:

Bila melakukan kebaikan, rasa bahagia, tetapi lama kelamaan mula rasa diperbodohkan.

Kalau buat baik kerana Allah, bukan kerana penghargaan manusia. Jika kita lakukan kerana Allah, kita akan ikhlas dan takkan merasa diri diperbodohkan.

 

Soalan 5:

Anak lelaki banyak hutang. Ibu bayarkan hutang.

Anak lelaki perlu ditegur. Sikap berhutang bergantung dengan program dirinya. Berbincang dengan anak dan minta anak betulkan hubungan dengan Allah.

 

Soalan 6:

Bolehkah buat Lasik kalau kornea tipis.

Boleh.

 

Soalan 7:

Hutang arwah bapa. Petua murah rezeki adalah doakan ibu bapa.

Selesaikan bersama adik beradik lain, jumpa AKPK atau pihak tertentu.

 

Soalan 8:

Wajarkah kita 100% bersangka baik pada akhir zaman ini.

Pertama, kita mesti bersangka baik dengan Allah. Kalau dengan manusia, sangka baik dengan bijaksana dan berhati-hati.

 

Soalan 9:

Jika mata ada habuk.

Flotus, gelemaca yang jernih hilang kejernihan. Ia tidak bahaya.

 

Soalan 10:

Bagaimana nak tetapkan hati untuk menahan celaan manusia di jalan dakwah.

Kita tengok mengapa orang jauhkan diri dari kita. Fokus pada dengan siapa kita berdakwah. Orang tak kasih pada kita kalau kita tak kasih pada dia. Allah tak kasihkan kita jika kita tak kasihkan manusia lain. Janggan sekali-kali kita rasa kita lebih daripada orang. Jika kita dicela, tak mengapa. Kalau kita bebas dari penghargaan manusia dan hanya mencari redha Allah, kita adalah manusia yang paling bebas di muka bumi ini.

 

Soalan 11:

Bagaimana berhadapan orang yang takut mati tapi tak beramal.

Orang yang takut mati adalah orang yang tak bersedia menghadapi mati. Kita mati bukan kerana sakit, tetapi kerana ajal. Sakit hanya sebab. Bayangkan jenazah diri sendiri dan kumpullah kebaikan untuk bekalan sebagai bakal jenazah.

 

Soalan 12:

Orang yang mudah tersinggung dan mudah bosan.

Orang yang mudah tersinggung adalah orang yang sentiasa memikirkan apa orang kata. Fikirkan bahawa hidup ini untuk Allah atau untuk manusia. Katakan pada diri, Ya Ilahi, Kau yang ku tuju, redhaMu yang kucari, kurniakanlah aku petunjukMu.

 

Soalan 13:

Bagaimana nak mengatasi orang yang tak ambil peduli orang lain dan hanya memikirkan semua orang baik.

Bagus orang sebegini. Orang sebegini memang hampir dengan Allah. Kenapa manusia mengumpa adalah kerana dirinya sendiri memiliki kekurangan tersebut.

 

Soalan 14:

Isteri sentiasa berfikiran negatif.

90% manusia berfikiran negatif (mengikut kajian). Orang yang pandai adalah orang yang pandai memilih pemikirannya. Orang yang berfikiran negatif dipanggil “monkey mind”. Kalau kita suka tengok berita buruk, cerita negatif, maknanya tenaga diri kita adalah tenaga negatif. Ruh lebih kuat dari fizikal. Jika tak jaga keruhanian, fizikal akan negatif. Orang yang ingat akhirat akan positif.

 

Soalan 15:

Bagaimana nak pupuk hati supaya tak terlalu sensitif dengan suami.

Kalau kita hanya memerlukan kasih sayang suami, kita hanya memerlukan makanan emosi. Kalau kita bersandar pada Allah, itulah makanan ruhani. Allah Maha Kekal, jadi sandarkan kasih sayang pada Allah. Terimalah kelemahan orang lain.

 

Soalan 16:

Semakain pakai cermin mata, semakin rabun.

Kadangkala “power” mata 200 tetapi optometris beri cermin mata yang “power” 400. Sila jumpa optometris yang baik.

 

Soalan 17:

Kadangkala diri tak sabar.

Kita pilih hidup untuk kebaikan atau tak baik. Fokus pada kesedaran hidup bertuhan. Menerima manusia seadanya. Cara nak bahagia adalah cari kasih Allah dan bahagiakan orang lain.

 

Soalan 18:

Jangan tunggu kesempurnaan untuk membuat kebaikan.

Dalam satu perkara, kita mahukan kesempurnaan tetapi perkara-perkara yang kecil kita perlu juga berusaha kearah kesempurnaan. Kita tak mampu sempurna kerana yang sempurna itu Allah. Tapi usaha kearah kesempurnaan itu perlu.

 

Soalan 19:

Suami yang curang.

Komunikasi itu penting. Selalunya lepas bergaduh selalunya kasih sayang bertambah kerana ada komunikasi dan berterus terang. Percaya bahawa apa yang Allah beri adalah satu pengajaran dari Allah. Bila berlaku sesuatu ujian, tanyakan pada diri, di manakah kekurangan kita. Cuba tulis surat atau cakap dengan suami agar suami berterus terang dan cuba berkomunikasi dengan suami. Cuba pandang suami dengan penuh penghargaan dan kasih sayang. Maniskan mulut dan lembut dalam menegur seseorang. Tambat balik hati suami. Jika marah-marah, itu hanya menjauhkan suami dari diri kita. Jaga hubungan dengan Allah. Fokuskan pada akhirat.

 

Kesimpulan:

Ikhlaskan hati, sembunyikan kebaikan kita sebagaimana kita menyembunyikan kesalahan kita. Jangan hidup berpuak-puak. Sebarkan kebaikan.

Wednesday, 5 October 2011

Islam Itu Indah di Radio IKIM 5 oktober 2011 -Jenis-Jenis Orang Dalam Kehidupan

Jenis-Jenis Orang Dalam Kehidupan (DJ: Puan Fairuz, Speaker: Dr. Muhaya)

 

Pengenalan:

Manusia berbeza-beza tahap (conrohnya: kesihatan, kewangan etc.), tapi manusia terbahagia pada manusia import dan manusia export. Tetapi yang lebih beruntung adalah manusia export iaitu orang yang sentiasa memberi. Hubungan tidak seimbang jika manusia hanya mahu menerima. Manusia yang paling bahagia adalah orang yang bahagia apabila melihat orang bahagia. Orang yang senang tertekan apabila di dalam hati ada dengki dan sentiasa mahu menerima (import). Dari segi kasih sayang juga begitu. Kalau kita nak kasih sayang, kita beri kasih sayang dulu. Sebagai pekerja, kalau manusia import sentiasa memikirkan imbuhan. Tetapi manusia export sentiasa memikirkan apakah sumbangan yang boleh diberikannya. Sebagai tetamu, budaya memberi hadiah perlu diamalkan. Ia adalah amalan penambat hati. Tuan rumah juga perlu memberi kepada tetamu. Orang yang mempunyai mentaliti kekurangan adalah manusia import. Manusia import selalunya tak bahagia. Keselamatan dan keyakinan bukan pada luaran, tetapi letak dalam diri manusia. Siapa yang takut pada Allah tak takut pada sesiapa. Orang yang tak takut akan terus memberi, tak takut kekurangan atau apa pun. Sentiasa menanamkan di minda samada diri mahukan redha Allah atau penghargaan manusia. Kalau nak tengok seseorang itu tengok dia berkata yang positif atau negatif. Kalau manusia yang sentiasa bercerita tentang masalah, dirinya ada banyak masalah dan banyak penyakit. Jadilah seperti cahaya matahari, bila jumpa seseorang, buatkan orang itu rasa gembira tentang dirinya. Fikirkah tentang apakah mesej yang membuatkan seseorang itu gembira dan rasa bahagia. Pemikiran menentukan sikap seseorang. Jenis manusia wajib adalah apabila dia tiada, semua orang tanya. Manusia yang jenis haram, kalau tak ada itulah yang sebaiknya.

 

Soalan 1: Isteri yang suami kahwin lain

Bertanggungjawab dengan keputusan membenarkan suami kahwin lain. Jangan menyesal, mengeluh, merungut dan mengumpat. Bila buat keputusan untuk membahagiakan suami niatkan kerana Allah, maka manusia akan tenang. Kalau buat kerana suami, hati akan merana kerana cemburu. Allah menolong kita jika kita buat kerana Allah. Fokus pada mencari redha Allah.

 

Soalan 2: Bagaimana nak berubah dari manusia import ke manusia export

Cari redha Allah. Bila kita mahu menjadi orang yang import, fikirkan apa yang kita dapat. Bila kita memberi kita dapat lebih dari itu. Orang bergaji sedikit rasa tenang kerana jiwanya besar dan berlapang dada. Orang yang ikut al-Quran dan hadith akan berlapang dada.

 

Soalan 3: Isteri seorang guru dan jenis yang export. Beliau mengadakan usrah di sekolah. Tapi pihak pentadbiran menghina isterinya dan dakwah isterinya di salah erti.

Konsep usrah adalah baik. Majlis ilmu perlu digalakkan. Teruskan dengan aktiviti untuk mencari redha Allah.

 

Soalan 4: Orang perempuan yang ditakdirkan lambat dapat anak dan menghadapi penyakit yang menghalang proses mendapatkan anak tetapi tak mendapat sokongan suami.

Berubat dan usaha. Tentang hubungan suami isteri, ubah persepsi tentang kebahagian, bahagia tak semesti kerana anak. Cari aktiviti yang boleh membuatkan hubungan suami isteri itu bahagia. Komunikasi penting dalam rumahtangga. Komunikasi adalah kesan yang didapati dalam orang yang kita berkomunikasi. Cuba komunikasi dengan suami dan mencari solusi rawatan dan berusaha bersama.

 

Soalan 5: Macammana nak mengawal emosi anak untuk jadi manusia export.

Bila anak masih kecil, ajar anak selalu memberi. Budaya itu mulakan dari awal kerana masih tak terlambat kerana anak kecil mudah dibentuk

 

Soalan 6: Artificial eye case dan lubricant eye drop

Kesan sama. Jadikan aritificial case bekalan dalam beg kita.

 

Soalan 7: Manusia yang dah insaf dan berada dalam dilema berhadapan dengan kawan zaman gelap dahulu

Asingkan diri dari kawan-kawan zaman gelap dan banyakkan ke masjid. Kalau boleh membawa kawan-kawan ke jalan kebaikan itu lebih baik.

 

Soalan 8: Isteri perlu ikhlas (pendapat).

 

Soalan 9: Senangkan diri kamu untuk menyenangkan orang lain. Pemanggil memilih untuk tidak duduk dengan anak-anak kerana mahu jadi manusia export. Pemanggil masih lapar dengan imput untuk menjadi manusia export.

Bina diri dahulu sebelum memberi kepada manusia. Bina silaturrahim dan jadi diri sendiri.

 

Soalan 10:Imbuhan yang tak logik diminta oleh NGO untuk membangunkan aktiviti kemasyarakatan.

Islam memerlukan orang kaya untuk menolong ummah. Niat penting. Jika niat membuat kebajikan bertukar menjadi keduniaan, maka tiada gunanya. Buat sesuatu biarlah dalam kondisi menang-memang.

 

Soalan 11:Isteri buat kerja sukarela sehingga mengabaikan keluarga

Kerja amal dilakukan kerana siapa? Kalau kerana Allah maka melayan keluarga lebih patut diutamakan. Suami juga perlu beri ruang pada isteri untuk melakukan aktiviti kebajikan.

 

Soalan 12:Isteri/suami pentingkan adik-beradik

Wanita yang baik dapat lelaki yang baik. Kalau kita dapat benda negatif dari suami, cuba fikirkan apa benda negatif kita beri pada suami.

 

Soalan 13:Kalau mata rabun jauh tapi tak banyak, mata tak sama power, pergi kedai untuk beli kanta lengkap, tetapi optometris nasihatkan pakai dua-dua mata.

Nasihat tersebut betul. Tetapi perlu diingatkan jaga kebersihan kanta lengkap. Jangan pakai lebih dari 8 jam, sebelum tidur, tanggalkan dahulu. Kalau ada duit, buat lasik.

 

Soalan 14:Bagaimana nak atasi kulat pada kelopak mata

Ada jangkitan di mata, sila jumpa pakar.

 

Soalan 15:Diabetes, doktor nak cucuk ubat dalam mata untuk mengelak buta. Antara adalah ubat ada yang original (RM6000) dan yang tak original (RM1000). Adakah yang tak original ini boleh digunakan dan adakah ia mendatangkan kesan sampingan.

Diabetes boleh mengakibatkan buta. Jaga pemakanan, jangan ambil karbo/nasi banyak sangat. Ubat yang tak original selamat jika tak banyak kesan penyakit yang lain.

 

Soalan 16:Cara dibesarkan keluarga sebagai seorang opportunis.

Budaya berebut adalah jenis orang import. Ada orang yang takut sangat nak memberi tak kira dari segi kerja, makan dan lain-lain. Ada manusia yang sayang duit tapi mempergunakan manusia. Manusia export menyayangi manusia dan menggunakan duit. Cara mengubah, tengok kehidupan orang yang murah hati macammana, orang yang kedekut macammana, lihat kesannya. Belajar dari pengalaman orang. Mulakan dengan sesuatu yang kecil, walaupun sedikit tak mengapa. Mulakan dengan sedekah dengan apa yang kita ada.

 

Soalan 17:Demam panas kemudian mata tak nampak tapi doktor kata tak ada apa-apa.

Jumpa doktor mata, kalau doktor kata tak ada apa-apa, percaya pada doktor.

 

Soalan 18:Hiduplah dengan diri sendiri bukan dengan berpura-pura. Bagaimana orang yang ada masalah tapi berpura-pura gembira

Kita dilahirkan sempurna. Fitrahnya baik. Tapi bila kita ada akal, kita mula terpaksa membuat pilihan. Pura-pura bermaksud, kalau kita menangis depan orang, apa yang kita dapat, lebih baik menangis depan Allah. Kerana manusia tak dapat tolong apa-apa, tetapi Allah yang menentukan segalanya. Bila jumpa orang, jangan cerita masalah, tapi fokus pada benda yang baik. Kita perlulah berjumpa orang dan menyebarkan kebaikan.

 

Soalan 19:Ilmu analisa

Bila berjumpa orang, kita cuba memikirkan jika kita menjadi dia. Bila jumpa orang, terus memikirkan dirinya lebih baik dari kita. Kalau kita nampak diri kita dalam diri orang lain, kita akan buat apa yang orang tu suka. Orang yang nampak kasih sayang adalah kerana dia ada kasih sayang dalam hati dia.

 

Soalan 20:Bagaimana mengatasi orang yang ada sikap import

Kita hidup jangan tengok silap orang. Jadi kalau kita jumpa orang import, kita tunjuk contoh dekat dia. Bila berlaku sesuatu, kita tengok di mana silap kita.

 

Kesimpulan:

Manusia ada dua jenis; import dan export. Kalau nak jadi manusia export, kita kena sentiasa memberi dan tak harap terima kasih. Jadilah orang yang banyak mendengar. Bila buat, kita buat dengan kasih sayang dan redha. Buatlah semua perkara kerana Allah. Kalau saya mati sekarang, saya akan ke syurga atau neraka, tanyakan pada diri sendiri.

Tuesday, 4 October 2011

Lemah

Manelusuri tafsir surah Yaasin membuat diri merasa kerdil. Apabila memikirkan Rasulullah SAW itu diutus Allah sebagai ‘Nazir’-yang memberi peringatan, nyata sebagai Nazir, pastinya Baginda terpaksa menentang arus, kepercayaan yang memosong dan budaya Arab Jahiliyyah yang pada ketika itu amatlah tidak selari dengan jalan Allah. Maka pastinya tugas Rasulullah SAW sangat berat apabila diutus sebagai pemberi peringatan. Namun, walaupun tugas itu sangat berat, Rasulullah SAW tetap berjuang dengan tabah untuk membawa manusia keluar dari kegelapan. Maka dimanakah kedudukan kita hari ini? Bagaimana Rasulullah SAW sanggup menentang arus dan memberi peringatan pada kaum Arab Jahiliyyah, tetapi kita umat Islam tak mampu menegur sesama umat Islam dalam hal ‘amal makruf nahi munkar’? Benar-benar teman terasa sungguh lemah, hina dan jauh lebih rendah martabat teman jika nak dibandangkan Rasulullah SAW, malah untuk mencapai tahap para sahabat dan tabiin juga sangatlah jauh. Benarlah kata-kata Rasulullah, penghuni syurga itu ramainya di kalangan umat terdahulu dan sedikit sahaja dari umat yang terkemudian,. Maka teman benar-benar memahaminya kerana melihat kelemahan diri teman dalam hal amal makruf nahi munkar. Ya Allah, ampunilah aku ya Allah, berilah aku kekuatan ya Allah untuk berjuang di jalanMu.

Wednesday, 28 September 2011

Munafik di Pejabat

Pejabat ada macam-macam orang. Kalau nak di layan semua karenah, takut jadi munafik. Allah pernah cerita di dalam Al-Quran, apabila orang-orang munafik berada di kalangan orang Islam, mereka berkata, “kami bersama kamu”, tetapi apabila mereka bersama orang-orang kafir atau musyrik, mereka mengatakan, “kami cuma berpura-pura dan siapalah yang mahu mengikut orang-orang bodoh itu”, lebih kurang beginilah maksudnya. Kadang-kadang teman merasakan diri teman begitu. Bila berada bersama bos dan ‘orang-orangnya’, teman terpaksa bersependapat dengan mereka kerana teman terlalu lemah untuk mengatakan tidak. Apabila teman berada bersama kawan-kawan teman, barulah teman mengeluarkan pendapat teman sendiri yang teman pendamkan ketika di hadapan bos dan “orang-orangnya”. Apabila bos teman menikam jabatan lain, teman terpaksa berdiri di belakangnya dan engiyakan apa yang dikatakannya, teman adalah orang yang paling tidak berdaya menghalang kemungkaran yang dilakukan bos teman itu. Teman hanya mampu menentang di dalam hati. Maaflah, teman pada hakikatnya memarahi diri sendiri kerana bersikapp seperti orang munafik. Ya Allah, andai pekerjaan ini hanya mendatangkan dosa kepadaku, maka Kau bawalah aku pergi dari sendiri. Kurniakanlah aku satu pekerjaan yang menjadi ibadah terbaik di sisiMu. Aku sedang mengusahakannya, jika ada keizinan-Mu, maka takdirkanlah aku untuk sesuatu yang lebih bermanfaat buat diri ku dan umat Islam seluruhnya. Namun Kau lebih Mengetahui sedang aku tidak, sekali-kali tidak. Aku terima ketentuan Mu dan aku akan berjuang untuk menjadi mukminah yang sejati walau di mana aku berada.

 

 

Jemaah surau

Assalamualaikum wbt dan Selamat pagi,

 

Dari hari ke hari, idea teman untuk menulis entri di blog semakin berkurangan. Pada asalnya, blog ini teman jadikan sebagai medan dakwah dan perkongsian sedikit ilmu. Tetapi entah mengapa, semakin sibuk teman mempersiapkan diri dengan ilmu, semakin kurang pula teman luangkan masa untuk blog ini. Internet di rumah ada sahaja masalahnya. Apabila di rumah, badan sudah letih kerana memandu jauh pulang dari kerja. Idea menulis kerap datang di waktu pagi, namun memandangkan Internet tersebut milik syarikat dan ia sewajarnya digunakan untuk tujuan kerja, teman jadi tak sedap hati nak menulis ketika di pejabat. Mungkin kerana rasa yang sebegitu membuatkan teman sudah semakin kurang menulis entri.

 

Walau bagaimanapun, biarlah sedikit dari tiada….kongsi juga walau secebis ilmu.

 

Buat pengetahuan sesiapa yang membaca entri ini, hari ini jemaah surau muslimah di syarikat teman mengadakan jamuan sempena khatam Quran tengah hari ini. Teman teruja sangat, bukanlah kerana majlis makan-makan itu tetapi teruja kerana dapat meraikan majlis khatam Quran tersebut, sekurang-kurangnya jemaah bersemangat ingin meneruskan aktiviti ini di masa akan datang. Hasil daripada majlis tadarus pada Ramadhan yang lalu, jemaah surau teman bakal mengadakan Usrah yang akan bermula esok! Alahmdulillah, semoga Allah memberi pahala kepada kami semua kerana menganjurkan majlis ilmu sebegitu. Teman rasa tak sabar nak menjayakan program Usrah yang bakal diadakan setiap minggu itu. Dapat jugalah menyebarkan dan berkongsi ilmu. Ia adalah medan dakwah yang sangat baik. Isu pertama yang bakal kami sentuh esok adalah berkenaan solat. Ini perkara asas yang umat Islam perlu lakukan dengan sempurna. Tak sabar-sabar nak dengar perkongsian ilmu ini.

 

Baiklah, teman kira, cukuplah sampai di sini. Teman ingin memulakan kerja…

Monday, 26 September 2011

Rumah Terbuka

Hari Sabtu yang lepas, teman mengadakan Rumah Terbuka. Sebenarnya ia bukanlah idea teman, tetapi adik angkat teman itu yang beriya-iya sangat mahu mengadakannya, jadi teman ikutkan sahajalah. Sebenarnya, gaji belum lagi masuk pada waktu itu tetapi teman buat ala kadar sahaja, kos yang dikeluarkan tidak lebih RM100. Jemputan yang datang pula lebih 50 orang kalau teman tak silap. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar dan makanan pun cukup, tak ada yang berkurang. Teman tak putus-putus berdoa agar makanan yang ada mencukupi. Naik seram bila melihat orang ramai datang sehingga tiada tempat duduk. Makanan yang biasa-biasa itu pula dijamah dengan berselera. Memang puas hati mengenangkan majlis berjalan lancar dan makanan semua dijamah dengan selera. Alhamdulillah, syukur tak terhingga buat Ilahi. Takut juga kalau banyak makanan yang membazir, ya, memang ada yang terpaksa dibuang, tetapi tidaklah terlalu banyak, alhamdulillah. Teman paling tak suka buang makanan. Kalau boleh makan, memang teman simpan dalam peti sejuk dan akan memanaskannya kembali. Tetapi peti sejuk pun dah tak muat, terpaksalah. Rasulullah SAW tidak suka pembaziran. Menurut Rasulullah, makanan jika tak dihabiskan akan menjadi santapan syaitan. Nauzubillah.
Penat dan gembira bercampur baur. Penat pun taklah penat sangat, biasa-biasa sahaja. Gembira kerana dapat berjumpa dan menjamu kawan-kawan. Kalau diikutkan, rumah teman jauh dari tempat kerja teman, lebih kurang 50km, tetapi kawan-kawan sekerja sanggup datang sejauh itu untuk meraikan Rumah Terbuka teman, itu yang membuatkan teman terharu. Kawan-kawan yang dekat pun datang, alhamdulillah. Duit raya tak banyak tetapi alhamdulillah, cukup untuk diberi kepada semua kanak-kanak yang hadir. Mula-mula risau kerana kami tak sempat menukar duit raya di bank. 3 jam sebelum majlis bermula, teman dan adik-adik angkat teman mengumpul duit masing-masing, alhamdulillah cukup.
Dari pukul 3 petang sehingga 9.30malam teman menerima kunjungan tetamu, tak sangka dengan bajet rendah, masih boleh menjamu tetamu-tetamu yang ramai itu. Pukul 9.30 malam, giliran teman pula memenuhi undangan Rumah Terbuka kenalan teman yang lain. Itupun teman terlepas 3 jemputan Rumah Terbuka yang lain. Maaf ya, memang tak sempat nak hadir kesemua jemputan itu.
Ia adalah kenangan manis yang indah buat teman dan keluarga angkat teman. Awal-awal lagi kami sudah niatkan nak menjamu orang dan untuk mengukuhkan silaturrahim. Melalui Rumah terbuka inilah, teman dapat bergaul dengan jiran-jiran sebelah rumah yang berbangsa Melayu dan Cina. Inilah masanya untuk saling kenal mngenali. Terima kasih Ya Allah kerana memberi peluang ini kepada kami.

Monday, 19 September 2011

Diariku..

Kucing
Semalam, pukul 4.30 petang, kucing kesayangan teman dan adik angkat teman akhirnya menemui ajal. Puncanya kurang jelas, yang pasti 2 ekor daripada 3 kucing kami diserang demam teruk sejak Jumaat yang lalu. Seekor berusia setahun dan seekor lagi berusia 6 bulan tetapi kelihatan kurus dan kecil. Yang kecil nampaknya sudah mula ada selera sejak Ahad pukul 5 pagi. Teman sebenarnya dikejutkan si kecil itu lalu teman berinya makan sementara si kecil mula berselera. Yang "kakak" masih sakit malah semakin teruk. Dalam doa teman selepas solat, sempat teman titipkan pada Allah agar disembuhkan kucing-kucing teman itu. Yang kecil itu alhamdulillah ada perkembangan yang baik, tetapi yang "kakak", nampaknya sehingga itu sahaja umurnya bersama kami. Menitis juga airmata teman dan adik teman mengenangkan seksanya si "kakak" mengadap ajal. Ada lendir bercampur darah, ada tanda-tanda termakan racun, wallahualam. Ya Allah, ampunkan doa kami andai ada kesalahan kami terhadap kucing kesayangan kami ini.

Dosa
Teman rasa serba tak kena dan rasa tak keruan. Teman rasakan teman banyak melakukan dosa-dosa sejak ahkhir-akhir ini. Pertama, teman banyak sangat menonton TV. Teman tertarik dengan rancangan realiti tv mengenai pertandingan pakar-pakar masakan. Hampir seharian teman menontonnya. Teman cuma berhenti untuk solat dan mengaji, kemudian teman sambung menonton. Selalunya, aktiviti membaca lebih diutamakan, kali ini ia jatuh nombor 2.
Kedua, hari ini teman tidak bekerja dengan baik. Kerja teman di pejabat memang tak banyak. Banyak yang telah teman selesaikan minggu lepas, namun masih ada kerja yang boleh dilakukan. Namun teman menangguhkan kerja-kerja tersebut dan membuat perkara yang tak ada kaitan dengan kerja. Pada pukul 3.30pm, barulah teman memulakan kerja-kerja teman, 30 minit kemudian, semua kerja selesai, tiada lagi kerja untuk dilakukan. lalu teman menulis entri ini selesai solat Asar sebentar tadi.
Ketiga, tengah hari tadi, kantin di tempat kerja teman mengadakan Rumah Terbuka yang menghidangkan pelbagai juadah yang lazat. Nasi beriyaninya memang terkenal sedap dan berkualiti tinggi. Teman makan dengan banyaknya dan beberapa ketul kambing teman makan tanpa rasa bersalah. Rasa bersalah hanya timbul apabila teman merasa terlalu kenyang. Teman teringat bahawa Rasulullah tidak begitu. Imam Syafie juga tidak pernah kenyang atau mebiarkan dirinya kekenyangan. Teman benar-benar telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sunnah.
Keempat, entah mengapa, salah seorang rakan sekerja teman bersikap dingin dengan teman, ini bukan kali pertama, ia sudah entah yang ke berapa kali. Teman tak tahu apa saah teman tetapi 'mood'nya mudah tersentuh. Kadangkala berhatri-hari beliau tak menegur teman dan memasamkan muka. Kadangkala beliau terlalu ceria dan bercerita tak henti-henti. Sejak hari Jumaat yang lalu beliau kembali dingin sehingga ke hari ini. Puncanya tidak dikenal pasti. Teman pula sudah letih mengalah, jadi teman biarkan sahaja beliau berkelakuan dingin. Teman kira, pasti ada sikap teman yang membuatnya marah, teman tak pula berani bertanya sebab dulu teman pernah memujuknya tetapi hanya dibalas dengan diam seribu bahasa. Teman rasakan, pasti hati teman masih kotor, kerana itulah orang di sebelah teman ini rasa tak selesa dengan teman.
Oleh itu, teman perlu bertaubat dan berdoa agar teman tak melakukan dosa-dosa tersebut lagi dan membersihkan hati.

Tipu
Hari Jumaat yang lepas, ketua jabatan teman mengambil cuti kecemasan, alasan, keretanya rosak. Hari ini, teman duduk semeja dengan kawan sekerja teman yang bercuti ke Hanoi minggu lepas. Katanya, beliau terserempak dengan ketua jabatan teman di lapangan terbang di balai berlepas bagi penerbangan antarabangsa. Menurut kawan teman, destinasi ketua jabatan teman adalah Perth, Australia. Ini bukan kisah penipuan yang pertama pernah kami alami, ketua jabatan teman memang kerap menipu, kadangkala beliau tak segan untuk melakukannya di hadapan kami. Walaupun beliau bukan beragama Islam, tetapi berkata benar adalah standard moral di peringkat global. Apa sahaja agama yang dianutinya, penipuan adalah satu dosa. Apa yang lebih menyedihkan, kadangkala kami turut diheret sama dalam penipuan tersebut, contohnya ketika mengadakan perbincangan bersama pihak di luar jabatan kami. Kami hanya tertunduk malu mendengar penipuannya dan dia melakukannya tanpa mengedipkan matanya. Ia dilakukan penuh yakin. Teman kira, ia telah menjadi tabiat kerana ketua teman terkenal dengan sikap suka menipu. Bercerita kisah-kisah yang kecil pun, pasti ada dipusing faktanya. Ya Allah, lindulah aku dari sifat 'kazib' (menipu).

Wednesday, 14 September 2011

Serba Salah, Riba' oh Riba'

Assalamualaikum wbt...

Sejak akhir-akhir ini, teman sering mendengar dan membaca tentang riba. Laman web Ustaz Zaharuddin di zaharuddin.net menjadi rujukan, ia baik untuk kita jadikan rujukan atau jika ada apa-apa soalan, bolehlah bertanya sendiri dengan Ustaz Zaharuddin. Teman agak tertekan mengenangkan teman telah banyak terjebak dengan riba' seawal umur 20, iaitu ketika menerima pinjaman pendidikan yang terkenal di negara ini. Mungkin juga teman sudah sekian lama menelan hasil riba yang dilakukan insan lain, mungkin mereka tidak tahu, tetapi dalam Islam, tidak tahu tidak boleh dijadikan pelepasan dosa kerana Islam menuntut umatnya untuk menuntut ilmu. Zaman kefasikan teman ketika belajar dan bekerja telah mencampakkan teman ke kancah riba'. Transaksi seperti pinjaman pelajaran, pinjaman motorsikal, pinjaman kereta, kad-kad kredit, pinjaman peribadi dan kemudahan-kemudahan kewangan yang lain yang ditawarkan bank konvensional, segalanya adalah riba' yang pernah teman lakukan. Walaupun teman mula kembali mencari jalan yang Allah redhai, tetapi aktiviti silam terutamanya mengenai riba' masih membelenggu teman.Teman benar-benar ingin bertaubat. Teman mohon Allah beri jalan keluar dari semua ini, alhamdulillah, hari ini institusi pinjaman pendidikan teman telah memberi surat tawaran untuk menukar kaedah pembayaran pinjaman kepada sistem Islam, teman akan berusaha melengkapkan segala keperluan yang dituntut pihak terbabit agar teman dapat keluar dari sistem yang nyata riba'. Walaupun kaedahnya masih diragui, namun pihak tersebut sudah mengakadkan bahawa 1% adalah kos upah, maka selebihnya terserah kepada badan tersebut untuk menanggung dari sudut rohaninya. Pinjaman kereta teman pula masih berbaki 4 tahun, nyata ia melalui sistem konvensional yang jelas-jelas sistem riba. Teman tak tahu bagaimana nak lari dari riba' untuk pinjaman kenderaan yang berbaki 4 tahun ini. Segala hutang yang lain telah teman tukar kaedah yang lain dan akan cuba melangsaikannya secepat mungkin agar terlepas dari belenggu riba. Pinjaman pelaburan yang teman ada sekarang dan masih terikat lagi 11 tahun ini pula telah difatwakan harus oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, walaupun kaedahnya diragui namun oleh kerana Majlis Fatwa memutuskan begitu, maka mereka juga akan menanggung dari segi rohaninya.

Ustaz Zaharuddin menerangkan secara jelas disertakan nas-nas dan fakta sahih tentang makna riba'. Hakikatnya sangat menakutkan dan dosanya, masya'Allah, lebih menggerunkan. Dosanya umpama anak lelaki yang berzina dengan ibu kandungnya, Na'uzubillah....Astaghfirullahal'azim...Ya Allah tolong aku ya Allah.....bantulah aku, bebaskan aku dari belenggu hutang dan riba'!

Ustaz Zaharuddin memberi penjelasan tentang bagaimana riba' itu diputuskan melalui 'Ilat', teman kira ilat itu adalah faktor yang memutuskan sesuatu itu dikategorikan sebagai riba'. Menurut apa yang ditulis Ustaz Zaharuddin,

1) Lebih : Sebarang excess atau lebihan dalam : -
a- Pemberian pinjaman wang atau manfaat asset (beri pinjam kereta sebagai contoh) yang DISYARATKAN PULANGAN BESERTA LEBIHAN MANFAAT. Sebarang lebihan sama ada banyak atau sedikit, dirasakan zalim atau tidak. Ia adalah riba yang haram.
b- Sebarang lebihan berat emas atau perak dalam pertukaran emas dengan emas. Samada bezanya 1 gram atau 30 gram,. Ia sama sahaja haramnya. Sebagai contoh, menukar rantai emas seberat 20 gram dengan rantai yang baru seberat 23 gram. Ia adalah riba samada redha atau tidak, sikit atau banyak.
2) Tangguh : sebarang bentuk tangguh dalam :-
a- Pertukaran matawang dengan matawang lain
b- Pertukaran emas dengan emas atau dengan perak.

Jadi, cuba renungkan kembali transaksi kita seharian. Bukankah ia ibarat rutin manusia zaman sekarang? Urusan pinjaman rumah, kenderaan, kad kredit, pinjaman-pinjaman peribadi, forex dan kebanyakan aktiviti institusi kewangan, hampir keseluruhannya tercemar dengan riba'.

Di dalam tajuk teman di atas, teman tuliskan "serba salah". Kisahnya begini,salah seorang rakan sekerja teman baru sahaja menceritakan kepada beberapa rakan sekerja tentang pinjaman pelaburan yang berkadar faedah sebanyak 4% setahun. Teman terkedu mendengar jumlah yang dipinjam dan dilaburkan sangat tinggi, matlamatnya adalah keuntungan dividen tahunan yang boleh dikatakan agak menguntungkan. Dan komitmen tersebut dibuat dengan tempoh yang panjang iaitu 25 tahun. Masya-Allah. Rakan yang mendengar turut tertarik. Adakah respon sebegini adalah disebabkan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa atau masyarakat kurang ilmu tentang riba'? Bagi diri teman, pada mulanya teman ingin menarik diri dari pinjaman pelaburan yang teman ada sekarang kerana kaedahnya yang diragukan, namun apabila Majlis Fatwa membenarkannya, maka teman rasa, Majlis Fatwa perlu menanggung dosa jika fatwa itu salah. Setelah merujuk kenyataan Ustaz Zaharuddin dan mengambil kira pendangan ibu teman, wang dividen usah disentuh. Apabila tamat membayarnya, ambil jumlah yang dipinjam sahaja, selebihnya serahkan pada Baitul Mal, itu pandangan ibu teman. Ustaz Zaharuddin pula mengatakan, ia adalah tanggungan Majlis Fatwa seperti yang telah teman sebutkan sebentar tadi. Hakikatnya, wallahualam.

Teman berpendapat, masyarakat patut rasa 'alergic' atau 'alah' apabila mendengar perkataan 'PINJAM'. Sepanjang hidup teman, teman pernah dengar 2 kali sahaja pinjaman yang bersih dari riba', iaitu pinjaman dari Yayasan Pelajaran Johor dan Yayasan Melaka. Mungkin yayasan lain juga mengamalkan perkara yang sama, tetapi pengalaman teman adalah berdasarkan kisah 2 orang sahabat teman, seorang dari Melaka dan seorang lagi dari Johor. Pinjam RM5000 bayar RM5000, begitulah yang dikenakan ke atas mereka. Oh ya, pada tahun 2001 (kalau tak silap teman), sahabat teman yang bekerja di Bank Islam Temerloh Pahang, pernah memberitahu teman bahawa Bank Islam pada masa itu ada memberi pinjaman kepada peniaga yang berjumlah RM5000, dan dibayar semula dengan jumlah yang sama oleh peminjam, ia adalah khusus untuk menolong para peniaga. Selain dari 3 kes ini, teman tak pernah melihat pinjaman yang bersih dari riba' termasuklah pengalaman teman sendiri. Malahan teman pernah membuat pinjaman peribadi dengan sebuah bank terkemuka di Malaysia, pinjaman tersebut berjumlah RM5000 namun bayaran semula berjumlah RM12,000. Malang bagi mereka yang kurang ilmu seperti teman, atau yang mempunyai ilmu tetapi tidak ambil serius dan tidak mengamalkannya, seperti teman. Ya Allah, ampunkan disa-dosaku.

Untuk pengatahuan anda, kawan teman sekarang, tika teman sedang menaip entri ini, sedang mempengaruhi 2 lagi rakan teman yang lain. Teman makin serba salah, samada menegur (pasti fatwa dari Majlis Fatwa dijadikan sandaran, dan teman sendiri dah terjebak dengannya) atau memberi penjelasan tentang makna riba' kepada mereka. Teman serba salah.

Tuesday, 13 September 2011

Hari ini.....

Assalamualaikum wbt...

Sekarang waktu makan tengah hari. Oleh kerana teman berpuasa, bolehlah teman menaip sesuatu di blog ini. Sambil mendengar lagu Salawat Burdah di radio IKIM, kadangkala dek kerana lagu ini sangat sedap, sampaikan hilang idea teman nak tulis entri kali ini.

Teman teruja membaca entri terbaru Kak Roza, pengalaman membeli barangan dapur di Madinah. Kelakar pun ada, rasa bersyukur pun ada, semoga Allah mempermudahkan Kak Roza dan keluarganya sepanjang berada di Madinah. Allah hadiahkan mereka sekeluarga dengan hijrah yang sangat bermakna, namun ia datang dengan ujian, maka bersabarlah dan percaya pada Allah. Walaupun teman sedikit cemburu dengan apa yang mereka kecapi sekarang, teman bersyukur kerana teman hidup dengan aman dan dapat beribadah dengan aman. Semoga Allah mengasihi teman walaupun teman berada di Malaysia, bukan di Madinah. Kepada yang berada di Madinah, syukur kerana Allah membalas segala doa dan amalan anda sekeluarga.

Hari ini juga adalah hari ujian buat teman. Semoga Allah mengurniakan teman dengan kesabaran dalam menempuh dugaan-dugaan tersebut dan semoga Allah memberi jalan keluar dari masalah yang sedang melanda teman. Ya Allah, mohon dipermudahkan Ya Allah...

Semakin hari teman rasakan semakin kurang idea teman untuk menulis entri. Teman tak tahu mengapa. Mungkin kerana teman sudah berdoa pada Allah agar teman tidak mensia-siakan waktu bekerja dengan sesuatu  yang tak berkaitan dengan kerja. Alhamdulillah jika itu hikmahnya. Pulang ke rumah sudah hampir maghrib, tika itu badan pun sudah kepenatan. Bagi teman, malam adalah waktu untuk beribadah dan menuntut ilmu, maka kuranglah waktu untuk menjenguk blog. Teman masih ada beberapa buku yang belum habis dibaca. Hanya selepas waktu bekerja sahajalah waktu untuk teman habiskan untuk membaca. Alquran juga perlu dibaca agar hati ini sentiasa hidup. Masa yang ada seakan-akan terlalu singkat. Namun Allah telah menetapkan sehari 24 jam, maka sudah pasti masa yang diberi mencukupi kerana Allah Maha Bijaksana, hanya manusia sahaja perlu bijak menyusun jadual.

Sudah hampir pukul 1 tengah hari, izinkan teman berehat seketika.

Monday, 12 September 2011

Hari ini...

Assalamualaikum wbt dan selamat tengah hari semua,

Tentu ada yang berasa hairan dengan lampiran yang teman sertakan di entri kali ini. Maaflah, sejak Prof Kamil dan keluarganya berhijrah ke Madinah, hati teman juga turut berada di sana. Dalam diam, teman juga menyimpan hasrat untuk ke sana, tidak pasti bagai,mana, mungkin melanjutkan pelajaran di sana, atau mengerjakan umrah atau kalau boleh menunaikan haji...apa sahaja caranya agar teman dapat menjejakkan kaki ke Tanah Haram. Tika ini, Prof Kamil dan Puan Roza mungkin mengalami cuaca yang sama seperti di Malaysia, mungkin mereka sedang bersolat Dhuha barangkali, atau mendaftarkan anak-anak mereka di sekolah, atau mungkin sahaja Prof Kamil sedang memulakan sesi bekerja di tempat dan suasana yang serba baru. Teman ternanti-nanti berita dari Madinah. Entah mengapa, hati teruja untuk mengetahui setiap aktiviti mereka di sana. Terserlah sikap 'busy body' teman. jika mereka berhijrah ke United Kingdom, mungkin teman tidak seteruja ini. Rasa cemburu apabila mengenangkan mereka berada dekat dengan makam Rasulullah dan menetap di bumi suci. Rezeki masing-masing, biarlah Allah sahaja yang menentukannya.

Sejak dari Selasa minggu lepas, teman berada dalam keadaan yang tidak selesa seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak. Alhamdulillah, wajib teman mensyukuri semua ini kerana Allah menghapuskan dosa dengan cara ini, malah dalam keadaan yang tak selesa, teman masih mampu beribadat dengan baik, ia adalah nikmat yang wajib disyukuri! Syukur itu perlu selalu. Bukankah kesusahan itu datang bersama kesenangan. Contohnya, walaupun sakit, tetapi masih boleh solat dan beribadah dengan baik. Walaupun sakit, tetapi masih boleh melakukan aktiviti harian dengan lancar. Ia hanya ujian yang kecil berbanding dengan nikmat Allah yang tak terhitung. Maka bersyukurlah!

Teringat pula tazkirah di radio IKIM pagi tadi, tentang kalimah toibah iaitu "Laa Ilaaha Illallah", hari ini kita dapat menyebut kalimah ini dengan mudah dan selamat. Tetapi Rasulullah dan para sahabat bermati-matian mempertahankan dan menyebarkan kalimah ini sehingga ramai yang syahid. Syukurlah atas kalimah yang pernah menjadi perjuangan berdarah ini dapat kita lafaz dalam keadaan yang mudah dan aman. Maka syukurilah kalimah ini dan lantunkan kalimah ini bila sahaja kita teringat.

Semoga hari-hari yang mendatang kita lalui dengan penuh rasa syukur.