Wednesday 28 September 2011

Munafik di Pejabat

Pejabat ada macam-macam orang. Kalau nak di layan semua karenah, takut jadi munafik. Allah pernah cerita di dalam Al-Quran, apabila orang-orang munafik berada di kalangan orang Islam, mereka berkata, “kami bersama kamu”, tetapi apabila mereka bersama orang-orang kafir atau musyrik, mereka mengatakan, “kami cuma berpura-pura dan siapalah yang mahu mengikut orang-orang bodoh itu”, lebih kurang beginilah maksudnya. Kadang-kadang teman merasakan diri teman begitu. Bila berada bersama bos dan ‘orang-orangnya’, teman terpaksa bersependapat dengan mereka kerana teman terlalu lemah untuk mengatakan tidak. Apabila teman berada bersama kawan-kawan teman, barulah teman mengeluarkan pendapat teman sendiri yang teman pendamkan ketika di hadapan bos dan “orang-orangnya”. Apabila bos teman menikam jabatan lain, teman terpaksa berdiri di belakangnya dan engiyakan apa yang dikatakannya, teman adalah orang yang paling tidak berdaya menghalang kemungkaran yang dilakukan bos teman itu. Teman hanya mampu menentang di dalam hati. Maaflah, teman pada hakikatnya memarahi diri sendiri kerana bersikapp seperti orang munafik. Ya Allah, andai pekerjaan ini hanya mendatangkan dosa kepadaku, maka Kau bawalah aku pergi dari sendiri. Kurniakanlah aku satu pekerjaan yang menjadi ibadah terbaik di sisiMu. Aku sedang mengusahakannya, jika ada keizinan-Mu, maka takdirkanlah aku untuk sesuatu yang lebih bermanfaat buat diri ku dan umat Islam seluruhnya. Namun Kau lebih Mengetahui sedang aku tidak, sekali-kali tidak. Aku terima ketentuan Mu dan aku akan berjuang untuk menjadi mukminah yang sejati walau di mana aku berada.

 

 

Jemaah surau

Assalamualaikum wbt dan Selamat pagi,

 

Dari hari ke hari, idea teman untuk menulis entri di blog semakin berkurangan. Pada asalnya, blog ini teman jadikan sebagai medan dakwah dan perkongsian sedikit ilmu. Tetapi entah mengapa, semakin sibuk teman mempersiapkan diri dengan ilmu, semakin kurang pula teman luangkan masa untuk blog ini. Internet di rumah ada sahaja masalahnya. Apabila di rumah, badan sudah letih kerana memandu jauh pulang dari kerja. Idea menulis kerap datang di waktu pagi, namun memandangkan Internet tersebut milik syarikat dan ia sewajarnya digunakan untuk tujuan kerja, teman jadi tak sedap hati nak menulis ketika di pejabat. Mungkin kerana rasa yang sebegitu membuatkan teman sudah semakin kurang menulis entri.

 

Walau bagaimanapun, biarlah sedikit dari tiada….kongsi juga walau secebis ilmu.

 

Buat pengetahuan sesiapa yang membaca entri ini, hari ini jemaah surau muslimah di syarikat teman mengadakan jamuan sempena khatam Quran tengah hari ini. Teman teruja sangat, bukanlah kerana majlis makan-makan itu tetapi teruja kerana dapat meraikan majlis khatam Quran tersebut, sekurang-kurangnya jemaah bersemangat ingin meneruskan aktiviti ini di masa akan datang. Hasil daripada majlis tadarus pada Ramadhan yang lalu, jemaah surau teman bakal mengadakan Usrah yang akan bermula esok! Alahmdulillah, semoga Allah memberi pahala kepada kami semua kerana menganjurkan majlis ilmu sebegitu. Teman rasa tak sabar nak menjayakan program Usrah yang bakal diadakan setiap minggu itu. Dapat jugalah menyebarkan dan berkongsi ilmu. Ia adalah medan dakwah yang sangat baik. Isu pertama yang bakal kami sentuh esok adalah berkenaan solat. Ini perkara asas yang umat Islam perlu lakukan dengan sempurna. Tak sabar-sabar nak dengar perkongsian ilmu ini.

 

Baiklah, teman kira, cukuplah sampai di sini. Teman ingin memulakan kerja…

Monday 26 September 2011

Rumah Terbuka

Hari Sabtu yang lepas, teman mengadakan Rumah Terbuka. Sebenarnya ia bukanlah idea teman, tetapi adik angkat teman itu yang beriya-iya sangat mahu mengadakannya, jadi teman ikutkan sahajalah. Sebenarnya, gaji belum lagi masuk pada waktu itu tetapi teman buat ala kadar sahaja, kos yang dikeluarkan tidak lebih RM100. Jemputan yang datang pula lebih 50 orang kalau teman tak silap. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar dan makanan pun cukup, tak ada yang berkurang. Teman tak putus-putus berdoa agar makanan yang ada mencukupi. Naik seram bila melihat orang ramai datang sehingga tiada tempat duduk. Makanan yang biasa-biasa itu pula dijamah dengan berselera. Memang puas hati mengenangkan majlis berjalan lancar dan makanan semua dijamah dengan selera. Alhamdulillah, syukur tak terhingga buat Ilahi. Takut juga kalau banyak makanan yang membazir, ya, memang ada yang terpaksa dibuang, tetapi tidaklah terlalu banyak, alhamdulillah. Teman paling tak suka buang makanan. Kalau boleh makan, memang teman simpan dalam peti sejuk dan akan memanaskannya kembali. Tetapi peti sejuk pun dah tak muat, terpaksalah. Rasulullah SAW tidak suka pembaziran. Menurut Rasulullah, makanan jika tak dihabiskan akan menjadi santapan syaitan. Nauzubillah.
Penat dan gembira bercampur baur. Penat pun taklah penat sangat, biasa-biasa sahaja. Gembira kerana dapat berjumpa dan menjamu kawan-kawan. Kalau diikutkan, rumah teman jauh dari tempat kerja teman, lebih kurang 50km, tetapi kawan-kawan sekerja sanggup datang sejauh itu untuk meraikan Rumah Terbuka teman, itu yang membuatkan teman terharu. Kawan-kawan yang dekat pun datang, alhamdulillah. Duit raya tak banyak tetapi alhamdulillah, cukup untuk diberi kepada semua kanak-kanak yang hadir. Mula-mula risau kerana kami tak sempat menukar duit raya di bank. 3 jam sebelum majlis bermula, teman dan adik-adik angkat teman mengumpul duit masing-masing, alhamdulillah cukup.
Dari pukul 3 petang sehingga 9.30malam teman menerima kunjungan tetamu, tak sangka dengan bajet rendah, masih boleh menjamu tetamu-tetamu yang ramai itu. Pukul 9.30 malam, giliran teman pula memenuhi undangan Rumah Terbuka kenalan teman yang lain. Itupun teman terlepas 3 jemputan Rumah Terbuka yang lain. Maaf ya, memang tak sempat nak hadir kesemua jemputan itu.
Ia adalah kenangan manis yang indah buat teman dan keluarga angkat teman. Awal-awal lagi kami sudah niatkan nak menjamu orang dan untuk mengukuhkan silaturrahim. Melalui Rumah terbuka inilah, teman dapat bergaul dengan jiran-jiran sebelah rumah yang berbangsa Melayu dan Cina. Inilah masanya untuk saling kenal mngenali. Terima kasih Ya Allah kerana memberi peluang ini kepada kami.

Monday 19 September 2011

Diariku..

Kucing
Semalam, pukul 4.30 petang, kucing kesayangan teman dan adik angkat teman akhirnya menemui ajal. Puncanya kurang jelas, yang pasti 2 ekor daripada 3 kucing kami diserang demam teruk sejak Jumaat yang lalu. Seekor berusia setahun dan seekor lagi berusia 6 bulan tetapi kelihatan kurus dan kecil. Yang kecil nampaknya sudah mula ada selera sejak Ahad pukul 5 pagi. Teman sebenarnya dikejutkan si kecil itu lalu teman berinya makan sementara si kecil mula berselera. Yang "kakak" masih sakit malah semakin teruk. Dalam doa teman selepas solat, sempat teman titipkan pada Allah agar disembuhkan kucing-kucing teman itu. Yang kecil itu alhamdulillah ada perkembangan yang baik, tetapi yang "kakak", nampaknya sehingga itu sahaja umurnya bersama kami. Menitis juga airmata teman dan adik teman mengenangkan seksanya si "kakak" mengadap ajal. Ada lendir bercampur darah, ada tanda-tanda termakan racun, wallahualam. Ya Allah, ampunkan doa kami andai ada kesalahan kami terhadap kucing kesayangan kami ini.

Dosa
Teman rasa serba tak kena dan rasa tak keruan. Teman rasakan teman banyak melakukan dosa-dosa sejak ahkhir-akhir ini. Pertama, teman banyak sangat menonton TV. Teman tertarik dengan rancangan realiti tv mengenai pertandingan pakar-pakar masakan. Hampir seharian teman menontonnya. Teman cuma berhenti untuk solat dan mengaji, kemudian teman sambung menonton. Selalunya, aktiviti membaca lebih diutamakan, kali ini ia jatuh nombor 2.
Kedua, hari ini teman tidak bekerja dengan baik. Kerja teman di pejabat memang tak banyak. Banyak yang telah teman selesaikan minggu lepas, namun masih ada kerja yang boleh dilakukan. Namun teman menangguhkan kerja-kerja tersebut dan membuat perkara yang tak ada kaitan dengan kerja. Pada pukul 3.30pm, barulah teman memulakan kerja-kerja teman, 30 minit kemudian, semua kerja selesai, tiada lagi kerja untuk dilakukan. lalu teman menulis entri ini selesai solat Asar sebentar tadi.
Ketiga, tengah hari tadi, kantin di tempat kerja teman mengadakan Rumah Terbuka yang menghidangkan pelbagai juadah yang lazat. Nasi beriyaninya memang terkenal sedap dan berkualiti tinggi. Teman makan dengan banyaknya dan beberapa ketul kambing teman makan tanpa rasa bersalah. Rasa bersalah hanya timbul apabila teman merasa terlalu kenyang. Teman teringat bahawa Rasulullah tidak begitu. Imam Syafie juga tidak pernah kenyang atau mebiarkan dirinya kekenyangan. Teman benar-benar telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sunnah.
Keempat, entah mengapa, salah seorang rakan sekerja teman bersikap dingin dengan teman, ini bukan kali pertama, ia sudah entah yang ke berapa kali. Teman tak tahu apa saah teman tetapi 'mood'nya mudah tersentuh. Kadangkala berhatri-hari beliau tak menegur teman dan memasamkan muka. Kadangkala beliau terlalu ceria dan bercerita tak henti-henti. Sejak hari Jumaat yang lalu beliau kembali dingin sehingga ke hari ini. Puncanya tidak dikenal pasti. Teman pula sudah letih mengalah, jadi teman biarkan sahaja beliau berkelakuan dingin. Teman kira, pasti ada sikap teman yang membuatnya marah, teman tak pula berani bertanya sebab dulu teman pernah memujuknya tetapi hanya dibalas dengan diam seribu bahasa. Teman rasakan, pasti hati teman masih kotor, kerana itulah orang di sebelah teman ini rasa tak selesa dengan teman.
Oleh itu, teman perlu bertaubat dan berdoa agar teman tak melakukan dosa-dosa tersebut lagi dan membersihkan hati.

Tipu
Hari Jumaat yang lepas, ketua jabatan teman mengambil cuti kecemasan, alasan, keretanya rosak. Hari ini, teman duduk semeja dengan kawan sekerja teman yang bercuti ke Hanoi minggu lepas. Katanya, beliau terserempak dengan ketua jabatan teman di lapangan terbang di balai berlepas bagi penerbangan antarabangsa. Menurut kawan teman, destinasi ketua jabatan teman adalah Perth, Australia. Ini bukan kisah penipuan yang pertama pernah kami alami, ketua jabatan teman memang kerap menipu, kadangkala beliau tak segan untuk melakukannya di hadapan kami. Walaupun beliau bukan beragama Islam, tetapi berkata benar adalah standard moral di peringkat global. Apa sahaja agama yang dianutinya, penipuan adalah satu dosa. Apa yang lebih menyedihkan, kadangkala kami turut diheret sama dalam penipuan tersebut, contohnya ketika mengadakan perbincangan bersama pihak di luar jabatan kami. Kami hanya tertunduk malu mendengar penipuannya dan dia melakukannya tanpa mengedipkan matanya. Ia dilakukan penuh yakin. Teman kira, ia telah menjadi tabiat kerana ketua teman terkenal dengan sikap suka menipu. Bercerita kisah-kisah yang kecil pun, pasti ada dipusing faktanya. Ya Allah, lindulah aku dari sifat 'kazib' (menipu).

Wednesday 14 September 2011

Serba Salah, Riba' oh Riba'

Assalamualaikum wbt...

Sejak akhir-akhir ini, teman sering mendengar dan membaca tentang riba. Laman web Ustaz Zaharuddin di zaharuddin.net menjadi rujukan, ia baik untuk kita jadikan rujukan atau jika ada apa-apa soalan, bolehlah bertanya sendiri dengan Ustaz Zaharuddin. Teman agak tertekan mengenangkan teman telah banyak terjebak dengan riba' seawal umur 20, iaitu ketika menerima pinjaman pendidikan yang terkenal di negara ini. Mungkin juga teman sudah sekian lama menelan hasil riba yang dilakukan insan lain, mungkin mereka tidak tahu, tetapi dalam Islam, tidak tahu tidak boleh dijadikan pelepasan dosa kerana Islam menuntut umatnya untuk menuntut ilmu. Zaman kefasikan teman ketika belajar dan bekerja telah mencampakkan teman ke kancah riba'. Transaksi seperti pinjaman pelajaran, pinjaman motorsikal, pinjaman kereta, kad-kad kredit, pinjaman peribadi dan kemudahan-kemudahan kewangan yang lain yang ditawarkan bank konvensional, segalanya adalah riba' yang pernah teman lakukan. Walaupun teman mula kembali mencari jalan yang Allah redhai, tetapi aktiviti silam terutamanya mengenai riba' masih membelenggu teman.Teman benar-benar ingin bertaubat. Teman mohon Allah beri jalan keluar dari semua ini, alhamdulillah, hari ini institusi pinjaman pendidikan teman telah memberi surat tawaran untuk menukar kaedah pembayaran pinjaman kepada sistem Islam, teman akan berusaha melengkapkan segala keperluan yang dituntut pihak terbabit agar teman dapat keluar dari sistem yang nyata riba'. Walaupun kaedahnya masih diragui, namun pihak tersebut sudah mengakadkan bahawa 1% adalah kos upah, maka selebihnya terserah kepada badan tersebut untuk menanggung dari sudut rohaninya. Pinjaman kereta teman pula masih berbaki 4 tahun, nyata ia melalui sistem konvensional yang jelas-jelas sistem riba. Teman tak tahu bagaimana nak lari dari riba' untuk pinjaman kenderaan yang berbaki 4 tahun ini. Segala hutang yang lain telah teman tukar kaedah yang lain dan akan cuba melangsaikannya secepat mungkin agar terlepas dari belenggu riba. Pinjaman pelaburan yang teman ada sekarang dan masih terikat lagi 11 tahun ini pula telah difatwakan harus oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, walaupun kaedahnya diragui namun oleh kerana Majlis Fatwa memutuskan begitu, maka mereka juga akan menanggung dari segi rohaninya.

Ustaz Zaharuddin menerangkan secara jelas disertakan nas-nas dan fakta sahih tentang makna riba'. Hakikatnya sangat menakutkan dan dosanya, masya'Allah, lebih menggerunkan. Dosanya umpama anak lelaki yang berzina dengan ibu kandungnya, Na'uzubillah....Astaghfirullahal'azim...Ya Allah tolong aku ya Allah.....bantulah aku, bebaskan aku dari belenggu hutang dan riba'!

Ustaz Zaharuddin memberi penjelasan tentang bagaimana riba' itu diputuskan melalui 'Ilat', teman kira ilat itu adalah faktor yang memutuskan sesuatu itu dikategorikan sebagai riba'. Menurut apa yang ditulis Ustaz Zaharuddin,

1) Lebih : Sebarang excess atau lebihan dalam : -
a- Pemberian pinjaman wang atau manfaat asset (beri pinjam kereta sebagai contoh) yang DISYARATKAN PULANGAN BESERTA LEBIHAN MANFAAT. Sebarang lebihan sama ada banyak atau sedikit, dirasakan zalim atau tidak. Ia adalah riba yang haram.
b- Sebarang lebihan berat emas atau perak dalam pertukaran emas dengan emas. Samada bezanya 1 gram atau 30 gram,. Ia sama sahaja haramnya. Sebagai contoh, menukar rantai emas seberat 20 gram dengan rantai yang baru seberat 23 gram. Ia adalah riba samada redha atau tidak, sikit atau banyak.
2) Tangguh : sebarang bentuk tangguh dalam :-
a- Pertukaran matawang dengan matawang lain
b- Pertukaran emas dengan emas atau dengan perak.

Jadi, cuba renungkan kembali transaksi kita seharian. Bukankah ia ibarat rutin manusia zaman sekarang? Urusan pinjaman rumah, kenderaan, kad kredit, pinjaman-pinjaman peribadi, forex dan kebanyakan aktiviti institusi kewangan, hampir keseluruhannya tercemar dengan riba'.

Di dalam tajuk teman di atas, teman tuliskan "serba salah". Kisahnya begini,salah seorang rakan sekerja teman baru sahaja menceritakan kepada beberapa rakan sekerja tentang pinjaman pelaburan yang berkadar faedah sebanyak 4% setahun. Teman terkedu mendengar jumlah yang dipinjam dan dilaburkan sangat tinggi, matlamatnya adalah keuntungan dividen tahunan yang boleh dikatakan agak menguntungkan. Dan komitmen tersebut dibuat dengan tempoh yang panjang iaitu 25 tahun. Masya-Allah. Rakan yang mendengar turut tertarik. Adakah respon sebegini adalah disebabkan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa atau masyarakat kurang ilmu tentang riba'? Bagi diri teman, pada mulanya teman ingin menarik diri dari pinjaman pelaburan yang teman ada sekarang kerana kaedahnya yang diragukan, namun apabila Majlis Fatwa membenarkannya, maka teman rasa, Majlis Fatwa perlu menanggung dosa jika fatwa itu salah. Setelah merujuk kenyataan Ustaz Zaharuddin dan mengambil kira pendangan ibu teman, wang dividen usah disentuh. Apabila tamat membayarnya, ambil jumlah yang dipinjam sahaja, selebihnya serahkan pada Baitul Mal, itu pandangan ibu teman. Ustaz Zaharuddin pula mengatakan, ia adalah tanggungan Majlis Fatwa seperti yang telah teman sebutkan sebentar tadi. Hakikatnya, wallahualam.

Teman berpendapat, masyarakat patut rasa 'alergic' atau 'alah' apabila mendengar perkataan 'PINJAM'. Sepanjang hidup teman, teman pernah dengar 2 kali sahaja pinjaman yang bersih dari riba', iaitu pinjaman dari Yayasan Pelajaran Johor dan Yayasan Melaka. Mungkin yayasan lain juga mengamalkan perkara yang sama, tetapi pengalaman teman adalah berdasarkan kisah 2 orang sahabat teman, seorang dari Melaka dan seorang lagi dari Johor. Pinjam RM5000 bayar RM5000, begitulah yang dikenakan ke atas mereka. Oh ya, pada tahun 2001 (kalau tak silap teman), sahabat teman yang bekerja di Bank Islam Temerloh Pahang, pernah memberitahu teman bahawa Bank Islam pada masa itu ada memberi pinjaman kepada peniaga yang berjumlah RM5000, dan dibayar semula dengan jumlah yang sama oleh peminjam, ia adalah khusus untuk menolong para peniaga. Selain dari 3 kes ini, teman tak pernah melihat pinjaman yang bersih dari riba' termasuklah pengalaman teman sendiri. Malahan teman pernah membuat pinjaman peribadi dengan sebuah bank terkemuka di Malaysia, pinjaman tersebut berjumlah RM5000 namun bayaran semula berjumlah RM12,000. Malang bagi mereka yang kurang ilmu seperti teman, atau yang mempunyai ilmu tetapi tidak ambil serius dan tidak mengamalkannya, seperti teman. Ya Allah, ampunkan disa-dosaku.

Untuk pengatahuan anda, kawan teman sekarang, tika teman sedang menaip entri ini, sedang mempengaruhi 2 lagi rakan teman yang lain. Teman makin serba salah, samada menegur (pasti fatwa dari Majlis Fatwa dijadikan sandaran, dan teman sendiri dah terjebak dengannya) atau memberi penjelasan tentang makna riba' kepada mereka. Teman serba salah.

Tuesday 13 September 2011

Hari ini.....

Assalamualaikum wbt...

Sekarang waktu makan tengah hari. Oleh kerana teman berpuasa, bolehlah teman menaip sesuatu di blog ini. Sambil mendengar lagu Salawat Burdah di radio IKIM, kadangkala dek kerana lagu ini sangat sedap, sampaikan hilang idea teman nak tulis entri kali ini.

Teman teruja membaca entri terbaru Kak Roza, pengalaman membeli barangan dapur di Madinah. Kelakar pun ada, rasa bersyukur pun ada, semoga Allah mempermudahkan Kak Roza dan keluarganya sepanjang berada di Madinah. Allah hadiahkan mereka sekeluarga dengan hijrah yang sangat bermakna, namun ia datang dengan ujian, maka bersabarlah dan percaya pada Allah. Walaupun teman sedikit cemburu dengan apa yang mereka kecapi sekarang, teman bersyukur kerana teman hidup dengan aman dan dapat beribadah dengan aman. Semoga Allah mengasihi teman walaupun teman berada di Malaysia, bukan di Madinah. Kepada yang berada di Madinah, syukur kerana Allah membalas segala doa dan amalan anda sekeluarga.

Hari ini juga adalah hari ujian buat teman. Semoga Allah mengurniakan teman dengan kesabaran dalam menempuh dugaan-dugaan tersebut dan semoga Allah memberi jalan keluar dari masalah yang sedang melanda teman. Ya Allah, mohon dipermudahkan Ya Allah...

Semakin hari teman rasakan semakin kurang idea teman untuk menulis entri. Teman tak tahu mengapa. Mungkin kerana teman sudah berdoa pada Allah agar teman tidak mensia-siakan waktu bekerja dengan sesuatu  yang tak berkaitan dengan kerja. Alhamdulillah jika itu hikmahnya. Pulang ke rumah sudah hampir maghrib, tika itu badan pun sudah kepenatan. Bagi teman, malam adalah waktu untuk beribadah dan menuntut ilmu, maka kuranglah waktu untuk menjenguk blog. Teman masih ada beberapa buku yang belum habis dibaca. Hanya selepas waktu bekerja sahajalah waktu untuk teman habiskan untuk membaca. Alquran juga perlu dibaca agar hati ini sentiasa hidup. Masa yang ada seakan-akan terlalu singkat. Namun Allah telah menetapkan sehari 24 jam, maka sudah pasti masa yang diberi mencukupi kerana Allah Maha Bijaksana, hanya manusia sahaja perlu bijak menyusun jadual.

Sudah hampir pukul 1 tengah hari, izinkan teman berehat seketika.

Monday 12 September 2011

Hari ini...

Assalamualaikum wbt dan selamat tengah hari semua,

Tentu ada yang berasa hairan dengan lampiran yang teman sertakan di entri kali ini. Maaflah, sejak Prof Kamil dan keluarganya berhijrah ke Madinah, hati teman juga turut berada di sana. Dalam diam, teman juga menyimpan hasrat untuk ke sana, tidak pasti bagai,mana, mungkin melanjutkan pelajaran di sana, atau mengerjakan umrah atau kalau boleh menunaikan haji...apa sahaja caranya agar teman dapat menjejakkan kaki ke Tanah Haram. Tika ini, Prof Kamil dan Puan Roza mungkin mengalami cuaca yang sama seperti di Malaysia, mungkin mereka sedang bersolat Dhuha barangkali, atau mendaftarkan anak-anak mereka di sekolah, atau mungkin sahaja Prof Kamil sedang memulakan sesi bekerja di tempat dan suasana yang serba baru. Teman ternanti-nanti berita dari Madinah. Entah mengapa, hati teruja untuk mengetahui setiap aktiviti mereka di sana. Terserlah sikap 'busy body' teman. jika mereka berhijrah ke United Kingdom, mungkin teman tidak seteruja ini. Rasa cemburu apabila mengenangkan mereka berada dekat dengan makam Rasulullah dan menetap di bumi suci. Rezeki masing-masing, biarlah Allah sahaja yang menentukannya.

Sejak dari Selasa minggu lepas, teman berada dalam keadaan yang tidak selesa seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak. Alhamdulillah, wajib teman mensyukuri semua ini kerana Allah menghapuskan dosa dengan cara ini, malah dalam keadaan yang tak selesa, teman masih mampu beribadat dengan baik, ia adalah nikmat yang wajib disyukuri! Syukur itu perlu selalu. Bukankah kesusahan itu datang bersama kesenangan. Contohnya, walaupun sakit, tetapi masih boleh solat dan beribadah dengan baik. Walaupun sakit, tetapi masih boleh melakukan aktiviti harian dengan lancar. Ia hanya ujian yang kecil berbanding dengan nikmat Allah yang tak terhitung. Maka bersyukurlah!

Teringat pula tazkirah di radio IKIM pagi tadi, tentang kalimah toibah iaitu "Laa Ilaaha Illallah", hari ini kita dapat menyebut kalimah ini dengan mudah dan selamat. Tetapi Rasulullah dan para sahabat bermati-matian mempertahankan dan menyebarkan kalimah ini sehingga ramai yang syahid. Syukurlah atas kalimah yang pernah menjadi perjuangan berdarah ini dapat kita lafaz dalam keadaan yang mudah dan aman. Maka syukurilah kalimah ini dan lantunkan kalimah ini bila sahaja kita teringat.

Semoga hari-hari yang mendatang kita lalui dengan penuh rasa syukur.

Saturday 10 September 2011

Apa Khabar Orang di Madinah...

Assalamualaikum wbt...

Hari ni 12 syawal..hari Sabtu, hari santai, hujan pula...ia sangat damai. Tambahan pula perut kekenyangan, hari ini teman makan agak banyak, risau pun ada, bukan hanya kerana kesihatan, tetapi berlebih lebihan dalam bab makan ini adalah salah satu daripada sifat mazmumah, risau sifat mazmumah ini menghakis iman yang nipis. Tika ini, fikiran teman menerawang jauh ke Madinah. Mengenangkan 2 figura yang dekat di hati walaupun tak pernah bersua, mereka adalah Prof Kamil Ibrahim (penulis blog Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan) serta isterinya Puan Roza (juga seorang penulis blog Hidup Itu Indah). Sejak dari semalam, mereka sudah pun sampai di bumi Madinah, masya-Allah, teman benar-benar cemburu mengenangkan betapa bertuahnya hamba-hamba Allah yang terpilih seperti mereka. Dek kerana cemburu ini, teman bertekad untuk berusaha mendekatkan diri dengan Allah dan berusaha dalam hidup agar dapat menjadi hamba Allah yang terpilih, bukanlah mengharapkan kemuliaan dunia, tetapi mengharapkan redha Allah, semoga diselamatkan Allah dari api neraka.

Johor sedang hujan renyai-renyai, agaknya bagaimana cuaca di Madinah? Jika Puan Roza katakan bahawa, orang di Masjid Nabawi bersolat seolah-olah mereka sedang berkhalwat berdua dengan Allah, maka teman harap, teman mampu menumpukan perhatian sepenuhnya ketika melakukan ibadah, seolah-olah teman sedang bersolat di Masjid Nabawi. Terima kasih Puan Roza kerana memberi bingkisan yang bermakna dari kota Madinah, saya akan sentiasa menunggu-nunggu bingkisan dari sana.

Jam menunjukkan pukul 1.50 petang. Teman sudah terlewat lebih 30 minit untuk mengadap Allah. Salam Zuhur buat semua....

Tuesday 6 September 2011

Raya Yang Bermakna

Assalamualaikum wbt dan salam Syawal buat semua,

Lama teman tak jenguk blog ini, almaklumlah, raya. Ingat tak sebelum ini teman ceritakan serba sedikit apa yang bakal berlaku di hari raya. Teman katakan bahawa teman akan memijak ego teman selumat-lumatnya di hadapan ayahanda teman. Setelah 4 tahun hidup dalam buangan, akhirnya teman kembali ke laman ayah bonda, sujud meminta ampun. Ya, pada mulanya ayah memang terkejut dan tidak dapat menerima kehadiran teman seperti yang dijangka. Namun bagaikan ada satu keyakinan yang dihembus Allah ke dalam sanubari teman, teman tetap tak berganjak dari terus melutut meminta ampun dari ayah, mengharap redha si ayah. Teman lakukan kerana Allah, kerana tiadalah redha Allah jika tiada redha ibubapa, maka dengan tekad inginkan redha Allah, teman menggagahkan diri merayu dan meminta ampun lebih kurang 20 minit di hadapan ayahanda. Bonda teman turut sama memujuk ayahanda teman. Teman katakan bahawa teman takutkan api neraka, teman taknak jadi anak derhaka dan teman takut hidup teman tak diberkati. Akhirnya, kepala teman disentuh, bahu teman ditarik dan tubuh teman dirangkul ayah...kemaafan jua diberi lalu segala resah yang tersimpan selama 4 tahun akhirnya terlerai. Lega yang teramat sangat kerana membayangkan Allah merahmati hambaNya. Terus sahaja sujud syukur pada Ilahi dan akhirnya doa yang dititipkan di setiap waktu dimakbulkan Allah dalam bulan yang penuh barakah ini. Ya Allah, redhailah aku.

Malam itu, sempat lagi merasai solat terawih di kampung halaman sendiri. Pertama kali dalam hidup teman bersolat terawih di masjid yang damai ini. Bacaannya sangat merdu dan tartil, berbeza dengan gaya selatan yang agak laju dan bersegera. Selesai terawih, jemaah sama-sama menyantap moreh yang telah disediakan orang kampung. Bubur kacang itu pekat dan lemak, sangat sedap. Kawan-kawan bonda berkerumun dan bertanya khabar, wajah mereka sungguh bersih dan tak banyak perubahan, malah mereka semua kelihatan masih cantik dan kelihatan cukup mendamaikan.

Sempat juga berbuka dan bersahur bersama ibu dan ayah, ia suasana yang sangat dirindui. Alhamdulillah, terima kasih Allah, tiada kata-kata yang dapat mengungkapkan rasa syukur yang tak terhingga ini. Di kala teman bangun untuk bersolat malam, ayah dan bonda juga kelihatannya sudah biasa bersolat malam. Ia semakin indah kerana rumah yang besar dan sunyi...yang sekian lamanya sunyi menjadi bercahaya kerana seisi keluarga kami menghidupkannya dengan solat malam. Syukur ya Allah, ini adalah impian yang menjadi kenyataan.

Pagi raya sangat indah. Seawal 8 pagi kami sekeluarga sudah bergerak ke masjid. Ruang solat yang lapang dan tenang mula dipenuhi jemaah. Takbir raya berkumandang, suara imam itu sungguh indah, alunan takbirnya benar-benar mendamaikan hati. Hampir sejam kami bertakbir membesarkan Allah. Ia adalah aktiviti zikir yang sangat indah di pagi raya. Hati teman sebak setiap kali mengalunkan 'Allahu Akbar Allahu Akbar..."terasa Allah begitu dekat, Maha Penyayang dan Maha Berkuasa. Allah benar-benar memakbulkan doa-doa hambaNya. Syurga itu bukan sahaja dikurniakanNya ketika di akhirat sana, namun seolah-olah diberikan sedik nikmat syurga itu di dunia. Ini adalah solat raya yang pertama dalam hidup teman dan ia sangat-sangat bermakna.

Hari raya kali ini sangat bermakna. Allah telah kembalikan ayahanda teman. Semoga Allah meredhai teman dan semoga redha ibu bapa dapat membuka hijab redha Allah buat teman. Ya Allah, terima kasih ya Allah, terima kasih.